Categories
NASIONAL

Tutup akaun kewangan 21 Disember pastikan fungsi kerajaan lancar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 8 JAN: Penutupan akaun kewangan negara pada 21 Disember lalu antara mekanisme baharu Kementerian Kewangan, bagi memastikan fungsi Kerajaan tidak terhenti terlalu lama.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, hal itu kerana penutupan awal akaun kewangan pada 15 November seperti dilaksana kerajaan terdahulu menyebabkan fungsi kerajaan terhenti sebulan setengah sehingga menyusahkan setiap urusan.

“Walaupun kita tutup akaun pada 21 Disember, tetapi kita tiada defisit dan masih ada lebihan (surplus).

“Ini menunjukkan bahawa pengurusan kewangan yang kita amalkan sangat baik berdasarkan Cekap, Amanah dan Telus (CAT) serta satu sistem perakaunan yang diguna pakai di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Majlis Penyerahan Cek Sekolah Pondok Berdaftar, di Aras 12, Blok Tengah Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Presint 2, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir.

Dalam majlis sama, Guan Eng turut menyerahkan cek RM25 juta untuk kesemua 228 Sekolah Pondok dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) yang berdaftar, di seluruh negara menerusi belanjawan 2019.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kebiasaannya peruntukan terbabit diberikan secara berfasa sepanjang tahun, tetapi kali ini ia diberikan pada awal Januari supaya pihak berkenaan dapat membuat perancangan lebih teratur dan komprehensif.

“Kita membuat keputusan untuk memberikan sekali gus pada awal Januari supaya bantuan ini juga dapat diagihkan secepat mungkin,” katanya.