Categories
NASIONAL

Jambatan Sungai Kerling ditutup sementara waktu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 8 JAN: Jalan Kuala Lumpur-Tanjung Malim FT001 Seksyen 454.50 di Jambatan Sungai Kerling akan ditutup kepada semua kenderaan, pada 9 dan 10 Januari ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan berkata, penutupan sementara laluan itu bermula dari jam 5 pagi hingga 10 malam bagi memberi laluan kerja pembinaan jambatan dan pemasangan rasuk jambatan di Sungai Kerling, di sini.

Katanya, jambatan terbabit ditutup kepada semua lalu lintas bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

“Papan tanda pemberitahuan akan dipasang di tapak untuk panduan pengguna, manakala bendera juga sentiasa berada di tapak untuk mengawal trafik.

“Pengguna jalan raya diminta menggunakan dua laluan alternatif dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur dan sebaliknya, iaitu melalui Laluan Persekutuan FT001 – Plaza Tol Sg Tanjung Malim – Lebuhraya Utara Selatan – Plaza tol Bukit Beruntung – Jalan Rasa Bukit Beruntung – Laluan Persekutuan FT001 dan Jalan Persekutuan FT001 – Jalan Kuala Kerling – Plaza tol Lembah Beringin – Lebuhraya Utara Selatan – Plaza tol Bukit Beruntung – Jalan Rasa Bukit Beruntung – Laluan Persekutuan FT002,” katanya.

Sehubungan itu, JKR berharap supaya semua pengguna jalan raya mematuhi tanda arah dan papan tanda keselamatan yang disediakan.

Pengguna jalan raya yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh berhubung dengan pejabat JKR Daerah Hulu Selangor, di talian 03-60641040 / 03-60641058 atau fax 03-60641123.