Categories
NASIONAL

‘Back to basic’ untuk tawan Semenyih

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 13 FEB: Ketua Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN), Zuraida Kamaruddin mahu semua ahli dalam gabungan untuk tidak berasa terlalu selesa walaupun kini bergelar kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata, semua ahli perlu kembali ke dasar ketika menjadi menjadi pembangkang dahulu.

“Hanya kerana kita adalah kerajaan, tidak bermakna kita boleh berehat dengan kejayaan kita.

“Kita mesti kembali kepada dasar dan melakukan kempen seperti kita adalah pembangkang bagi memastikan kita mengambil semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih,” katanya pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama Wanita, di Beranang di sini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata, program turun padang ke rumah juga perlu diteruskan dari masa ke masa.

“Kita mesti pergi ke rumah, turun padang dan pada masa sama membantu golongan B40 kerana untuk menjadi sebuah negara maju, kita perlu membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut komited untuk membawa perubahan positif di DUN berkenaan jika PAKATAN sekali lagi diberikan mandat di kawasan itu.

“Kami dapat lihat pembangkang sekarang takut dan bimbang, sebab itu mereka bergabung.

“Saya tahu sukar untuk menang tetapi saya percaya dengan sikap dan pencapaian dilakukan, ia akan membuatkan kita menang kerusi ini.

“Orang Selangor tidak bodoh dan mereka boleh membezakan antara kerajaan semasa dan lama. Jangan biarkan pembangkang menipu anda memikirkan kita tidak peduli dengan orang Melayu dan Islam,” katanya.

Pilihan Raya Kecil Semenyih diadakan ekoran kematian Ahli Dewan Negerinya, Bakhtiar Mohd Nor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.