Categories
NASIONAL

Indera Khairul dilantik Ketua Pengarah Imigresen baharu

PUTRAJAYA, 13 JAN: Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud, dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen baharu, berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Mustafar Ali yang bersara daripada jawatan berkenaan, pada 31 Disember lalu.

Katanya, Indera Khairul, 47, pemegang Sarjana dalam jurusan Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia berpengalaman dalam bidang pengurusan keselamatan dan keimigresenan.

“Beliau juga bertanggungjawab terhadap dasar berkaitan hal ehwal imigresen, pengurusan pekerja asing dan hal ehwal pendaftaran negara semasa menjadi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN pada Julai 2018, hingga hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Indera Khairul memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam, pada Disember 1996 di Jabatan Perkhidmatan Awam, diikuti Kementerian Pembangunan Usahawan, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ke KDN.

Pada masa sama, Alwi turut mengumumkan Datuk Jamil Rakon dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KDN selepas mengambil kira pengalaman luasnya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran awam serta pembangunan diperlukan bagi memperkasa tadbir urus kementerian.

Berkelulusan Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dari Australian Institute of Criminology Canberra, Jamil memulakan kerjayanya di Kementerian Pertahanan, pada Disember 1992 selain berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pendidikan.

Alwi yakin kepakaran dan pengalaman kedua-dua pegawai itu dapat memperkukuhkan pentadbiran KDN dan Jabatan Imigresen.

*Sumber: BERNAMA