Categories
GLOBAL NASIONAL

Arab Saudi meterai 8 perjanjian dengan Pakistan

RIYADH, 18 FEB: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud, memeterai lapan perjanjian dengan Pakistan bernilai US$20 bilion, semalam.

Agensi berita China Xinhua yang memetik Al Arabiya TV melaporkan, perjanjian itu antaranya berkaitan kilang penapisan kendalian syarikat Aramco milik Arab Saudi di pelabuhan Gwadar, Pakistan.

Ia adalah salah satu daripada kilang penapisan terbesar di dunia, bernilai US$10 bilion.

“Pakistan adalah sebuah negara yang dekat di hati rakyat Arab Saudi dan kami akan sentiasa menjadi rakan kongsi,” kata putera mahkota itu seperti yang dipetik oleh Al Arabiya.

Arab Saudi dan Pakistan kini menjalin usaha sama ke arah memperluas perkongsian ekonomi terutama dalam sektor pelancongan, kata baginda.

Putera mahkota Arab Saudi itu dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Pakistan, pusingan pertama siri jelajah Asia baginda yang bermula, pada Ahad.

Baginda dijadual melawat China dan India selepas ini.

*Sumber: BERNAMA