Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet Sukma Selangor sertai beberapa siri kejohanan pemanas badan

SHAH ALAM, 18 JAN: Atlet Sukan Malaysia (Sukma) Selangor menyertai beberapa siri kejohanan pemanas badan sebelum ke temasya terbesar tanah air yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur tahun ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata kejohanan bermula 7 Januari lalu hingga 26 Mac depan membabitkan acara memanah, angkat berat, tinju, boling, sepak takraw, ragbi dan skuasy.

“Pertandingan yang sedang dan bakal disertai dalam tempoh terdekat ini menjadi medan terbaik untuk kita menilai sejauh mana prestasi semasa atlet sekali gus mencari ruang memperbaiki setiap kelemahan.

“Justeru, kita berharap agar atlet dapat memanfaatkan kejohanan ini sebaiknya dengan menampilkan aksi terbaik untuk meraih kemenangan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menasihati atlet supaya menjalani latihan secara berterusan bagi memantapkan stamina di samping mengekalkan kemahiran sedia ada.

“Pada masa sama, atlet juga diingatkan menjaga tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak dijangkiti Covid-19 kerana dikhuatiri menjejaskan tahap kesihatan mereka,” katanya.

Oktober tahun lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan Sukma 2020 di Johor yang sepatutnya berlangsung dari 2 hingga 10 April 2021 ditangguhkan ke 2024.

Bagaimanapun, KBS bersetuju supaya MSN menganjurkan temasya dwitahunan di Kuala Lumpur tahun ini, namun tiada sebarang pengumuman berhubung tarikh tepat setakat ini.

Berikut beberapa siri kejohanan disertai atlet Selangor:

1. Kejohanan Memanah Terbuka Kebangsaan
– 8 hingga 13 Februari di Kompleks Sukan MPKJ Bangi

2. Kejohanan Angkat Berat Jemputan
– 10 hingga 12 Februari di Ipoh, Perak

3. Kejohanan Tinju Piala Menteri Belia dan Sukan Kebangsaan
– 21 hingga 27 Februari di Ipoh, Perak

4. Kejohanan Lawn Bowls Classic Triples
– 9 hingga 13 Februari di Ipoh, Perak

5. Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Kuala Lumpur
– 4 hingga 6 Februari di Kuala Lumpur

6. Liga Sepak Takraw
– 7 Januari hingga 26 Mac di Stadium Titiwangsa, Ipoh, Pulau Pinang dan Kelantan

7. Liga Ragbi KRS
– 15 Januari hingga 19 Mac di Padang Ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang

8. CIMB Foundation Skuasy 17th National Junior Championship
– 24 hingga 28 Februari di Bukit Jalil, Kuala Lumpur

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Atlet Selangor kembali jalani latihan penuh dalam fasa tiga PPN

BANTING, 9 OKT: Semua atlet Selangor kembali menjalani program latihan penuh seminggu selepas negeri ini beralih ke fasa tiga pelan pemulihan negara, kata pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Mohamad Nizam Marjugi berkata latihan dijalankan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) antaranya menyukat suhu badan dan membuat saringan menggunakan kit ujian air liur sebelum memulakan sesi tersebut.

“Kita berharap dengan kelonggaran ini (latihan penuh), atlet akan lebih bersedia sekiranya diperlukan untuk menyertai sebarang kejohanan.

“Walaupun sebelum ini program latihan berjalan dengan kaedah pemantauan dalam talian, namun ia terhad kepada latihan kecergasan fizikal semata-mata,” katanya.

Beliau berucap pada program Hari Selangor Bersukan di padang paragliding, Bukit Jugra yang disempurnakan EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman, hari ini.

Pada program itu, persatuan sukan, majlis sukan daerah serta pegawai dan atlet Sukan Malaysia (Sukma) menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM720,700 untuk pembangunan sukan termasuk persediaan memulakan latihan.

Mohamad Nizam berkata sumbangan itu membuktikan Kerajaan Selangor sentiasa mengambil berat kebajikan penggiat sukan di negeri ini.

Selangor antara negeri yang terlibat dalam peralihan dari fasa dua ke fasa tiga PPN berkuat kuasa 1 Oktober.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atlet Sukma menjalani latihan persendirian di rumah melalui pemantauan dalam talian dan MSN Selangor menerima laporan prestasi setiap bulan.

