Categories
SUKANKINI

Atlet Selangor hargai pemberian insentif

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 JAN: Atlet PARA Negara, Mohd Najib Turano melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas pemberian insentif terbesar diterimanya daripada Kerajaan Selangor.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata, insentif itu akan menjadikannya sebagai pemangkin semangat untuk beraksi dengan lebih cemerlang dalam Kejohanan Basikal Trek Para Dunia di Belanda, pada Mac ini.

“Saya tidak menyangka Kerajaan Negeri akan memberikan insentif yang banyak kepada saya dan ini kali kedua saya menerimanya.

“Ia sekali gus menjadi pemangkin semangat untuk saya beraksi dengan lebih cemerlang,” katanya.

Beliau turut memfokuskan untuk menyertai seberapa banyak Kejohanan Dunia bagi mengumpul mata supaya pasukan kebangsaan layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Saya juga menyasarkan untuk berada pada kedudukan 10 terbaik di Kejohanan Dunia walaupun banyak disertai pasukan gergasi dunia.

“Pasukan berbasikal para negara bagi acara pecut berpasukan berada di kedudukan kelima dunia dan jika pasukan negara beraksi cemerlang dalam Kejohanan Dunia pada Mac ini, peluang pasukan untuk layak secara merit ke Tokyo akan menjadi lebih cerah,” katanya.

Sementara itu, atlet renang Selangor, Jordan Yip Zhu Ern berkata, pemberian insentif itu adalah satu ‘bonus’ kepada semua atlet negeri.

Bagaimanapun, beliau berkata, pencapaiannya dalam sukan berkenaan bukanlah semata-mata kerana duit tetapi untuk mengharumkan nama negara ke arah kedudukan lebih baik dalam industri sukan.

Pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Kontinjen SUKMA 2018, Sukan Asia dan PARA ASIA itu, Mohd Najib menerima insentif RM19,000 ekoran kecemerlangannya menggondol tiga pingat perak dan satu gangsa dalam Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Manakala, Jordan Yip Zhu Ern pula menjadi penerima insentif tertinggi bagi atlet yang bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dengan ganjaran RM14,100.