Categories
NASIONAL

KPDNHEP tahan pengurus ladang bawa 20 tong minyak diesel

 

ALOR SETAR, 15 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kubang Pasu menahan seorang pengurus ladang dan pekerjanya selepas disyaki membawa 20 tong plastik berisi 400 liter minyak diesel tanpa kebenaran di Changlun, semalam.

Ketua Cawangannya, Mohamad Amir Abdullah berkata, dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan di sebuah stesen minyak di kawasan itu kira-kira jam 6 petang sebelum menemui 20 tong plastik mengandungi 400 liter minyak diesel di atas lori tiga tan dinaiki mereka.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki dokumen kebenaran atau permit untuk menyimpan dan menggunakan barang kawalan terbabit daripada pegawai bekalan KPDNHEP dan bekalan itu adalah untuk kegunaan pertanian.

“Kita telah menyita minyak diesel berharga RM820 bersama lori digunakan. Selain itu, tindakan juga dikenakan terhadap pemilik stesen minyak kerana melanggar syarat lesen dengan menjual barang kawalan kepada orang yang tidak mempunyai permit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Amir berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan manakala bagi syarikat boleh didenda tidak lebih RM2 juta jika disabitkan kesalahan.

SUMBER: BERNAMA