Categories
SASTERA

Di Tangga Mahkamah

Oleh Regina Ibrahim

TEPAT 11.30 pagi semuanya selesai.

Mahkamah mengarahkan Karim membayar pampasan anak-anak sehingga usia mereka meningkat 18 tahun. Sebarang kompaun ditanggung oleh Karim. Mereka boleh memilih untuk tinggal bersama sesiapa yang mereka suka. Sijil penceraian akan disiapkan seminggu lagi. Rumah yang sedia ada milik Rozie, dia yang selesaikan segala pembayarannya sejak awal perkahwinan.

Kes memakan hampir suku hidup dewasa Rozie. Sebelum keputusan mahkamah, dia sudah membuat keputusan peribadi. Bayangkan lebih sepuluh tahun menanti segala penyelesaian. Banyak hal remeh terpaksa difikirkan, berlegar muncul tidak kira masa. Penat menjawab pertanyaan orang. Naik turun, tukar tarikh dan Karim yang sibuk mengalahkan menteri di Kuala Lumpur.

Abdul Karim Majid, yang pernah berjanji sehidup semati hari ini sah menjadi bekas suami.

Alhamdulillah Rozie masih segar sihat. Pernah kurus kering seketika tapi bingkas bangun merubah hidup dan pemikiran. Menelaah buku motivasi serta dekat pada Tuhan. Biasalah, Pencipta tetap mahu menduga, qada dan qadar kalau didakap, damailah sedikit jiwa, namun resah perempuan tetap menerpa.

Melintasi tangga batu mahkamah tradisional di Pekan Bukit Pintal, ingatan berputar kembali. Bagaimana segala yang indah boleh tamat, lenyap begitu sahaja? Di pekan ini mereka berdua merancang pertemuan, perkahwinan dan merancang macam-macam sewaktu dunia sempit. Tertanya-tanya juga, rasa belas mungkin melayang agaknya?

Rozie masuk sahaja tahun ketiga berpisah terpaksa menilai diri, belajar melepaskan segala amarah. Hakikat bahawa manusia berubah dan tidak mampu bertoleransi diterima dengan dada yang lapang. Tidak mudah mengadaptasi, perbelanjaan rumah tangga dan anak-anak yang kecil. Gaji cukup-cukup makan anak beranak. Bayangkan kalau terpaksa menumpang keluarga? Menyewa? Tidakkah bertambah beban emosi?

Orang berubah hati, kenapa, mengapa, bagaimana? Tidak mahu difikirkan lagi. Awalnya luka sangat menusuk, lama-lama Rozie tidak kuasa lagi. Makin mencuba dibawa berbincang makin terjai kata-kata jejaka yang pernah membelainya. Tidak pulang setahun, Rozie tidak gabra berusaha seperti wanita lain, untuk apa? Orang sedap-sedap bersama isteri muda, kita macam orang gila menagih di jendela. Entah-entah orang sudah lupa?

Perbualan tentang Karim dia tidak mahu. Segala dilalui anggap sahaja bagai mimpi tidak sedap panjang, tamat dengan kisah tidak gembira. Pelik sebenarnya. Usia bukan semakin muda, 32 tahun sewaktu diceraikan. Karim teman persekolahan yang sebaya. Melangkah memfailkan cerai, pihak syariah seperti biasa berpersepsi tersendiri, diarahkan hadir kaunseling berbaris nasihat. Tidak jalan, Karim tidak memberi sebarang respons. Hidup punya hidup terlupa bahawa secara undang-undang Karim masih suaminya. Rozie menggalas tugas tanpa rungutan, mahu merungut pada siapa? Siapa kita mahu marah-marah pada dunia?

Masuk tahun sembilan dia bertekad mahu menyelesaikan segalanya, tidak boleh lengai. Kembali menemui peguam syariah, membawa ugutan, SILALAH PIHAK MAHKAMAH TANGGUNG DOSA-DOSA saya kalau tidak diuruskan cepat, saya manusia bernafsu, menipu bahawa sudah punya kekasih, kalau terbabas bagaimana?

Hakikatnya dia tidak mahu sebarang lelaki dalam hidupnya lagi, serik! Hal cinta dan kerinduan sudah mati. Perasaan itu sebenarnya diminta pada Tuhan setiap menadah tangan. Siapa yang mahu kalau tahu dia bukan janda? Dia hanya isteri yang hidupnya ditergendalakan.

Di tangga mahkamah ditanya lagi bagaimana segala ini berlangsung begitu lama sekali? Mahkamah menyenaraikan perkara yang harus Karim tanggungi bila rasmi penceraian. Berdetik di hati, dia tidak mahu membantah, dia tahu Karim tidak akan mampu membayar sesenpun, semua dokumen permainan syarat sahaja. Hampir sepuluh tahun dia mampu hilang, tidak mungkin tiba tiba menjadi bertanggung jawab.

Aneh, tiada rasa marah atau geram pada Rozie, sewaktu pembicaraan pun wajah Karim dilihat sambil lewa sahaja. Mungkin itu arahan badannya yang matang. Tersenyum sumbing Rozie jadinya, lelaki yang pernah menyetubuhinya sudah berbeza, terlihat tua. Beban apa yang sedang ditanggung? Tidak teringin langsung dia mahu tahu. Kehadiran pun mungkin takut setelah tiga kali menerima amaran sapina.

Ya Tuhan, itukah lelaki yang pernah menyayanginya separuh mati, cemburu remaja serta prihatin dahulu? Kenapalah kisah mereka tamat begini? Apa ini semua hanya fatamorgana? Pelik!

Di tangga mahkamah beban di bahu serasa diangkat lenyap.

Kehidupan sederhana mahu diteruskan. Anak-anak tidak pernah bertanya banyak tentang ayah mereka, dengan mudah dianggap bahawa ini adalah tugasan peribadi, dilayannya seperti kerjaya ketika menemui pembekal dan bermesyuarat dengan teman teman sekerja, sama seperti menamatkan sebarang projek. Cuma projek kali ini sangat memakan masa, membebankan perasaan. Projek yang tidak disertai sebarang harapan.

“Itu bekas suami saya… Ya, kami sedang menguruskan harta untuk dibahagikan , nafkah anak-anak I, dia diarahkan tanggung…, legalah I lepas ni…,” itu semua harapan merepek! Kalau benarlah Karim bertanggungjawab Rozie tidak harus menanggung segala kesukaran selama hampir sepuluh tahun. Sangka baik, sangka jahat beraduk, maklumlah manusia fana.

Hari ini di tangga mahkamah, Rozie berdiri tegap. Memaafkan segalanya. Dia tidak kalah, tidak juga menang. Berselawat, mengucap dua kalimah syahadah dua tiga kali, meminta dipermudahkan jalan sebagai perempuan. Merintih pedih berdendam hanya akan menambahkan kedutan dan menjemput uban. Anggap laluan sahaja.

Di tangga mahkamah tekadnya jatuh pada hidup yang lebih cemerlang, cemerlang cara-cara dialah! Memohon dikurniakan segala kelancaran. Akhirnya ringan melangkah ringan menuju pagar mahkamah yang terang benderang, tengah hari yang bercahaya bahagia.

Lama sungguh tidak dinikmati perasaan yang begini.