Categories
PBT SELANGOR

Jom sertai ‘Hargai Degupan Jantungmu’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melalui Jabatan Pembangunan Komuniti (JPK) bakal menganjurkan karnival ‘Hargai Degupan Jantungmu’, di Dewan Matahari MBSA Seksyen U5, di sini, pada 27 Januari ini.

Program kesihatan bertemakan ‘Jantung Sihat Generasi Hebat’ itu diadakan dengan kerjasama Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) zon 18.

JPK dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, program itu bertujuan meningkatkan tahap kesedaran berhubung penjagaan kesihatan jantung, selain memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan tips kesihatan jantung secara lengkap.

“Pelbagai pengisian program menarik disediakan termasuk aktiviti untuk kanak-kanak dan dewasa antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, pameran kesihatan serta ceramah kesihatan daripada wakil pakar perubatan UiTM.

“Selain itu, terdapat juga pemeriksaan gigi dan mata percuma, senamrobik bersama Aerodance UiTM, ‘pedometer challenge’, cabutan bertuah, pertandingan mewarna dan ‘pop the ballon’ untuk kanak-kanak,” katanya.

Penyediaan makanan percuma juga turut disediakan kepada penyertaan 400 orang terawal.