Categories
EXCO SELANGOR

Jelajah 360º Smart Selangor bakal teroka bandar

OLEH ALIFF HAIKAL

BESTARI JAYA, 29 NOV: Karnival Jelajah 360º Smart Selangor anjuran Kerajaan Negeri bakal diteruskan tahun hadapan dengan memfokuskan kepada kawasan bandar dan luar bandar.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata program dengan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu menjadi landasan kerajaan memperkenalkan produk untuk manfaat rakyat.

“Kebanyakan rakyat terutama di kawasan luar bandar kurang menerima pendedahan berhubung produk Kerajaan Negeri seperti Smart State dan Smart Parking.

“Oleh itu, kita akan terus komited mempromosi Smart Selangor dalam menyampaikan agenda Kerajaan Negeri kepada rakyat dan menyeimbangkan destinasi program membabitkan kawasan bandar dan luar bandar pada masa hadapan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada perasmian Jelajah 360º Smart Selangor Edisi Khas Sempena Istiadat Konvokesyen Ke-14 Universiti Selangor (UNISEL) 2019 di kampus Bestari Jaya di sini hari ini.

Antara pengisian program ialah Santai@UNISEL, Zumbathon, Soopa Doopa, Bumble Bee, Ultraman, Upin & Ipin Store, e-sukan dan cabutan bertuah.

Sementara itu, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata pemilihan universiti terbabit sebagai destinasi program dapat menaikkan imej UNISEL sebagai pusat pengajian awam berkualiti selaras institusi lain.

“Ia sekali gus dapat menarik minat masyarakat terutama pada istiadat konvokesyen ke-14 yang bakal berlangsung hujung minggu ini,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jelajah 360 Smart Selangor di Kapar bermula hari ini

KAPAR, 7 SEPT: Jelajah 360 Smart Selangor anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor untuk siri keenam bagi daerah Klang yang berlangsung di Jalan Pasar Malam Bukit Kapar, di sini, bermula hari ini.

Jelajah berkonsepkan karnival itu turut mendapat kerjasama erat Universiti Selangor (UNISEL) termasuk Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Aktiviti yang berlangsung hari ini termasuk taklimat pinjaman simpanan oleh Hijrah Selangor, program motivasi pelajar, ‘meet and greet’ Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan tidak ketinggalan cabutan bertuah.

Adun Sementa, Daroyah Alwi bergambar bersama pemenang yang menjawab soalan pada sesi taklimat Kempen Jimat Air ketika program Karnival Jelajah 360 Smart Selangor di Jalan Pasar Malam Bukit Kapar Klang, pada 7 September 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Penduduk Klang juga berpeluang menikmati Konsert Alami Smart Selangor yang akan diserikan dengan kehadiran Aiman Tino, Mark Adam, Shiha Mentor, Sabhi Sadhi dan Man Raja Lawak.

Karnival jelajah yang berlangsung hingga esok turut menampilkan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar melalui program Zumbathon.

MBI dalam kenyataan berkata, pemilihan Klang sebagai lokasi ketiga mempunyai signifikan tersendiri termasuk bergelar Bandar DiRaja bagi Selangor serta mempunyai kepadatan penduduk tertinggi.

Pengunjung yang hadir pada program Karnival Jelajah 360 Smart Selangor di Jalan Pasar Malam Bukit Kapar Klan, pada.7 September 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

“Rakyat Selangor dipelawa memeriahkan karnival ini kerana pelbagai inisiatif diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

“Jelajah 360 Smart Selangor juga dilihat mampu menghubungkan rakyat secara terus kepada pentadbiran negeri dan pada masa sama ‘service delivery’ kerajaan dapat ditingkatkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jelajah Smart Selangor dedah permainan e-sukan

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

KAJANG, 1 JUL: Jelajah 360 Smart Selangor bawakan pengunjung mendekati sukan elektronik (e-sukan) yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat khuasusnya belia pada masa kini.

Pengurus Pemasaran Acara Orange E-Sports, Rayson Wong berkata, pihaknya mahu dedahkan e-sukan kepada masyarakat supaya mereka mengetahui ia juga adalah perlawanan kompetatif seperti sukan lain.

“Kita menyediakan tiga elemen permainan iaitu console iaitu PlayStation 4, permainan realiti maya, zon ‘mobile’ dan komputer.

