Categories
SELANGOR

Alami Selangor 2019 usaha kolektif semua pihak

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 17 MAC: Penganjuran siri Jelajah 360° Smart Selangor disifatkan sebagai salah satu usaha kolektif semua pihak yang terbabit dalam pembangunan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Raja Shareen Raja Othman berkata, melalui jelajah itu, MBI menyampaikan informasi berkenaan inisiatif yang dilaksanakan.

Katanya, MBI juga menyediakan trak ‘Smart Selangor Virtual Reality Simulator’, yang memberikan gambaran kepada rakyat masa depan Smart Selangor serta wawasannya untuk menjadi sebuah negeri pintar, menjelang 2025.

“Ini antara gabungan kerjasama terbesar membabitkan anak syarikat, agensi dan jabatan Kerajaan Negeri serta pihak lain yang mahu menjayakan visi itu.

“Alami Smart Selangor tahun ini bermula di Sabak Bernam, jujurnya saya amat berbangga selepas selesai ketiga-tiga penganjuran, pada tahun lalu.

“Pada tahun ini, kita menyambung kembali jelajah ini bagi mempromosikan Smart Selangor serta menyampaikan intipati agenda Kerajaan Negeri kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Karvival Jelajah 360 Smart Selangor, di Stadium Sabak Bernam, di sini.

Raja Shahreen berkata, kewujudan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) sebagai salah sebuah agensi pelaksana jelas membuktikan komitmen diberikan Kerajaan Negeri.

Katany, SSDU turut mewujudkan inisiatif baru yang diharap dapat memberi kesan sebagai pemangkin ekonomi dan sosial masyarakat, di negeri ini.

“Sebagai satu agenda yang meluas, Smart Selangor mampu menghubungkan rakyat, pentadbiran negeri serta industri, supaya kualiti hidup rakyat dan ‘service delivery’ pihak kerajaan juga dapat dipertingkatkan di Selangor,” katanya.