Categories
SELANGOR

EXCO: Pemaju dapat hak milik tanah di era BN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Syarikat pemaju yang didapati menceroboh sebahagian hutan simpan kekal di Bukit Cherakah Tambahan memperolehi tanah seluas 45.47 hektar tanah sebelum 2008 lagi.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, syarikat pemaju terbabit mempunyai hak untuk membangunkan tanah yang sah milik mereka.

“Ada yang bertanya kenapa kita luluskan pembangunan ini. Untuk makluman tanah di sebelah sana memang hak milik syarikat itu dan mereka dapat tanah daripada Kerajaan Negeri sebelum 2008 lagi di era Barisan Nasional (BN).

“Jangan salahkan Kerajaan Negeri sekarang kerana mengikut undang-undang mereka ada hak membangunkan tanah yang mereka miliki dan kita tak boleh sekat sekiranya mereka mengemukakan permohonan dengan mengikut prosedur dan undang-undang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi pencerobohan hutan simpan kekal di Bukit Cherakah Tambahan di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, syarikat pemaju itu didapati menceroboh kawasan hutan simpanan kekal seluas 11.19 hektar bagi membina cerun.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada syarikat terbabit untuk dibawa ke pengadilan.

Selain tindakan undang-undang di mahkamah, Kerajaan Negeri turut menuntut ganti rugi 10 kali ganda nilai pokok yang musnah.