“Kita ada lima permainan video yang kita sediakan contohnya Defend Of The Ancient 2 (DoTA2) , Counter Srtike: Global Offensive (CS:GO), Player Unknown Battle Ground (PUBG), FIFA19, Tekken 7, Perlumbaan simulator dan Beat Dance.

“Banyak hadiah menarik yang diberi kepada pemenang seperti tetikus berjenama Logitech, alas tetikus pasukan kita dan baju pasukan kita yang dituliskan nama pemenang,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Terdahulu, Jelajah 360 Smart Selangor yang diadakan selama tiga hari sejak Jumaat lalu bertujuan menghubungkan rakyat secara terus kepada pentadbiran negeri, sekali gus meningkatkan ‘service delivery’ Kerajaan Negeri.

 

Categories
SELANGOR

Karnival Jelajah 360 Smart Selangor: UNISEL tawar potongan yuran 30%

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 30 JUN: Universiti Selangor (UNISEL) menawarkan potongan 30 peratus yuran kemasukan sempena Karnival Jelajah 360 Smart Selangor yang diadakan selama tiga hari sejak Jumaat lalu, di Stadium Kajang, di sini.

Pengarah Pemasaran dan Kemasukan UNISEL, Noor Azman Kamal berkata, potongan yuran itu bagi program diploma dan ijazah untuk sesi kemasukan Julai dan Ogos 2019.

Katanya, orang ramai digalakkan mengambil peluang itu memandangkan potongan terbabit hanya berlangsung ketika karnival diadakan.

“Orang ramai yang berkunjung ke karnival ini boleh ke gerai pameran UNISEL untuk mendapatkan potongan 30 peratus dan jika ada sebarang pertanyaan boleh terus bertanya kepada kami ketika hari kejadian.

“Menariknya, UNISEL turut menawarkan yuran pengajian percuma bagi semua program tahun asas dan jika ada yang berminat mereka boleh berdaftar terus kepada kami ketika karnival atau sehingga tarikh tutup pada 27 Julai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas Konsert Alami #SmartSelangor yang diadakan di Stadium Kajang, di sini malam tadi.

Pada masa sama, katanya, program tahun asas selama satu tahun itu sebagai alternatif terbaik kepada mereka yang berkelayakan untuk mengambil jalan singkat bagi menyambung ijazah.

“Kita tidak mempunyai sebarang had pendaftaran, selagi pelajar itu layak dan warganegara Malaysia, mereka akan automatik berpeluang mendapat yuran percuma ini.

“Selain itu, kita optimis masyarakat mengambil peluang ini dan dapat jadikan UNISEL sebagai pilihan utama bagi melanjutkan pelajaran,” katanya.

Noor Azman turut menekankan yuran di UNISEL antara 50 peratus terendah berbanding universiti lain.

Karnival Jelajah 360 Smart Selangor dianjurkanan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan dikuasakan UNISEL.

Kajang menjadi lokasi keempat selepas mendapat sambutan hangat sebelum ini di Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu dan Sabak Bernam.

Categories
SELANGOR

Alyah puji inisiatif laksana Jelajah 360 Smart Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 30 JUN: Penyanyi terkenal tanah air, Datin Noor Hasliah Abu Hasan atau lebih dikenali sebagai Alyah memuji inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam menganjurkan Karnival Jelajah 360 Smart Selangor.

Alyah ketika ditemui SelangorKini berkata, karnival sedemikian mampu mengeratkan hubungan antara selebriti, masyarakat dan Kerajaan Negeri.

Katanya, usaha Kerajaan Negeri dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor seharusnya dipuji kerana karnival itu sebagai salah satu landasan untuk pemimpin membantu masyarakat.

“Secara jujur selain menyanyi, jiwa saya juga lebih terarah kepada perniagaan dan apabila tiba sahaja di sini saya lihat terdapat banyak gerai jualan. Ini satu perkara yang bagus kerana Kerajaan Negeri menyokong serta menggalakkan rakyat berniaga.

“Saya rasa karnival sebegini perlu diteruskan lagi pada masa akan datang dan terima kasih MBI kerana mengundang saya menghiburkan pengunjung pada malam ini,” katanya yang ditemui selepas Konsert Alami #SmartSelangor di Stadium Kajang, di sini, malam tadi.

