Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Lima individu termasuk Datuk ditahan godam sistem pangkalan data Imigresen

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Kegiatan mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu akhirnya berjaya dilumpuhkan selepas lima individu termasuk ketua sindiket bergelar Datuk ditahan dalam operasi besar-besaran yang dilaksanakan awal pagi tadi.

Penahanan individu berkenaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga turut berjaya merungkai permasalahan yang dihadapi Jabatan Imigresen sebelum ini terhadap sistem PLKS mereka yang telah digodam sindiket berkenaan.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek berusia 33 hingga 43 tahun itu ditahan bersama dua perisian sistem komputer klon dan transmitter (pemancar) yang digunakan sindiket, dalam operasi di 22 lokasi di sekitar ibu kota, hasil risikan suruhanjaya itu bersama Jabatan Imigresen.

“Kegiatan yang dilakukan oleh kesemua suspek telah menyebabkan kerugian sehingga ratusan juta Ringgit kepada kerajaan dalam bentuk levi pekerja asing.

“Sindiket ini turut berkerjasama dengan ‘orang dalam’ dengan mengodam pangkalan data imigresen dengan memasang transmitter bagi membolehkan anggota sindiket menukar kata laluan pegawai dan memasukkan nama serta butiran peribadi pekerja asing seolah-olah mereka mendapat PLKS secara sah,”kata sumber itu.

Menurutnya lagi, pas berkenaan akan dicetak di pusat operasi sindiket, yang beroperasi di sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail, di sini, sebelum menjualnya dengan bayaran antara RM6,000 hingga RM8,000 bagi setiap PLKS kepada warga asing yang bekerja di negara ini secara haram.

“Bagaimanapun pusat operasi mereka sentiasa berubah dari satu tempat ke tempat yang lain termasuk menyasarkan hotel mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Sumber berkata selain itu, sindiket juga berupaya membuka dan menutup status ‘senarai hitam’ seseorang individu bagi membolehkan mereka melepasi sekatan imigresen di lapangan terbang negara ini dengan bayaran tertentu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

“Siasatan ke atas kes ini akan dibuat secara menyeluruh selain memastikan kesemua ahli sindiket termasuk ‘orang dalam’ dikenakan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pohon kebenaran Imigresen sebelum pulang dengan pasangan bukan warganegara

SHAH ALAM, 22 JUN: Rakyat Malaysia di luar negara dibenarkan pulang bersama pasangan dan anak berstatus bukan warganegara dengan syarat mendapat kelulusan Jabatan Imigresen.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran ini penting bagi mengelakkan pasangan dan anak terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau diarahkan kembali ke negara asal.

“Saya nasihatkan jangan balik sebelum mendapat kelulusan, sebab ada laporan diterima mereka sudah tiba di KLIA tetapi tidak dibenarkan masuk, hanya pasangan berstatus warganegara sahaja (dibenarkan),” kata menteri kanan (kluster keselamatan) ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau menasihatkan perkara itu perlu diselesaikan lebih awal sebelum membeli tiket bagi mengelak kerugian.

Majlis Keselamatan Negara setakat ini belum mengumumkan pembukaan sempadan negara kecuali mengarahkan warganegara yang tiba dari luar menjalani saringan Covid-19 dan kuarantin wajib selama 14 hari.

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen tidak kompromi, terus gempur Pati

SHAH ALAM, 26 MEI: Jabatan Imigresen tidak akan berkrompromi dengan pendatang asing tanpa izin (Pati), malah akan meneruskan tindakan penguatkuasaan jika mendapat maklumat.

“Sekiranya terdapat maklumat mengenai penempatan Pati, tindakan akan diambil mengikut Akta Imigresen,” kata Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian susulan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan penghuni di tiga depoh tahanannya ketika ini.

Setakat 12 tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan seramai 270 Pati dalam depoh dan pusat tahanan sementara dikesan dijangkiti wabak berkenaan.

Mengikut pecahan, sebanyak 126 kes dijangkiti Covid-19 di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, DTI Semenyih (66) dan DTI Sepang (36).

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai tidak bimbang kerana depoh terbabit diasingkan daripada masyarakat dan dikawal pihak berkuasa.