Sebelum ini, persatuan sukan negeri turut menganjurkan beberapa program secara dalam talian seperti kursus dan webinar bagi memastikan atlet kekal aktif.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

PKP: Atlet SUKMA Selangor ikuti program latihan maya

SHAH ALAM, 14 JAN: Atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor sentiasa bersedia walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjalani latihan persendirian di rumah masing-masing.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) negeri berkata jurulatih akan memantau sesi latihan secara dalam talian dari semasa ke semasa bagi memastikan prestasi atlet pada tahap terbaik.

“Persediaan awal sudah dibuat dengan menyediakan program latihan secara virtual untuk memastikan atlet terus berada dalam keadaan cergas,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini.

Menurutnya, semua pusat latihan ditutup dan program latihan dihentikan sementara sehingga kerajaan mengumumkan kebenaran membuka semula operasi.

Beliau menambah pihaknya memandang serius dengan situasi semasa kes Covid-19 sehingga memaksa kerajaan menguatkuasakan PKP.

“Berikutan kes yang terjadi di Majlis Sukan Negara juga meningkatkan kekhuatiran dalam kalangan atlet, jurulatih dan ibu bapa mereka,” katanya.

Sebelum ini, MSN merancang membenarkan atlet bagi sukan tertentu memulakan latihan harian secara sepenuh masa bermula 4 Januari.

Perancangan itu mengambil kira acara sukan yang memiliki kemudahan dan fasiliti sendiri seperti renang, memanah, olahraga, tenpin boling, badminton, gimnastik dan gimrama.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Komited lahir atlet prestasi tinggi, kekal negeri sukan terulung

SHAH ALAM 16 JAN: Kerajaan Negeri komited melahirkan atlet berprestasi tinggi menerusi pelbagai program pembangunan sukan.

EXCO Sukan, Mohd Khairuddin Othman berkata ia selaras dasar Kerajaan Negeri untuk terus menjadi penyumbang utama kutipan pingat negara dalam kejohanan antarabangsa.

“Kita mahukan Selangor kekal sebagai negeri sukan terulung. Bantuan dan komitmen Kerajaan Negeri dalam penyediaan peralatan sukan banyak membantu meningkatkan mutu pembangunan sukan.

“Kita juga sentiasa bekerja rapat dengan Majlis Sukan Negeri Selangor untuk meningkatkan prestasi sukan,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Atlet Selangor dalam Sukan Sea ke-30 di Filipina, di sini, hari ini.

Penyerahan insentif kemenangan itu disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Mohd Khairuddin berkata insentif kemenangan itu diharap memberi motivasi kepada atlet untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

“Atlet juga jangan cepat berpuas hati sebaliknya perlu berusaha lebih gigih meningkatkan prestasi,” katanya.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet Selangor raih pingat Sukan SEA diberi insentif

PETALING JAYA, 8 DIS: Atlet Selangor mewakili negara yang meraih pingat dalam temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina bakal menerima insentif dari Kerajaan Negeri.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman bagaimanapun berkata, jumlah insentif yang akan diberi masih belum diputuskan lagi.

“Ia sejajar dengan arahan Dato’ Menteri Besar untuk kita lihat pencapaian atlet Selangor yang berjaya di Sukan Sea untuk diberikan insentif.

“Nilainya akan ditentukan nanti. Seperti tahun-tahun lalu Selangor memberi insentif bagi menghargai atlet cemerlang dan tahun ini ramai atlet Selangor yang capai prestasi disasarkan antaranya Farah Anne,” katanya.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ditemani Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Mohad Khairuddin bergambar bersama peserta 10km pada Program Larian Menjunjung Kasih di dataran MBPJ, Petaling Jaya pada 8 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada media pada acara Larian Menjunjung Kasih 2019 sempena sambutan hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang ke-74 di Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, pemberian insentif itu bakal diadakan dalam satu program yang akan diadakan kelak setelah jumlah insentif sudah diputuskan Kerajaan Negeri.

Categories
SUKANKINI

Atlet Selangor hargai pemberian insentif

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 JAN: Atlet PARA Negara, Mohd Najib Turano melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas pemberian insentif terbesar diterimanya daripada Kerajaan Selangor.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata, insentif itu akan menjadikannya sebagai pemangkin semangat untuk beraksi dengan lebih cemerlang dalam Kejohanan Basikal Trek Para Dunia di Belanda, pada Mac ini.

“Saya tidak menyangka Kerajaan Negeri akan memberikan insentif yang banyak kepada saya dan ini kali kedua saya menerimanya.

“Ia sekali gus menjadi pemangkin semangat untuk saya beraksi dengan lebih cemerlang,” katanya.