Mengulas perancangan kerjaya seninya kini, penyanyi yang popular dengan lagu Jutaan Purnama itu berkata, beliau sedang giat mempromosikan muzik video terbaharunya iaitu Meluruh.

“Saya baharu sahaja selesai merakam muzik video, Meluruh di Kuala Terengganu dan kini sedang giat untuk merangka promosi ‘single’ terbabit. Nantikan kemunculannya tidak lama sahaja lagi.

“Manakala daripada sisi perniagaan pula, saya juga masih aktif mempromosi produk saya sendiri iaitu kanta lekap Eyenoon by Alyah dan sabun Geboo Crystal Tomato by Alyah,” kata penyanyi berusia 38 tahun itu.

Categories
SELANGOR

‘Kenali KDEB’ landasan terbaik dedah operasi pembersihan

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 18 MAC: Slot Kenali KDEB Waste Management (KDEBWM) di Jelajah 360 Smart Selangor merupakan landasan terbaik untuk orang awam mengetahui lebih lanjut berkaitan perkhidmatan ditawarkannya di sesuatu kawasan.

Ketua Jabatan Media dan Perhubungan Awam KDEBWM, Mahfuzah Muhamad Tarmidi berkata, selain menyediakan ruang pameran, slot berkenaan turut menerangkan mekanisme penyaluran aduan berhubung sisa pepejal pada saluran yang tepat.

“Ia termasuk menggalakkan penduduk Sabak Bernam memuatnaik aplikasi iClean supaya sesuatu aduan lebih teratur, sistematik dan lebih pintar.

“Justeru, di program jelajah ini orang ramai boleh mendapatkan maklumat tepat mengenai KDEBWM dan ini merupakan tempat terbaik untuk kakitangan menerangkannya kepada orang awam,” katanya kepada SelangorKini.

Mahfuzah yang mengendalikan slot Kenali KDEBWM itu turut menerangkan latar belakang dan tugas syarikat yang diberikan tanggungjawab menguruskan kutipan sisa domestik dan pembersihan awam seluruh Selangor.

Manakala, katanya, di kawasan Sabak Bernam, pihaknya mula mengambil alih operasi kutipan sisa pepejal kira-kira lima bulan lalu.

“Oleh itu, menerusi slot ini kita menerangkan kepada orang awam skop kutipan di kawasan itu termasuk jadual kutipan harian,” katanya.

Jelajah 360 Smart Selangor itu diadakan pada Sabtu dan Ahad lalu di Stadium Sungai Besar, di sini yang bertujuan menyampaikan maklumat berhubung pelaksanaan inisiatif-inisiatif Smart Selangor.

KDEBWM adalah syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yang diberikan tanggungjawab melakukan kerja pembersihan berkenaan secara berperingkat.

Pengurusan kutipan sampah di semua kawasan oleh pihaknya menjanjikan pembaharuan modus operandi dengan konsep ‘Smart Waste Solution’.

Sehingga kini, KDEBWM sudah mengambil alih kerja pembersihan di 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pada Julai ini, pihaknya akan mengambil alih Majlis Bandaraya Shah Alam.

Dengan pengambilalihan itu menjadikan kesemua kerja pembersihan di Selangor di bawah selianya KDEBWM.

Categories
SELANGOR

Alami Selangor 2019 usaha kolektif semua pihak

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 17 MAC: Penganjuran siri Jelajah 360° Smart Selangor disifatkan sebagai salah satu usaha kolektif semua pihak yang terbabit dalam pembangunan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Raja Shareen Raja Othman berkata, melalui jelajah itu, MBI menyampaikan informasi berkenaan inisiatif yang dilaksanakan.

Katanya, MBI juga menyediakan trak ‘Smart Selangor Virtual Reality Simulator’, yang memberikan gambaran kepada rakyat masa depan Smart Selangor serta wawasannya untuk menjadi sebuah negeri pintar, menjelang 2025.

“Ini antara gabungan kerjasama terbesar membabitkan anak syarikat, agensi dan jabatan Kerajaan Negeri serta pihak lain yang mahu menjayakan visi itu.

“Alami Smart Selangor tahun ini bermula di Sabak Bernam, jujurnya saya amat berbangga selepas selesai ketiga-tiga penganjuran, pada tahun lalu.

