Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jalan Sabak Bernam-Kuala Selangor dibuka, kerja turun rasuk jejantas siap sehari awal

SHAH ALAM, 12 JAN: Jalan persekutuan Sabak Bernam-Kuala Selangor antara simpang Jalan Permatang dengan simpang Jalan Bukit Belimbing kembali dibuka untuk semua kenderaan sejak 6 pagi tadi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor memaklumkan pembukaan dibuat selepas bahagian rasuk rosak di jejantas berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Permatang berjaya diturunkan.

“Kerja penurunan siap lebih awal daripada jadual asal. Kerja bermula dari 11 malam tadi dan siap pada 5.30 pagi tadi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sehubungan itu agensi menghargai usaha dilaksanakan konsesi Roadcare (M) Sdn Bhd serta Ibu Pejabat Polis Kuala Selangor yang membantu mengawal trafik sepanjang tempoh penurunan.

Terdahulu JKR daerah menjangkakan kerja penurunan rasuk jejantas itu selesai pada 6.30 pagi Khamis.

Semalam, JKR daerah mengingatkan pengguna kenderaan agar berhati-hati ketika melalui bawah jejantas pejalan kaki di laluan terbabit berikutan terdapat rekahan pada struktur rasuk jejantas ekoran hentaman kenderaan berat.

Categories
AGENDA NASIONAL

121 insiden tanah runtuh di seluruh negara sepanjang musim monsun

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Sebanyak 121 insiden tanah runtuh dilaporkan berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022, berdasarkan laporan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan JMG dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah dan sedang mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara itu.

“Pihak JMG dan JKR telah diminta untuk menyelaras pelaporan tanah runtuh supaya lebih menyeluruh dan turut melibatkan kawasan cerun di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, NADMA memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diarah mengenal pasti kaedah penyelesaian terbaik bagi menempatkan penduduk yang perlu mengosongkan rumah sudah tidak selamat didiami berikutan tanah runtuh.

Sementara itu, susulan ramalan amaran hujan lebat berpanjangan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dilanjutkan hingga 3 Jan, kenyataan itu memaklumkan JPBN dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diarah untuk meningkatkan kesiapsiagaan bagi memastikan operasi pengurusan bencana berjalan lancar.

Menurut NADMA, Polis Diraja Malaysia selaku komander Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) perlu menyelaras persediaan menghadapi banjir yang dijangka berlaku bersama semua agensi responder terlibat.

Berikutan banjir yang dilaporkan mula berlaku di Sipitang, Sabah, semua agensi responder di negeri berkenaan turut diarah bersiap siaga untuk bertindak dan membuka PKTK.

Penduduk terutama di kawasan dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa, selain boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa di laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 50 jalan raya di Selangor ditutup akibat banjir

SHAH ALAM, 19 DIS: Sebanyak 47 laluan jalan raya ditutup bagi kegunaan awam susulan banjir kilat di negeri ini.

Maklumat dikongsi Jabatan Kerja Raya (JKR) hari ini memaklumkan kesemua laluan terjejas itu melibat empat daerah iaitu Klang dengan 23 jalan raya, Petaling (15), Sepang (lapan) dan Hulu Langat (satu).

Berikut senarai laluan terlibat:

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi Twitter memaklumkan beberapa laluan utama lebuh raya ke Shah Alam yang masih ditutup dan meminta pengguna menggunakan laluan alternatif serta merancang perjalanan.

Antaranya leuh raya terlibat ialah:

1. Lebuhraya ELITE dari Seafield ke Shah Alam dan laluan keluar mandatori diaktifkan melalui Persimpangan Seafield – KESAS.

2. Lebuhraya NKVE dari Setia Alam ke Shah Alam dan laluan keluar mandatori diaktifkan melalui Plaza tol Subang.

3. Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) akibat banjir di KM 3.8 sehingga KM 4.4 dengan semua laluan ditutup untuk semua kenderaan.

4. Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dengan semua laluan di KM 33.40 arah barat ditutup sepenuhnya bagi semua kelas kenderaan manakala arah timur hanya kenderaan berat sahaja dibenarkan lalu di lorong kanan.

Categories
AGENDA NASIONAL

JKR terima 267 aduan jalan rosak akibat banjir

GUA MUSANG, 9 JAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) menerima sebanyak 267 laporan berhubung kerosakan jalan raya, jambatan, cerun runtuh dan jalan mendap membabitkan enam negeri yang dilanda banjir.

