Categories
PBT SELANGOR

Padah abai kebersihan, premis makanan diarah tutup

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 FEB: Sekurang-kurangnya dua premis makanan di Seksyen 24, di sini diarah tutup oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ekoran tahap kebersihannya kurang memuaskan ketika operasi premis makanan, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya turut mengeluarkan lima notis dan sembilan kompaun terhadap premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, pemilik premis makanan masih lagi mengabaikan tahap kebersihan khususnya aspek penyediaan dan penyimpanan makanan, penggunaan peralatan kurang bersih, kebersihan kurang memuaskan, pekerja tidak mempunyai suntikan TY2 (anti-typhoid) dan sebagainya.

“Tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil sedia ada seperti Undang-Undang Kecil Estabslisyemen Makanan MBSA 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan & Perindustrian MBSA 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan MBSA 2007,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, operasi yang dijalankan di lima premis itu membabitkan Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Bangunan.

Turut serta, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Negeri Selangor (KPDNKK) dan Ahli Majlis Pengerusi Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 8, Mohd Azlan Shah Mohd Arshad.

Untuk makluman, MBSA mengadakan pemeriksaan di 615 premis dan daripada jumlah itu 28 premis diarah ditutup sepanjang 2018.

Manakala, pada 2019 sehingga 20 Januari lalu, sebanyak 68 premis diperiksa, 5 premis diarah ditutup, 57 notis pemberitahuan dan 22 kompaun dikeluarkan.

“Operasi seperti ini akan dijalankan secara berkala pada setiap bulan bagi memastikan premis-premis makanan di Shah Alam sentiasa bersih dan mematuhi syarat ditetapkan.

“MBSA berharap setiap premis makanan menjaga kebersihan serta mengamalkan pengendalian makanan yang betul serta memastikan pembantu kedai mendapat suntikan anti-Typhoid (TY2), menghadiri kursus pengendalian makanan, dan mendaftar untuk memiliki kad pengendalian makanan MBSA,” katanya.