“Pada tahun ini, kita menyambung kembali jelajah ini bagi mempromosikan Smart Selangor serta menyampaikan intipati agenda Kerajaan Negeri kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Karvival Jelajah 360 Smart Selangor, di Stadium Sabak Bernam, di sini.

Raja Shahreen berkata, kewujudan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) sebagai salah sebuah agensi pelaksana jelas membuktikan komitmen diberikan Kerajaan Negeri.

Katany, SSDU turut mewujudkan inisiatif baru yang diharap dapat memberi kesan sebagai pemangkin ekonomi dan sosial masyarakat, di negeri ini.

“Sebagai satu agenda yang meluas, Smart Selangor mampu menghubungkan rakyat, pentadbiran negeri serta industri, supaya kualiti hidup rakyat dan ‘service delivery’ pihak kerajaan juga dapat dipertingkatkan di Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jelajah 360° Smart Selangor sasar 100,000 pengunjung

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SABAK BERNAM, 16 MAC: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menyasarkan lebih 100,000 pengunjung menyertai program Jelajah 360° Smart Selangor, di Sungai Besar, di sini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya, Haniza Abd Aziz berkata, tiga jelajah yang dianjurkan sebelum ini pernah mencatatkan 70,000 pengunjung keseluruhannya.

Katanya, ketika ini jelajah itu sudah mempunyai pengikut setia yang akan mengikuti setiap program dianjurkan.

“Antara pengunjung tetap kami seperti beberapa pasukan bola kerajang, mereka pernah menyertai ketika di Pantai Remis, Pantai Morib dan Hulu Selangor, kini masih menyertai di Sabak Bernam.

“Hasil tinjauan, pengunjung jelajah semakin bertambah, ini menunjukan Jelajah 360° Smart Selangor mendapat tempat di hati rakyat,” katanya ketika ditemui di Perkarangan Stadium Sungai Besar, di sini.

Pada masa sama, Haniza berkata, pihaknya akan menambah baik pengisian program dari semasa ke semasa supaya lebih bermakna kepada pengunjung.

Jelajah 360° Smart Selangor seterusnya bakal diadakan di Kajang, Klang dan Selayang.

Categories
SELANGOR

‘Meet and Greet’ bersama pemain Red Giants meriah

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SABAK BERNAM, 16 MAC: Program ‘Meet and Greet’ bersama pemain bola sepak Selangor, di perkarangan Stadium Sungai Besar, di sini, mendapat sambutan baik warga Sabak Bernam.

Program di bawah Jelajah 360° Smart Selangor itu membawakan dua pemain Red Giants, iaitu Amri Yahya dan Taylor Regan.

Selain beramah mesra, pengunjung juga berpeluang menimbang bola di hadapan kedua-dua pemain itu dan bergambar serta mendapatkan tandatangan mereka.

Sementara itu, Amri berkata, program terbabit perlu dianjurkan lagi pada masa akan datang kerana dapat mengeratkan silaturahim antara pemain dan peminat.

“Alhamdulillah, ramai yang datang program hari ini. Saya harap ia akan diteruskan pada masa akan datang, kerana dapat mengeratkan silaturahim bersama penduduk,” katanya.

Jelajah 360° Smart Selangor adalah inisiatif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor bertujuan mendokong aspirasi Kerajaan Negeri menjadi negeri pintar (Smart State).

Categories
SELANGOR

Jelajah 360° Smart Selangor di Sabak Bernam Sabtu ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MAC: Jelajah 360° Smart Selangor mula membuka tirai bagi tahun ini di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam bermula Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Raja Shahreen Raja Othman berkata, selain Sabak Bernam, jelajah berkenaan akan diadakan di Kajang, Klang dan Selayang.

Katanya, pihaknya menyasarkan ratusan ribu pengunjung ke sepanjang program berkenaan diadakan.

“Jika penutup jelajah ini pada tahun lalu di Morib kita mendapat 70,000 pengunjung, maka tahun ini kita berharap kita menerima ratusan ribu penduduk hadir.

“Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk memberi pendekatan secara terus kepada rakyat Selangor berkenaan agenda Kerajaan Negeri dan sekali gus, mempromosikan aspirasi Smart Selangor.

“Kita mahu rakyat di negeri ini bukan hanya membaca berkenaan inisiatif ini sebaliknya merasai sendiri apa itu Smart Selangor untuk bersama-sama dengan kita,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik bermula dari pagi hingga malam antaranya trak VR Smart Selangor, Smart Selangor Mobile Library dan i-station, pameran agensi kerajaan dan penerangan Inisiatif Peduli Rakyat.

