Categories
NASIONAL

Lebih 3,000 pelajar tercicir sekolah di Selangor tahun ini

KLANG, 21 MAC: Seramai 3,311 pelajar di Selangor dilaporkan keciciran persekolahan pada tahun ini.

Pengarah Pendidikan Negeri, Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, antara faktor penyebabnya yang dikenal pasti ialah mereka berkahwin, tidak berminat ke sekolah, digantung dan dibuang sekolah.

Beliau berkata, empat daerah mencatatkan jumlah pelajar keciciran persekolahan yang tinggi iaitu di Petaling Perdana, Klang, Hulu Langat dan Gombak.

“Peratus yang lebih tinggi dan ketara terlibat dengan masalah keciciran persekolahan ini adalah sekolah di peringkat menengah.

“Ada pelajar yang mempunyai masalah keluarga seperti kemiskinan di mana pelajar terpaksa bekerja untuk menyara diri, masalah kesihatan, masalah pengangkutan dan ada juga yang dipengaruhi dadah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sifar Murid Cicir Negeri Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Klang di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Unit Pengurusan Program Khas dan Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Haris Yahaya.

Mohd Salleh berkata, pelbagai usaha dijalankan bagi mengurangkan masalah keciciran pelajar, antaranya menerusi Program Sifar Murid Cicir.

“Program ini merangkumi tiga jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Penyiasatan Murid Cicir (JPMC), Jawatankuasa Peningkatan Enrolmen Pendidikan Menengah (JPEM) dan Jawatankuasa Pengurusan Murid Berisiko Cicir (JPMBC).

“Jabatan ini menyasarkan 60 peratus atau 1,987 murid akan kembali ke sekolah melalui Program Sifar Murid Cicir dalam tempoh setahun,” katanya.

Tambah beliau, program itu hasil kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Selangor, Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurutnya lagi, dalam tempoh antara Januari dan Februari 2019, terdapat kesan positif yang ketara ditunjukkan di mana ada penurunan dari segi bilangan keciciran pelajar.

“Ramai sudah kita bawa masuk kembali ke sekolah, contohnya tadi seramai tujuh murid, enam sekolah rendah dan seorang sekolah menengah,” katanya.

SUMBER: BERNAMA