Categories
GLOBAL NASIONAL

Pesawat terhempas: Waris penumpang saman Boeing

WASHINGTON, 29 MAC: Waris seorang penumpang yang terkorban dalam nahas pesawat jenis 737 MAX di pinggir Addis Ababa menyaman Boeing, di sebuah mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS), lapor agensi perkhidmatan berita Rusia Sputnik memetik laporan media.

Waris, Jackson Musoni memfailkan saman terhadap gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat itu di Daerah Utara Illinois, dengan beberapa lagi saman difailkan terhadap syarikat yang berpangkalan di Chicago itu, lapor Wall Street Journal pada Khamis.

Saman keluarga Musoni mendakwa Boeing dan pengawal selia AS sebagai pihakbertanggungjawab atas nahas itu susulan kerosakan dalam sistem pengurusan penerbangan pesawat malang terbabit serta kegagalan dalam pensijilan pesawat jenis 737 MAX.

Kerajaan AS sebelum ini mengeluarkan satu perintah kecemasan supaya semua pesawat Boeing jenis 737 MAX 8 dan 737 MAX 9 direhatkan susulan nahas dahsyat membabitkan Ethiopian Airlines, pada 10 Mac lalu yang meragut 157 nyawa.

Insiden malang itu berlaku tidak lama selepas nahas pada Oktober di Indonesia yang mengorbankan 189 orang. -BERNAMA