Categories
AGENDA NASIONAL

Arab Saudi: Permohonan umrah Ramadan sudah dibuka

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Kementerian Haji dan Umrah (MoHU) Arab Saudi mengumumkan permohonan permit untuk mengerjakan ibadah umrah sepanjang bulan Ramadan sudah dibuka mulai Ahad iaitu 6 Mac lalu melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.

Kementerian itu menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter rasminya menjelaskan ini bagi memudahkan bakal jemaah umrah Ramadan menyusun perancangan mereka lebih awal.

Bagaimanapun, kementerian mengingatkan jemaah yang mahu menukar tarikh tempahan permit akan diminta membatalkan permohonan terdahulu dan membuat permohonan baharu.

“Ini bagi memberi peluang sama rata kepada jemaah lain membuat tempahan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, slot tempahan umrah pada bulan Ramadan akan ditambah kepada 12 slot sehari berbanding lapan sebelum ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi batal peraturan penjarakan sosial, pelawat tidak perlu kuarantin

RIYADH, 6 MAC: Arab Saudi pada Sabtu mengumumkan bakal menarik balik beberapa lagi peraturan berkaitan COVID-19, susulan keadaan pandemik yang bertambah baik di negara itu.

Kementerian Dalam Negeri memutuskan bahawa penjarakan sosial akan ditarik balik tetapi rakyat masih perlu memakai pelitup muka di kawasan tertutup, lapor agensi berita Xinhua memetik SPA.

Selain itu, pengunjung yang masuk ke negara itu tidak perlu lagi menyediakan PCR atau ujian antigen pantas dan menjalani kuarantin wajib COVID-19 semasa ketibaan, tambah kementerian itu.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Arab Saudi mansuh had umur kunjungi Masjidil Haram, Masjid Nabawi

Categories
AGENDA NASIONAL

Kuota haji: Malaysia masih tunggu keputusan Arab Saudi

TAWAU, 27 FEB: Malaysia masih menunggu keputusan akhir daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kuota untuk rakyat Malaysia mengerjakan ibadah haji di negara itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata sehingga kini kerajaan belum menerima jumlah kuota yang diperuntukkan Arab Saudi, iaitu kebiasaannya Malaysia dibenarkan menghantar seramai kira-kira 32,000 jemaah.

“Sekiranya sudah ada angka yang tepat, kita akan mula menyaring jemaah yang layak untuk pergi mengerjakan haji tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Inspirasi Kasih Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini hari ini.

Selain itu, katanya, berikutan peningkatan sebanyak 15 peratus cukai tambah nilai (VAT) yang dikenakan Arab Saudi, kos haji dijangka meningkat tahun ini.

“Begitu juga dengan kos hotel di Arab Saudi mungkin akan meningkat disebabkan tatacara operasi piawai (SOP) yang mengurangkan jumlah jemaah dalam satu bilik, sekiranya ada peningkatan kos haji pada tahun ini, kerajaan (akan) pastikan ia tidak akan membebankan jemaah yang layak.

“Kerajaan mungkin akan melaksanakan subsidi secara bersasar kepada jemaah haji supaya mereka tidak terbeban dengan kenaikan kos yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai individu belum menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 yang dilarang masuk ke masjid, Ahmad Marzuk berkata ia adalah di bawah pihak berkuasa agama negeri.

“Walaupun ia tidak diwajibkan tetapi saya sangat galakkan seluruh rakyat Malaysia untuk mengambil dos penggalak sebagai pelindung tambahan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Marzuk menyampaikan sumbangan kepada 76 ketua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Titingan pada tahun lepas.

Sumbangan bakul makanan itu disumbangkan oleh YaPEIM bernilai RM28,000 serta Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (RM12,400).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Jangkitan naik 15,000 kes sehari jika tidak tangguh umrah

SHAH ALAM, 6 JAN: Jangkitan Covid-19 dalam negara boleh melonjak kepada lebih 15,000 kes sehari pada Januari dan Februari jika kerajaan tidak menangguhkan sementara ibadah umrah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata penangguhan tersebut meredakan penularan varian Omicron yang kebanyakannya melibatkan jemaah pulang dari Arab Saudi sekali gus mengelak sistem kesihatan negara lumpuh.

“Setakat ini, kita dapati jangkitan Omicron tidak seteruk Delta, tetapi apabila kes naik sampai 30,000 kes, walaupun pesakit hanya kategori 1 dan 2, kemasukan ke hospital akan meningkat.

“Sistem kesihatan kita baru saja nak pulih, berdasarkan kepada data setakat 30 September 2021, ada 57,355 kes tertunggak di hospital dengan 53,785 ialah berdasarkan kes pembedahan manakala 3,570 lagi ialah kes rawatan perubatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan pemulihan perkhidmatan kesihatan awam terjejas sekiranya gelombang Omicron tidak dibendung terutamanya apabila mula menular dalam kalangan petugas barisan hadapan.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Umrah ditangguh sebulan, perkenal SOP baharu kekang penularan Omicron

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerajaan memutuskan untuk menangguh sementara ibadah umrah selama sebulan bermula 8 Januari susulan penularan varian Omicron, kata menteri kesihatan

Khairy Jamaluddin berkata dalam tempoh penangguhan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan merangka tatacara operasi piawai (SOP)  baharu termasuk perlu mengambil dos penggalak sebelum mengerjakan umrah.