Beliau turut memfokuskan untuk menyertai seberapa banyak Kejohanan Dunia bagi mengumpul mata supaya pasukan kebangsaan layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Saya juga menyasarkan untuk berada pada kedudukan 10 terbaik di Kejohanan Dunia walaupun banyak disertai pasukan gergasi dunia.

“Pasukan berbasikal para negara bagi acara pecut berpasukan berada di kedudukan kelima dunia dan jika pasukan negara beraksi cemerlang dalam Kejohanan Dunia pada Mac ini, peluang pasukan untuk layak secara merit ke Tokyo akan menjadi lebih cerah,” katanya.

Sementara itu, atlet renang Selangor, Jordan Yip Zhu Ern berkata, pemberian insentif itu adalah satu ‘bonus’ kepada semua atlet negeri.

Bagaimanapun, beliau berkata, pencapaiannya dalam sukan berkenaan bukanlah semata-mata kerana duit tetapi untuk mengharumkan nama negara ke arah kedudukan lebih baik dalam industri sukan.

Pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Kontinjen SUKMA 2018, Sukan Asia dan PARA ASIA itu, Mohd Najib menerima insentif RM19,000 ekoran kecemerlangannya menggondol tiga pingat perak dan satu gangsa dalam Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Manakala, Jordan Yip Zhu Ern pula menjadi penerima insentif tertinggi bagi atlet yang bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dengan ganjaran RM14,100.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sukma 2016: Dahului pungutan pingat, Selangor dan Sarawak terus bersaing

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 30 JULAI: Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 2016 di sini, menghadirkan saingan sengit antara kontinjen berterusan hingga ke peringkat akhir.

Selangor kekal mendahului kedudukan pungutan pingat dengan 53 emas, 66 perak dan 54 gangsa namun cabaran hebat datang daripada tuan rumah, Sarawak (52 emas, 34 perak, 49 gangsa) yang terus menggugat.

Persaingan bagi penentuan juara keseluruhan bakal berterusan dengan beberapa acara akhir berlangsung hari ini membabitkan penyertaan atlet kedua-dua kontinjen.

Manakala perebutan tempat ketiga membabitkan Wilayah Persekutuan (36 emas, 39 perak, 36 gangsa) dan Terengganu (36 emas, 37 perak, 35 gangsa) kekal menjadi tumpuan.

SUKMA SELANGORSelangor yang melepasi sasaran 48 emas terus berjuang terus bagi merealisasikan impian memungut sasaran emas tambahan.

“Kita ada sasaran tambahan iatu 55 pingat emas.

“Saya percaya jika kita dapat menambah semangat dan keyakinan kepada atlet, keputusan luar biasa mampu dicatat,” kata Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Dengan mengumpul 53 emas, Selangor diyakini mampu mencapainya kerana terbabit dalam beberapa acara akhir hari ini antaranya hoki wanita, angkat berat, tenis dan yang lain.

Tambahan lima emas semalam dicatat kontinjen Merah Kuning dalam angkat berat (dua) serta masing-masing satu dari olahraga, bola tampar dan pencak silat.

Persembahan cemerlang atlet muda dalam temasya sukan dwi tahunan ini membanggakan dan memberikan harapan terhadap kemajuan sukan negeri serta negara.

Pingat Terkini

EZY

Insentif kejayaan atlet di Sukan Sea, Selangor peruntuk RM156,000


Selangor peruntuk RM156,000 kepada atlet Selangor yang berjaya di Sukan Sea, Singapura tahun lalu.

Categories
SELANGOR

Ramadan tak halang atlet Selangor teruskan latihan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 JUN: Majoriti atlet Selangor tetap meneruskan latihan walaupun mereka sedang menjalani ibadah puasa sempena Ramadan.

Timbalan Pengarah Pembangunan Sukan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Mohamad Nizam Marjugi, berkata latihan berterusan penting untuk atlet mengekalkan stamina dan kemahiran.

“Seperti atlet gimnastik, mereka perlu berlatih sepenuh masa secara berterusan bagi kekalkan kelenturan badan.

Sukan Selangor“Bagaimanapun, program latihan untuk atlet tidak begitu intensif, sesuai dengan mereka yang berpuasa,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada Sukan SEA lalu, atlet Selangor menyumbang 27 daripada 62 pingat emas untuk Malaysia.

Nizam berkata, program latihan juga tidak menghalang atlet memperbanyakkan ibadah seperti umat Islam lain.

“Asalkan tahu membahagikan masa dan mendahulukan mana yang penting, tiada masalah.

“Contohny,a atlet berbasikal akan meneruskan latihan selepas solat sunat tarawih, itu biasa setiap Ramadan,” katanya.

-NFN-