Categories
NASIONAL

Imigresen berkas 123 PATI di sekitar ibu negara

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Jabatan Imigresen (Imigresen) menahan 123 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Bersepadu, di sekitar pusat bandar raya, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memeriksa 536 warga asing di sekitar KLCC, kawasan luar pusat beli-belah Pavilion dan Jalan Bukit Bintang.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, menyalahgunakan pas, tinggal melebihi masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf serta beberapa kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen.

“Majoriti warga asing yang diperiksa ini adalah mereka yang mengambil peluang hari cuti umum untuk bertemu rakan senegara dan didapati mempunyai pas lawatan kerja sementara PLK(S) termasuk pas lawatan sosial PL(S) yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, terdapat warga asing yang mengambil jalan mudah dengan tidak membawa sebarang dokumen seperti pasport dan i-kad serta tidak mencerminkan kesedaran juga tidak menghormati undang-undang negara ini.

Katanya, kesemua yang ditahan dalam operasi berkenaan berumur antara 25 hingga 45 tahun dan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“Sehubungan itu, Imigresen mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau berhadapan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Mereka yang ditahan dalam operasi yang turut dibantu agensi penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pendaftaran Negara adalah 68 warga Bangladesh; 36 warga Indonesia; 9 warga Nepal; 7 warga Myanmar dan masing-masing 1 orang warga Pakistan, Yaman dan India.

Sepanjang Januari tahun ini, sebanyak 1,353 operasi penguatkuasaan dijalankan Imigresen dan 16,651 orang diperiksa serta 5,091 PATI ditahan.

Selain itu, seramai 83 majikan juga turut ditahan.