Categories
AGENSI SELANGOR

113 pendatang tanpa izin ditahan di Selayang Baru

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Seramai 113 pendatang tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen dalam serbuan di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Selayang Baru, Gombak dekat sini semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata dalam operasi yang bermula pada 9 pagi itu, pendatang yang ditahan terdiri daripada 63 rakyat Indonesia diikuti Myanmar (22), India (19), Bangladesh (enam), Pakistan (dua) dan Nepal (satu).

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 66 lelaki, 36 wanita dan 11 kanak-kanak lelaki dan perempuan.

“Dalam operasi ini, seramai 1,683 warga asing diperiksa. Hasilnya 113 daripada mereka ditahan dan dibawa untuk proses dokumentasi di Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta.

“Semua warga asing yang diperiksa dan ditahan telah disahkan negatif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kawasan itu menjadi tumpuan lambakan warga asing yang majoritinya bekerja di kawasan pasar borong Selayang.

“Warga asing yang ditahan ini antaranya melakukan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki dokumen (pas/permit) palsu dan kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen.

“Mereka akan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata mereka akan diusir ke negara asal setelah menjalani hukuman dan akan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia selama-lamanya.

Operasi itu disertai 210 pegawai dan anggota pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta KKM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen tahan 102 warga asing dalam operasi pasar borong

PUTRAJAYA, 5 FEB: Seorang majikan dan 102 pendatang asing ditahan dalam lapan operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen yang dijalankan di pasar borong sekitar Lembah Klang bulan lalu, kata ketua pengarahnya.

Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata sepanjang 2019, pihaknya menahan 54 majikan dan 726 pendatang asing melalui 133 operasi penguatkuasaan yang juga dilaksanakan di pasar borong sekitar Lembah Klang.

“Jabatan Imigresen akan terus memantau dan menjalankan operasi penguatkuasaan daripada semasa ke semasa di pasar borong,” katanya dalam satu kenyataan maklum balas berhubung artikel bertajuk ‘Warga Asing Cengkam Rantaian Sayur Lembah Klang’ yang disiarkan media tempatan baru-baru ini.

Menurut Khairul Dzaimee, terdapat juga warga asing yang memegang Pas Lawatan Sementara (kerja sementara) yang masih sah, bekerja di pasar borong itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen pastikan trafik pintu masuk negara berjalan lancar

JOHOR BAHRU, 23 JAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil lapan langkah proaktif bagi menangani kesesakan trafik di dua pintu masuk negara di sini berikutan cuti panjang sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata langkah-langkah itu diambil berikutan terdapat jangkaan berlaku peningkatan jumlah pengguna di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Iskandar Puteri nanti.

Jumlah pengguna dijangka meningkat mulai esok hingga 28 Januari ini.

“Justeru bagi memastikan trafik lancar, beliau berkata JIM akan memastikan sistem jabatan di kedua-dua pintu masuk berkenaan berfungsi dengan baik serta lancar, dan semua kaunter dibuka dengan tumpuan utama adalah di laluan zon bas, kereta dan motosikal,” katanya dalam satu kenyataan yang dipaparkan di laman sosial rasmi jabatan itu semalam.

Selain daripada itu, beliau berkata pihaknya juga akan menambah 12 kaunter kereta bagi laluan kontra zon masuk di KSAB, menjadikan jumlah keseluruhan kaunter adalah 36.

Khairul Dzaimee berkata JIM juga akan membekukan cuti pegawai di BSI dan KSAB, menugaskan semula pegawai dari lain-lain bahagian atau unit ke kedua-dua pintu masuk itu serta akan menyelaras atau mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di pintu masuk terbabit.

“Selain itu, JIM Johor juga akan mengemaskini info trafik semasa BSI dan KSAB dan mengeluarkan nasihat perjalanan dalam media sosial jabatan.

“Pembukaan kaunter khas bagi golongan ibu mengandung, orang tua, Orang Kelainan Upaya di kaunter nombor tiga dan empat di BSI (bas masuk dan keluar) turut dilakukan. Bagi KSAB, kaunter khas ini akan beroperasi di dewan kereta masuk dan keluar (kaunter nombor 11 dan 12),” tambahnya.