Ketua Pengarah JKR Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman berkata negeri terbabit ialah Kelantan, Johor, Pahang, Perak, Terengganu dan Selangor.

Beliau berkata antara kerosakan dilaporkan membabitkan 141 jalan, 58 cerun runtuh, lapan jalan mendap dan tiga jambatan rosak.

“Kita sudah mengarahkan semua JKR negeri terbabit supaya memantau keadaan itu supaya tidak membahayakan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan jalan di Lojing, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat disampaikan pemangku Pengarah JKR Kelantan Mohd Suhaili Ismail berhubung kejadian tanah runtuh pada Ahad lepas yang menyebabkan Jalan Gua Musang-Lojing di KM92 rosak, dipenuhi bongkah batu, kayu dan lumpur.

Kerosakan sepanjang hampir dua kilometer menyebabkan jalan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan dan hanya dibuka satu lorong sejak petang semalam, selepas kerja pembersihan dijalankan.

Mohamad Zulkefly berkata kajian akan dijalankan bagi mengetahui jumlah sebenar untuk kerja membaik pulih kerosakan jalan terbabit.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya diseru proaktif baiki jalan rosak seluruh negara

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerajaan Persekutuan diseru lebih proaktif membaik pulih dan menyelenggara jalan rosak di seluruh negara, kata Ahli Dewan Negeri Banting.

Lau Weng San berkata lebih memburukkan keadaan apabila Selangor mempunyai jaringan jalan raya terbanyak dan merekodkan kadar kegunaan dan kerosakan tertinggi dalam negara.

“Saya dan rakan-rakan sudah banyak kali membangkitkan isu kerosakan jalan, baik di dalam sidang Dewan Negeri Selangor mahupun mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur Majlis Perbandaran Kuala Langat.

“Justeru itu saya tidak bercadang mengkritik Jabatan Kerja Raya Kuala Langat kerana ‘tangan’ mereka terikat dengan kesuntukan peruntukan. Kementerian Kewangan sebenarnya harus memikul sebahagian besar tanggungjawab kerana mereka yang membuat keputusan akhir,” katanya dalam kenyataan.

Weng San turut terkejut dengan insiden kemalangan yang menimpa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada 27 Disember lalu.

“Jalan yang digunakan menteri itu merupakan antara jalan negeri yang tersibuk kerana menghubungkan Sri Cheeding dengan Banting. Malah ia turut menjadi jalan pintas Banting dengan Bandar Rimbayu serta Kota Kemuning.

“Jalan ini juga merupakan laluan kesukaan ramai pengayuh basikal pada hujung minggu dan cuti awam kerana kedudukannya yang strategik dan berdekatan dengan Lembah Klang dan Shah Alam,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga hari alih, bersih runtuhan bongkah batu

KUANTAN, 21 DIS: Kerja mengalih dan membersihkan runtuhan bongkah batu di Kilometer 40.70 Jalan Persekutuan ke Bukit Fraser melalui Raub, kira-kira 165km dari sini, awal pagi tadi dijangka mengambil masa selama tiga hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata ini ekoran saiz bongkah batu yang besar selain kerja tersebut perlu dilakukan dengan penuh cermat bagi mengelakkan kejadian runtuhan susulan.

“Setakat petang ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Raub mengarahkan pihak konsesi Roadcare (M) Sdn Bhd menghantar dua jentera pengorek kaut ke lokasi kejadian.

“Penilaian sedang dibuat untuk mengalihkan bongkah batu itu dengan menggunakan jentera berat yang bersesuaian,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Norolazali berkata pengguna yang hendak ke Bukit Fraser buat masa ini, dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Kuala Kubu Bharu, Selangor sehingga jalan itu dibuka semula apabila keadaan benar-benar selamat.

Beliau juga memaklumkan kejadian runtuhan bongkah batu itu merupakan kejadian kedua di lokasi sama, dengan kejadian runtuhan pertama berlaku pada Sabtu lalu, melibatkan pokok tumbang dan tanah runtuh.

“Bagaimanapun laluan itu kembali dibuka pada hari sama selepas kerja pembersihan dilakukan dan pemasangan tanda amaran serta makluman dilakukan selepas kerja pembersihan tamat.