Turut diadakan meet and great pemain FA Selangor, bazaria, pertandingan busker, pertandingan futsal, sukaneka rakyat dan autoshow.

Ia dimeriahkan juga dengan konsert lagenda rock Malaysia, Datuk Ramli Sarip, selain beberapa artis lain, Sandra Dianne, Kucaimars, Sabhi Sadhi, Baby Shima, Ippo Hafiz dan Sheryl Shazwani.

Categories
SELANGOR

Jelajah 360° Smart Selangor – Tampil ‘Acapella’ wanita pertama di Malaysia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 NOV: Pertama kali, kumpulan penyanyi ‘Acapella’ wanita pertama di Malaysia dibawa menyertai konsert sempena Jelajah 360° Smart Selangor, di Batang Kali, Ahad ini.

Ahli kumpulannya, Nur Fatin Nasuha Azmi, 21 berkata, ia adalah kali pertama Bahiyya Haneesa tampil di pentas membuat persembahan untuk orang awam.

“Biasanya kami hanya membuat sesi persembahan di kampus-kampus universiti sahaja memandangkan ahli-ahli Bahiyya Haneesa sendiri terdiri daripada penuntut Universiti Malaya.

“Jadi saya ingin menyeru kepada peminat Bahiyya Haneesa mahupun penggemar muzik acapella bolehlah turun beramai-ramai ke Oasis Batang Kali untuk menyaksikan persembahan live dari kami,” katanya kepada SelangorKini.

Bahiyya Haneesa yang terdiri daripada 10 anggota berusia dari 21 hingga 23 tahun itu mula meningkat naik selepas nyanyian semula lagu Jampi, Hael Husaini menjadi tular di media sosial.

Mendapat jolokan Kumpulan ‘Pitch Perfect Malaysia’, Bahiyya Haneesa juga mampu membawa pelbagai jenis rentak muzik tanpa menggunakan sebarang instrumen muzik.

Nur Fatin berkata, kumpulannya sudahpun mengeluarkan lagu terbaru bertajuk Material dan kini boleh didengari melalui instagram, youtube dan juga twitter.

“Sepanjang konsert itu nanti, kami juga akan menyanyikan lagu popular dari Faizal Tahir iaitu Ragaman.

“Kepada peminat di luar sana, jangan lepaskan peluang kali ini, datanglah beramai-ramai ke Batang Kali sempena Jelajah 360° Smart Selangor,” katanya.

Selain Bahiyya Haneesa, Bandi Amuk, Tomok dan Black Hanifah juga tampil membuat persembahan pada Konsert Alami #SmartSelangor bermula jam 8 malam, bermula Ahad ini.

 

Categories
SELANGOR

Jelajah 360° Smart Selangor: UNISEL tawar rebat 30 peratus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 NOV: Universiti Selangor (UNISEL) menawarkan rebat 30 peratus bagi yuran pendaftaran sempena Jelajah 360° Smart Selangor di Batang Kali, hujung minggu ini.

Pengarah Komunikasi Korporat, Hasril Abu Hassan berkata, ia hanya boleh didapati sempena Program Santai @UNISEL siri 13 di Oasis Street Mall, Batang Kali, Hulu Selangor.

Katanya, tawaran itu dibuat bagi orang ramai yang berminat menyambung pelajaran ke UNISEL bagi kemasukan bermula April 2019.

“Tawaran ini hanya diberikan kepada pengunjung sempena Jelajah 360° Smart Selangor sahaja, ia tidak ditawarkan melalui sistem online dan lain-lain,

“Oleh sebab itu, saya menyeru kepada ibu-bapa yang berminat mendaftarkan anak mereka di UNISEL, bolehlah datang ke Hulu Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Hasril berkata, tambah menarik, program kali ini turut dimeriahkan Man Raja Lawak, Ezad Lazim, Bell Ngasri dan Syuk Hot FM.

“Kami tidak mahu program pendidikan sebegini dianggap membosankan, biarlah ia dijalankan secara santai sahaja supaya lebih ramai yang akan datang.

“Ini selari dengan matlamat UNISEL yang mahu ‘merakyatkan pendidikan’,” katanya.