Khairul Dzaimee berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa patuh kepada peraturan lalu lintas dan juga arahan daripada para petugas.

Beliau malah menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam dan berkongsi kenderaan sepanjang tempoh perayaan itu bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

373 warga China didakwa tanpa pas sah

SEPANG, 13 DIS: Sebanyak 373 daripada 680 warga China yang ditahan dalam serbuan Imigresen di premis yang disyaki menjalankan operasi jenayah dalam talian di Cyberjaya pada 20 November lepas, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, di sini atas pertuduhan berada di negara ini tanpa pas yang sah.

Pertuduhan terhadap kesemua 373 orang kena tuduh (OKT) itu dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh empat jurubahasa daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Kesemua mereka yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 7.30 pagi, dibawa masuk ke bilik mahkamah untuk dibacakan pertuduhan secara berperingkat membabitkan 40 orang dalam setiap kumpulan.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah yang berlangsung lebih tiga jam itu, sebanyak 321 daripada 373 OKT berkenaan mengaku bersalah, dengan 290 daripada mereka dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkap.

Sementara 31 orang lagi dikenakan denda RM5,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu serta diusir pulang ke negara asal.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan tidak lebih enam sebatan jika sabit kesalahan.

Tuduhan terhadap 52 OKT lagi akan disebut semula pada 10 Januari depan untuk semakan ketelusan pasport. Kesemua mereka akan ditempatkan sementara di depot Imigresen Bukit Jalil.

Pendakwaan dilakukan oleh pasukan pendakwa JIM diketuai Pegawai Pendakwa V Kasthuri Bai.

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKT yang ditahan pada 3.30 petang, 20 November lepas di Wisma Mustapha Kamal, Cyberjaya didapati telah memasuki dan berada di negara ini tanpa pas yang sah.

Pada 20 November lepas, Jabatan Imigresen menyerbu sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya kerana disyaki menempatkan ahli sindiket penipuan dalam talian, di mana 680 warga China ditahan, manakala lebih 100 orang lagi berjaya melarikan diri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga fokus mantapkan Jabatan Imigresen Malaysia

PUTRAJAYA, 1 DIS: Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud menggariskan tiga fokus utama untuk memacu Jabatan Imigresen Malaysia ke arah sebuah pasukan yang bertaraf dunia pada tahun 2020.

Beliau berkata, tiga fokus itu ialah meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunter, mempergiatkan operasi membanteras pendatang tanpa izin (PATI) dan menaik taraf sistem maklumat imigresen yang baharu.

Mengulas mengenai meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunter, Khairul Dzaimee berkata​​​​​, setiap pegawai dan anggota imigresen yang bertugas di setiap pintu masuk negara perlu menjalani latihan penguasaan bahasa asing iaitu Mandarin dan bahasa Inggeris.

“Ini kerana mereka (pegawai dan anggota imigresen) berurusan dengan pelancong asing dari pelbagai negara dan ini amat penting dalam penugasan operasi untuk pelancong asing melancong di negara ini,” katanya dalam temu bual dengan Bernama sempena sambutan Hari Imigresen esok.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Khairul Dzaimee berkata, ketika ini pihaknya sedang menguruskan program bahasa Mandarin dengan kerjasama Kedutaan China manakala bagi program bahasa Inggeris akan dibuat di Institut Tadbiran Awam Negara.

Beliau berkata, bagi menangani isu PATI, tumpuan jabatan ialah mempergiatkan operasi berterusan yang sehingga kini dilihat berkesan dalam menurunkan kemasukan warga asing secara haram ke negara ini..

“Kami akan melakukan operasi banteras PATI, tanpa jemu dan akan bersiap siaga dari segenap aspek terutama dalam menghadapi ancaman keselamatan negara,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, penahanan 680 individu disyaki terlibat sindiket penipuan pelaburan dalam talian di Cyberjaya adalah yang terbesar jabatan itu tahun ini.

“Jadi dari segi operasi yang saya anggap kejayaan terbesar kami dengan tangkapan besar (680 individu) dalam sejarah imigresen untuk satu operasi di tempat yang sama.

