Categories
NASIONAL

Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah gelaran rasmi Sultan Pahang

PEKAN, 15 JAN: Sultan Pahang keenam Sultan Abdullah memakai gelaran rasmi sebagai Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Setiusaha Sulit Sultan Pahang, Kolonel Nazim Mohd Alim, gelaran itu membawa maksud Sultan Abdullah pembela agama yang dipilih Allah.

Sultan Abdullah dimasyhurkan menjadi Sultan Pahang keenam hari ini hasil keputusan sebulat suara mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang diadakan di Kuala Lumpur, pada 11 Januari lalu.

Baginda menggantikan ayahanda baginda yang kini dalam keadaan gering dan tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah.

Sultan Abdullah diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal Pekan merupakan cahaya mata keempat dan putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.

Baginda dipertanggungjawabkan menjadi Pemangku Raja Pahang, pada 28 Disember 2016 sehingga 11 Januari lalu setelah Sultan Ahmad Shah gering.

Kali pertama baginda memangku jawatan itu ialah ketika berusia 20 tahun pada 28 April 1979 semasa ayahanda baginda ditabal Yang di-Pertuan Agong pada 1979-1984.

– BERNAMA