“Runtuhan bongkah batu yang berlaku pada 5.50 pagi tadi bagaimanapun menyebabkan jalan itu perlu ditutup kepada semua kenderaan kerana runtuhan menghalang laluan sepenuhnya selain atas faktor keselamatan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan ibu pejabat JKR positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) di ibu pejabat JKR di Jalan Sultan Salahuddin disahkan positif Covid-19, semalam.

JKR dalam kenyataan hari ini berkata individu terbabit dikesan positif Covid-19 selepas menjalani ujian swab secara rawak di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak Isnin lepas (14 Sept).

Menurut jabatan itu, petugas terbabit pergi ke Kuching untuk menghadiri satu mesyuarat di JKR Sarawak dan menginap di sebuah hotel.

“Dalam perjalanan pulang, pihak Hospital Kuching telah menghubungi beliau dan memaklumkan beliau positif Covid-19.

“Beliau telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk rawatan lanjut sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam,” demikian menurut kenyataan itu.

Susulan kes itu, JKR telah mengemukakan senarai nama kontak rapat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan mereka akan menjalani saringan kesihatan serta kuarantin di rumah.

Selain itu, JKR juga mengambil langkah proaktif dengan menjalankan proses disinfeksi ke atas ruang pejabat dan kawasan persekitaran.

KKM hari ini merekodkan 21 kes baharu Covid-19 termasuk satu kes saringan di pintu masuk antarabangsa di Sarawak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiang penopang jejambat ke Bulatan Billion Cheras retak

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Salah satu daripada tiang penopang di jejambat susur laluan dari arah Ampang ke Bulatan Billion, Cheras di Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) di sini dikesan mengalami keretakan.

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) berikutan itu lorong kenderaan di susur itu dikecilkan bagi menghadkan bebanan di jejambat itu sebagai langkah keselamatan.

“Pengecilan lorong ini dilakukan selama empat bulan dan akan dibuka semula setelah siasatan terperinci dan kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan,” menurut kenyataan jabatan itu.

Selain papan tanda dan notis dipasang di lokasi itu, petugas pengawal bendera juga sentiasa ditempatkan untuk mengawal lalu lintas dan membantu pengguna jalan raya.

Menurut kenyataan itu lagi, Bahagian Forensik Jambatan JKR mengesan keretakan itu melalui pemeriksaan pada 23 Julai lalu dan sehubungan itu tindakan mengecilkan lorong daripada enam meter kepada 3.5 meter diambil pada 8 Ogos.

Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut boleh menghubungi JKR daerah Hulu Langat di talian 03-89114040.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jambatan Sungai Kerling ditutup sementara waktu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 8 JAN: Jalan Kuala Lumpur-Tanjung Malim FT001 Seksyen 454.50 di Jambatan Sungai Kerling akan ditutup kepada semua kenderaan, pada 9 dan 10 Januari ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan berkata, penutupan sementara laluan itu bermula dari jam 5 pagi hingga 10 malam bagi memberi laluan kerja pembinaan jambatan dan pemasangan rasuk jambatan di Sungai Kerling, di sini.

Katanya, jambatan terbabit ditutup kepada semua lalu lintas bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

“Papan tanda pemberitahuan akan dipasang di tapak untuk panduan pengguna, manakala bendera juga sentiasa berada di tapak untuk mengawal trafik.

“Pengguna jalan raya diminta menggunakan dua laluan alternatif dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur dan sebaliknya, iaitu melalui Laluan Persekutuan FT001 – Plaza Tol Sg Tanjung Malim – Lebuhraya Utara Selatan – Plaza tol Bukit Beruntung – Jalan Rasa Bukit Beruntung – Laluan Persekutuan FT001 dan Jalan Persekutuan FT001 – Jalan Kuala Kerling – Plaza tol Lembah Beringin – Lebuhraya Utara Selatan – Plaza tol Bukit Beruntung – Jalan Rasa Bukit Beruntung – Laluan Persekutuan FT002,” katanya.

Sehubungan itu, JKR berharap supaya semua pengguna jalan raya mematuhi tanda arah dan papan tanda keselamatan yang disediakan.

Pengguna jalan raya yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh berhubung dengan pejabat JKR Daerah Hulu Selangor, di talian 03-60641040 / 03-60641058 atau fax 03-60641123.

