Categories
NASIONAL

Lebih 50 lelaki direkod mangsa keganasan rumah tangga

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sejumlah 56 lelaki menjadi mangsa keganasan rumah tangga dari Jun 2017 hingga Jun tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, jumlah itu merupakan 5.4 peratus daripada keseluruhan kes iaitu sebanyak 1,037 kes.

Beliau berkata, daripada keseluruhan kes itu, ia antaranya melibatkan 484 kes mencederakan mangsa secara fizikal dan 401 kes sengaja meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan.

“Manakala sebanyak 69 kes adalah penderaan secara psikologi dan emosi serta melakukan khianat atau merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan dan kegusaran sebanyak 30 kes,” katanya di persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) yang ingin tahu jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada JKM bagi tempoh 2017 hingga kini.

Yeoh berkata, kementerian telah melakukan pindaan berkenaan Akta Keganasan Rumah Tangga dan mempertingkatkan lagi usaha memberikan perlindungan kepada mangsa dengan cara memberi perintah perlindungan sementara, memindahkan mangsa supaya tinggal berasingan atau kembali ke rumah ibu bapa dan saudara-mara.

SUMBER: BERNAMA