Categories
SUKANKINI

Red Giants mula jelajah dengan langkah kanan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 JAN: Red Giants mempamerkan rentak meyakinkan apabila memulakan siri jelajah perlawanan pra musim ke Thailand dengan membenam MOF Customes United 3-0 di Stadium IPE Chonburi, Bangkok, malam tadi.

Babak pertama perlawanan, Selangor mendapat peluang pada minit ke-5 untuk meletakkan gol awal apabila hantaran jauh Endrick menemui Rufino Segovia namun situasi satu lawan satu bersama penjaga gol lawan tidak dapat disudahkan.

Penyerang, Rufino menghadirkan gol pertama buat Gergasi Merah selepas larian di sebelah kanan Syahmi Safari membuat hantaran terus ke dalam kotak penalti dan kuisan Endrick kepada Rufino disempurnakan dengan baik.

Jaringan itu meletakkan Selangor di depan dengan kedudukan 1-0.

Bersambung separuh masa kedua, Jurulatih Selangor, B Sathianathan membuat pertukaran dengan memasukkan K Sarkunan bagi menggantikan Abdul Halim Saari.

Pada minit ke-50, Rufino sekali lagi menambah kedukaan lawan melalui sepakan percuma selepas beliau dikasari di luar kotak penalti, sekali gus menjadikan kedudukan selesa 2-0.

Bijak menggunakan kealpaan lawan, Selangor terus menambah jaringan ketiga apabila Endrick menyudahkan hantaran daripada Wan Zack Haikal, pada minit ke-61.

Kemenangan itu juga sudah pasti menyuntik semangat anak buah Sathianathan yang akan meneruskan siri jelajah itu sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia 2019 dengan perlawanan kedua bertemu Chonburi FC, hari ini jam 4 petang waktu Thailand.