 

 

Categories
SELANGOR

Velo Fun Ride JKR Selangor ‘serampang dua mata’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 23 SEPT: Acara kayuhan basikal dianjurkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor diadakan bukan sahaja bertujuan mengeratkan lagi hubungan jabatan itu dengan masyarakat.

Pengarah JKR Selangor, Dato’ Ruslan Abdul Aziz berkata, acara itu juga bertujuan mengumpul dana bagi membiayai kelengkapan taska untuk anak kakitangan jabatan terbabit.

“Kita menjemput yang berminat menyertai kerana kita juga ada tujuan lain iaitu untuk mengumpul dana untuk taska anak kakitangan JKR bagi memudahkan urusan penjagaan anak kakitangan kita semasa mereka bekerja.

“Buat masa sekarang belum dapat tahu berapa jumlah kutipan diperolehi kerana perbelanjaan penganjuran acara ini juga agak besar,” katanya kepada Media Selangor pada acara Velo Fun Ride Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor di Jalan Kota Warisan di sini, hari ini.

Ruslan berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah RM600,000 untuk membina bangunan taska berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kutipan yang diperolehi daripada acara Velo Fun Ride ini akan digunakan untuk pembelian kelengkapan lain taska terbabit seperti kerusi, meja dan lain-lain.

Katanya lagi, taska itu terletak di Ibu Pejabat JKR Selangor di Jalan Jubli Intan, Seksyen 17, Shah Alam.

 

Categories
SELANGOR

Kerajaan kaji naik taraf laluan Jalan Kebun, Jalan Bukit Kemuning

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 1 OGOS: Kementerian Kerja Raya akan menjalankan projek menaik taraf laluan di Jalan Kebun dan Jalan Bukit Kemuning di sini, dengan kadar segera bagi memenuhi keperluan dan manfaat umum di kawasan berkenaan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, satu kajian segera akan dilakukan bagi keperluan itu dan kementerian akan memberi perhatian agar ia dapat diayakan seperti mana diminta komuniti di sini.

“Kita menerima permohonan bagi tujuan ini dan hasil lawatan ke sini, saya memutuskan projek menaik taraf kedua laluan ini perlu disegerakan dan kajian akan dilakukan secepat mungkin bagi merealisasikannya.

“Bagi saya ia satu cadangan baik dan kementerian memandang serius perkara ini kerana kawasan ini juga pesat membangun dengan industri serta terdapat masalah banjir yang perlu diatasi,” katanya kepada media selepas lawatan di kedua kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek menaik taraf dirancang itu membabitkan jarak laluan sejauh 12 kilometer (km) iaitu enam km bagi Jalan Kebun dan enam km (Jalan Bukit Kemuning dengan kos kira-kira RM230 juta.

Selain itu, katanya, kemudahan lampu isyarat di satu persimpangan jalan di kawasan itu juga turut mendapat pertimbangan kementerian untuk dilaksanakan.

“Walaupun kita akan menghadapi pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis tetapi pembangunan ini tetap akan dilaksanakan kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Kita adalah kerajaan yang mementingkan rakyat dan tidak mengambil kira fahaman politik kepartian,” katanya.

Projek menaik taraf di kedua laluan itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas dikurangkan dengan dua laluan sedia ada diluaskan menjadi empat laluan di sepanjang 12 km itu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raja, Anuar Mohd Tahir; ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri dan calon PAKATAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Categories
NASIONAL

Sistem tender terbuka untuk projek kerajaan

ALOR SETAR, 7 JUL: Kerajaan akan menggunakan sistem tender terbuka dengan meluas dan telus bagi projek kerajaan terutama yang berskala besar agar setiap sen wang rakyat dapat dibelanja dengan baik, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Ini kerana kerajaan membelanjakan lebih RM100 bilion setahun untuk perolehan melalui pelbagai projek dan kontrak dan ia adalah satu jumlah yang agak besar.

“Dengan jumlah yang begitu besar amat penting supaya tidak berlaku pembaziran dan menjadi kewajiban kerajaan untuk sentiasa memastikan wang ini dibelanjakan secara berhemah.”

“Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah baik sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan demi memastikan ia lebih berdaya saing dan seterusnya menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata kementerian menyasarkan penggunaan sekurang-kurangnya Tahap 2 Building Material Information (BIM) pada tahun hadapan bagi projek kerajaan bernilai lebih RM100 juta sejajar dengan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP).

SUMBER: BERNAMA