“Selain itu antara tambah baik SOP yang turut dilaksanakan adalah melibatkan pengurusan kes dan kontak rapat di Arab Saudi, pemantauan status kesihatan jemaah di Arab Saudi serta memperkukuhkan tanggungjawab kepada agensi pelancongan.

“Agensi pelancongan mesti memastikan pematuhan SOP jemaah umrah serta melaporkan kes positif dan kontak rapat kes positif,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata KKM melakukan penilaian risiko dari semasa ke semasa sebelum mempertimbangkan semula kebenaran mengerjakan umrah.

Categories
AGENDA GLOBAL

Jemaah umrah boleh dapatkan visa melalui aplikasi telefon

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kebenaran bagi jemaah dari luar Arab Saudi untuk mendapatkan visa melalui aplikasi telefon “Eatmarna” dan “Tawakkalna”.

Menurut Twitter rasmi kementerian itu, jemaah juga boleh mendapatkan kebenaran untuk menunaikan solat di Masjidil Haram dan menziarahi Masjid Nabawi melalui kedua-dua aplikasi berkenaan, selepas mendaftar melalui platform “Quddum” sebaik tiba di Arab Saudi.

“Bagi mempermudah urusan tetamu al-Rahman, kini jemaah dari luar Arab Saudi boleh mendapatkan visa umrah menerusi aplikasi “Eatmarna” dan “Tawakkalna” yang disediakan pada platform Google Play, App Store, App Gallery, Galaxy Store”,” menurut kementerian itu.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kementerian menyatakan kebenaran ini bagaimanapun terhad kepada jemaah yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi, selain mereka yang mendapat pengecualian seperti tertera pada aplikasi “Tawakkalna”.

Sementara itu, bagi pemegang visa umrah yang belum lengkap dua dos vaksin pula diminta untuk segera mendapatkan suntikan dos kedua dalam masa 48 jam di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di negara berkenaan.

Syarat-syarat ini ditetapkan demi memelihara kesihatan jemaah seperti mana ditetapkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Umrah: Malaysia runding dengan Arab Saudi tidak diskriminasi vaksin

PUTRAJAYA, 20 OKT: Malaysia masih berunding dengan Arab Saudi supaya tidak mendiskriminasi vaksin bagi individu yang ingin menunaikan umrah, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Kita masih berunding dengan Arab Saudi supaya tiada diskriminasi vaksin sebab kita dapati semua vaksin (yang digunakan Malaysia) berkesan dan selamat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan korporat Keluarga Malaysia di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini dilaporkan hanya menerima empat jenis vaksin iaitu keluaran Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna sahaja bagi individu yang mahu ke negara berkenaan.

Pada Julai lepas, negara itu mengumumkan individu yang sudah lengkap dos Sinovac dan Sinopharm diterima masuk ke negara itu dengan syarat menerima dos penggalak yang diiktiraf di Arab Saudi.

Khairy dalam pada itu berkata satu ciri baharu dalam MySejahtera akan disediakan bagi membolehkan individu memohon dos penggalak untuk memenuhi syarat negara lain termasuk bagi urusan mengerjakan umrah atau menunaikan haji.

Khairy sebelum ini memaklumkan individu yang mahu menunaikan umrah tetapi tidak menerima jenis vaksin ditetapkan Arab Saudi boleh memohon kepada KKM untuk mendapatkan suntikan penggalak menerusi aplikasi MySejahtera bermula bulan depan.

Pada majlis berkenaan, KKM menerima sumbangan sejumlah 81 unit katil elektronik bernilai RM2 juta daripada Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Program A’fiat TH 2021 bagi menambah keperluan katil unit rawatan rapi (ICU) di beberapa hospital terpilih.

“Sumbangan ini bukan sahaja akan digunakan di unit ICU malah di unit lain yang sama penting bagi menguruskan kes bukan COVID-19 dalam fasa transisi kita keluar dari pandemik ini,” kata Khairy yang menzahirkan penghargaan kepada TH atas sumbangan berkenaan.

Menurut menteri itu, sumbangan tersebut merupakan lanjutan daripada Program A’fiat TH 2020 di mana TH menyumbang 57 mesin hemodialisis kepada 42 hospital kerajaan dengan nilai sumbangan hampir RM2 juta.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri zahir penghargaan Arab Saudi sumbang sejuta vaksin, alat perubatan

SHAH ALAM, 30 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan penghargaan kepada pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Istana Negara dalam kenyataan berkata Baginda berdua menghargai sumbangan sejuta dos vaksin AstraZeneca dan 4.5 juta unit peralatan perubatan bernilai USD5 juta (RM21 juta) bagi membantu Malaysia menangani cabaran pandemik Covid-19.

“Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan penghargaan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud dan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud atas sumbangan yang tiba di Malaysia menerusi dua pesawat Saudia Airlines semalam dan hari ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai kemurahan hati Yang Mulia Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang telah menitahkan Pusat Kemanusiaan Raja Salman supaya segera menyalurkan sumbangan vaksin dan peralatan perubatan kepada Malaysia,” maklum kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.

Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Hussein atas pelaksanaan kerjasama di antara kedua-dua negara dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini.

Katanya, Baginda juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Datuk Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan dan kerajaan Arab Saudi atas sumbangan berkenaan.

“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Semoga sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini membantu negara memerangi pandemik Covid-19 dan memperhebatkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan perubatan Covid-19 dari Arab Saudi tiba di Malaysia

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Bantuan peralatan perubatan sumbangan Kerajaan Arab Saudi melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Center (KSrelief) untuk membantu Malaysia menangani cabaran pandemik Covid-19, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan bantuan itu dihantar menggunakan dua pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh pada pagi Khamis.

Sumbangan peralatan perubatan itu termasuk 100 alat bantuan pernafasan, 150 alat bantuan pernafasan mudah alih, 319 pemekat oksigen, 30 alat sokongan pernafasan, 150 katil perubatan elektrik, 15 vital signs monitors, tiga juta topeng pembedahan, satu juta topeng N95, 500,000 sarung tangan perubatan dan lain-lain keperluan perubatan.

Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada Khamis malam menyatakan bantuan itu akan diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Malaysia oleh duta Arab Saudi ke Malaysia pada Jumaat petang. Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka menghadiri acara penyerahan itu.

Menurut laporan SPA itu lagi, satu juta dos vaksin Covid-19 yang dijanjikan Arab Saudi akan diberikan melalui koordinasi dengan pejabat Menteri Luar Negeri. Vaksin itu akan disediakan oleh satu daripada pengeluar vaksin yang diluluskan Arab Saudi.

Bantuan itu disumbangkan susulan perbualan telefon antara Hishammuddin dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz baru-baru ini.

“Sumbangan ini melambangkan hubungan erat antara kedua-dua negara dan tanda keprihatinan Arab Saudi untuk membantu negara yang teruk terjejas akibat Covid-19,” kata SPA.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Arab Saudi agih vaksin, alat perubatan bantu Malaysia tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul Abdulaziz Al-Saud telah menitahkan “King Salman Centre for Relief and Humanitarian Action” supaya segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan untuk membantu Malaysia menangani cabaran Covid-19.

Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu baharu sahaja dimaklumkan kepadanya ketika berhubung dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.

Hishammuddin menyifatkan ia satu penghormatan besar dan benar-benar melambangkan ketulusan Kerajaan Arab Saudi dalam menjalinkan persahabatan dengan Malaysia.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, menjunjung kasih buat Baginda Raja Salman, Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud dan dan Kerajaan Arab Saudi atas kebaikan serta keprihatinan yang sangat mendalam ini,” katanya dalam hantaran Facebooknya, hari ini.

Hishammuddin berkata beliau akan terus bekerjasama rapat dengan Putera Mahkota Arab Saudi bagi memperincikan bentuk keperluan terkini yang Malaysia perlukan sekali gus memastikan titah Penjaga Dua Masjid Suci itu berjalan lancar.

Agensi Berita Saudi melaporkan Raja Salman telah menitahkan King Salman Humanitarian Aid and Relief Center (KSrelief) supaya segera menyalurkan Malaysia bantuan bagi menangani kesan pandemik Covid-19.

Bantuan itu termasuk satu juta dos vaksin Covid-19, peralatan perubatan, penjagaan dan rawatan, bekalan pencegahan dan lain-lain keperluan perubatan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi rancang benarkan ibadah haji dengan syarat ketat

RIYADH, 10 MEI: Arab Saudi mengumumkan rancangan untuk membenarkan ibadah haji pada tahun ini dengan peraturan langkah pencegahan yang ketat bagi menjamin kesihatan dan keselamatan jemaah, lapor Agensi Berita Xinhua, memetik Agensi Berita Saudi pada Ahad.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu masih menilai keadaan dan mengambil semua langkah untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang ramai, kata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Perincian mengenai pengurusan musim haji tahun ini akan diumumkan kemudian.

Kementerian itu juga tidak menyatakan sama ada jemaah asing akan dibenarkan melakukan ibadah haji bagi musim ini.

Tahun lalu, ibadah haji dibenarkan dengan jumlah jemaah yang terhad sebagai sebahagian langkah berjaga-jaga terhadap penularan Covid-19.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengumumkan 942 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Arab Saudi menjadikan keseluruhan jangkitan seramai 426,384.

Jumlah kes pulih meningkat kepada 409,740 dengan 1,064 lagi pesakit sembuh.

Dalam tempoh 24 jam lalu, angka kematian meningkat kepada 7,072 dengan 13 korban baharu dilaporkan.

– BERNAMA