Ini merupakan kejayaan terbesar imigresen dalam menumpaskan kegiatan sedemikian dan saya percaya kegiatan ini bukan sahaja di Malaysia bahkan (juga ada) di negara lain,” katanya.

Mengulas mengenai menaik taraf sistem maklumat imigresen, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya akan menggunakan Sistem Integrasi Imigresen yang baharu menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“Apabila sistem baharu itu dilaksanakan, segala pengurusan hal ehwal imigresen tidak lagi dilakukan secara manual dan akan dikurangkan sehingga ke tahap 60 peratus di pintu-pintu masuk negara.

“Maknanya, selepas ini setiap pelawat asing boleh ke pintu masuk automatik dan imbas pasport mereka serta direkod untuk melancong di negara ini,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, dari segi keselamatan jika pelawat asing itu disenarai hitam ketika sedang mengimbas pasport, pintu masuk automatik tidak akan dibuka sebaliknya mereka akan dibawa ke pejabat imigresen untuk rujukan.

“Selain itu, sistem ini akan mengandungi mekanisme untuk menyekat pengganas asing daripada menyeberangi masuk ke negara ini.

“Sekiranya seseorang pelancong asing itu mempunyai rekod terlibat kegiatan pengganas, sistem ini akan mengeluarkan gambar menerusi pelaksanaan pengumpulan Maklumat Awal Penumpang (API) dan Rekod Nama Penumpang (PNR),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen tumpaskan sindiket penipuan terbesar dalam talian

PUTRAJAYA, 21 NOV: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penipuan dalam talian terbesar yang dipercayai didalangi warga China di negara ini.

Kejayaan itu dimaklumkan dalam catatan di laman Facebook Jabatan Imigresen hari ini mengenai serbuan ke sebuah markas penipuan dalam talian itu di Cyberjaya.

Menurut catatan itu, hampir 1,000 orang ditahan, sekali gus menarik perhatian warganet yang kebanyakannya memuji kejayaan Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penipuan berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dijadual mengadakan sidang media pada 12 tengah hari ini berhubung kejayaan operasi itu. 

-BERNAMA 
 
 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sistem baharu Imigresen elak manipulasi, penipuan

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Jabatan Imigresen sedang dalam proses membangunkan Sistem Integrasi Imigresen (IIS) yang baharu bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang dikesan berlaku manipulasi dan penipuan untuk meluluskan kuota pekerja asing.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sistem IIS itu ketika ini sedang dalam proses perolehan oleh pihaknya.

Beliau berkata, tender sistem IIS telah mula dibuka kepada vendor pada Mei lepas dan akan ditutup pada Ogos ini.

“Kami akan membuat penilaian terdahulu terhadap vendor-vendor yang berminat dengan tender sistem berkenaan sebelum melancarkan sistem IIS sepenuhnya.

“Jika semua berjalan lancar, imigresen akan mengeluarkan surat tawaran kepada vendor yang berjaya pada Januari tahun hadapan,” katanya kepada Bernama.

Khairul Dzaimee berkata, untuk tempoh sepanjang pembinaan sistem IIS ini, MyIMMs akan terus digunakan dengan beberapa penambahbaikan.

Beliau berkata, selepas sistem IIS mengambil alih MyIMMs, sistem lama itu akan dihentikan 100 peratus dan sistem IIS akan dikendalikan sepenuhnya oleh imigresen.

“Daripada segi senggaraan sistem IIS akan diletakkan di bawah vendor,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada pegawai atau anggota imigresen terbabit memanipulasi dan penipuan sistem MyIMMs, Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan mengambil tindakan tataterbib.

“Jika terdapat mana-mana pegawai atau anggota imigresen yang bersekongkol ​​​​​​memanipulasi sistem MyIMMS, mereka akan menerima tindakan yang sewajarnya di bawah peraturan tatatertib pegawai awam.

“Selain itu, pihak imigresen sudah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan dan siasatan lanjut sedang dibuat,” katanya.

Pada 15 Julai lalu, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, merumuskan berlaku manipulasi dan penipuan dalam MyIMMs bagi meluluskan kuota pekerja asing sehingga menyebabkan kehilangan hasil kepada negara.

Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan berhubung pendedahan laporan berkenaan mengenai berlaku manipulasi dan penipuan MyIMMs.

