Categories
GLOBAL NASIONAL

Lebih 2.6 juta buang undi awal di Thailand esok

BANGKOK, 16 MAC: Sejumlah 2,632,935 pengundi awal yang berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka esok, menjelang pilihan raya umum Thailand, pada 24 Mac ini.

Proses pembuangan undi awal akan bermula 8 pagi hingga 5 petang esok di 380 stesen mengundi di negara itu bagi pengundi yang mendaftar untuk mengundi di luar kawasan mengundi mereka di Thailand.

Bagaimanapun, mereka yang telah mendaftar, tetapi tidak datang mengundi esok tidak dibenarkan mengundi pada 24 Mac nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) Thailand menjangkakan jumlah kehadiran yang tinggi dalam pilihan raya awal esok memandangkan ini merupakan pilihan raya pertama yang diadakan selepas rampasan kuasa tentera 2014.

Ketua Setiausaha EC Jarungvith Phumma mengulangi bahawa suruhajaya itu bersedia bagi memastikan perjalanan pilihan raya yang lancar, pada Ahad.

Beliau menasihatkan pengundi awal untuk menyemak dalam senarai EC mengenai nombor calon di kawasan pilihan raya yang mereka yang mendaftar dan bukannya dalam senarai yang mereka daftar untuk pengundian awal.

Kertas undi untuk pengundian awal tidak akan dikira di stesen-stesen mengundi esok tetapi ia akan disusun dengan sewajarnya dan disimpan di balai polis untuk keselamatan. Ia akan dihantar ke kawasan masing-masing untuk dikira pada 24 Mac.

Sementara itu, kedai dan restoran dilarang menjual alkohol selama 24 jam bermula 6 petang Sabtu sehingga 6 petang Ahad (pengundian awal) dan hujung minggu depan bermula 6 petang, pada 23 Mac hingga 6 petang, pada 24 Mac (hari pengundian).

Undang-undang pilihan raya melarang sesiapa sahaja “untuk menjual, mengedar, memberi alkohol atau mengadakan parti atau acara sosial yang menyajikan alkohol ” dan sesiapa yang melanggar undang-undang akan dikenakan denda hingga 10,000 baht atau dipenjara tidak lebih daripada satu tahun.

Polis Thailand berkata sekatan itu adalah untuk mengelakkan penipuan pilihan raya, termasuk membeli undi dengan menganjurkan pesta pada malam sebelum pengundian.

Timbalan jurucakap Polis Diraja Thailand Kritsana Pattanacharoen berkata pihak polis telah membuat persiapan untuk pengundian awal pada hari Ahad serta hari pengundian, minggu depan.

“Anggota polis akan ditempatkan di stesen-stesen mengundi untuk memastikan pengundian yang lancar dan juga 24 Mac,” katanya.

Lebih 51 juta pengundi yang layak termasuk 7.33 pengundi kali pertama dijangka mengundi dalam pilihan raya umum yang akan ditunggu-tunggu di Thailand pada Ahad depan.

Setakat 1 Feb, terdapat 24,801,527 pengundi lelaki dan 26,618,448 pengundi wanita layak mengundi di negara gajah putih ini.

Sebanyak 119,148 orang rakyat Thailand telah mendaftar untuk mengundi di luar negara. Mereka mula mengundi di kedutaan atau konsulat mulai 4 Mac dan berakhir hari ini. -BERNAMA