Categories
NASIONAL

UTP-JPS meterai MoU pulih alam sekitar mampan

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk berkongsi kepakaran, teknologi dan sumber bagi pemuliharaan alam sekitar mampan.

Memorandum Persefahaman (MoU) untuk tujuan itu ditandatangani Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh, baru-baru ini.

Menerusi MoU itu, Institut Membina Kemampanan Sendiri (ISB) UTP bagi kehidupan pintar dan JPS akan bekerjasama dalam bidang hidraulik pantai dan kejuruteraan luar pesisir, program latihan, penyelidikan dan pembangunan bersama, program pembangunan kakitangan, penerbitan bersama hasil penyelidikan, akses jurnal dan perkongsian kemudahan dan kepakaran makmal.

“UTP amat menghargai sokongan ini dan kami berharap ia adalah permulaan hubungan dinamik dengan JPS.

“Kerjasama ini akan memberi peluang kepada penyelidik kami untuk bekerjasama dengan kumpulan profesional di JPS, “katanya.

Mohamed Ibrahim berkata, adalah penting bagi UTP untuk mengadakan hubungan dengan agensi-agensi kerajaan untuk kekal berdaya saing dan relevan dengan industri dan negara secara amnya, selaras dengan misi universiti itu untuk memperluas sempadan teknologi dan pendidikan untuk memperbaiki masyarakat.

ISB mengetuai penyelidikan dan inovasi teknologi hijau dan bersih (GLEAN) untuk bangunan, dalam bidang tenaga, bahan, air dan sisa serta kesannya terhadap kesejahteraan sosial dan komuniti.

Ia juga bertujuan mencarai penemuan dan inovasi serta amalan terbaik dalam bangunan dan komuniti yang mampan dan mesra alam.