Berdasarkan audit bagi tempoh 2016 hingga 2018, berlaku manipulasi pada sistem itu yang kuota diwujudkan kepada 123 syarikat untuk membawa pekerja asing didapati kelulusan palsu.

Analisis laporan audit turut mendapati 21,378 pekerja asing daripada 32,424 kuota yang diwujudkan secara tidak teratur, mendapat Pas Lawatan Kerja Sementara.

Pada 19 Julai lepas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk meneliti pendedahan Laporan Ketua Audit Negara sebelum mengambil tindakan jika terdapat unsur rasuah.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada kekerasan fizikal warga Nigeria mati dalam tahanan

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Siasatan dijalankan Jabatan Imigresen terhadap kematian warga Nigeria Thomas Orhions Ewansiha semasa dalam tahanan baru-baru ini mendapati tiada sebarang unsur mangsa dipukul atau kekerasan digunakan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya kini hanya menunggu laporan perubatan daripada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi mengesahkan punca kematian Orhions.

Beliau berkata Orhions meninggal dunia pada 9 Julai dan sebelum itu rawatan awal telah diberikan serta pengurusan kematian juga mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sewajarnya.

“Imigresen telah mengadakan pertemuan dengan pihak kedutaan Nigeria, sebab-sebab kematian telahpun dijelaskan dan Jumaat lepas imigresen bukan sahaja adakan perjumpaan dengan Kedutaan Nigeria, tetapi perjumpaan berkenaan turut dihadiri oleh wakil 22 kedutaan dan suruhanjaya tinggi yang lain.

“Perkara-perkara berkaitan imigresen telah dibincangkan dalam pertemuan berkenaan,” katanya ketika ditemui dalam satu operasi bersepadu di Jalan Silang di sini, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Khairul Dzaimee dalam kenyataannya menjelaskan Orhions, 33, yang berada dalam tahanan Jabatan Imigresen di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) meninggal dunia pada Selasa 9 Julai lalu disyaki terkena serangan sawan ketika tidur.

Mendiang Orhions yang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah di Limkokwing University of Creative Technology di sini meninggalkan seorang isteri dan dua anak masih kecil.

Orhions disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam dan sejurus insiden itu, pegawai penyelia serta pegawai bertugas telah ke Balai Polis Bukit Jalil untuk membuat laporan polis.

Polis memberi jaminan akan terus memantau keadaan di Suruhanjaya Tinggi Nigeria susulan kejadian kira-kira 20 orang yang mendakwa daripada pertubuhan Nigerians In Diaspora Organization Malaysia (NIDO-MY) mengadakan protes di hadapan pejabat suruhanjaya itu di sini, pada 11.50 pagi Jumaat lalu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Imigresen tahan 130 warga asing

KAJANG, 15 JUN: Seramai 130 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen di Kajang dan Puchong, malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan di 53 unit pangsapuri di Kajang, pihaknya menahan 78 rakyat Nigeria, enam Filipina dan masing-masing seorang India dan Pakistan serta empat kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun.

Beliau berkata, seramai 40 lagi rakyat asing ditahan dalam operasi di sebuah kawasan kediaman di Puchong, iaitu dari Nepal, Myanmar, Nigeria, Sierra Leone, Guinea, Tanzania dan Kenya.

“Kesemua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa, salah guna pas, tamat tempoh pas pelajar dan pelancong serta menjalankan perniagaan.

“Kami juga mendapati ada antara warga asing ini disyaki terbabit dengan aktiviti penipuan dalam talian susulan penemuan komputer riba yang mengandungi maklumat mencurigakan.

“Perkara ini akan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas tamat Operasi Bersepadu itu.

Operasi yang disertai 96 pegawai imigresen, 15 pegawai daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu bermula 10.30 malam dan berakhir kira-kira empat jam kemudian.

Khairul Dzaimee berkata, anggota terpaksa memecahkan pintu rumah yang didiami warga asing itu ketika operasi kerana keengganan mereka untuk bekerjasama.

Beliau berkata, semua rakyat asing yang ditahan berusia satu hingga 66 tahun itu dibawa ke lokap imigresen di Putrajaya sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil atau Semenyih. – BERNAMA