Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sisa pencemaran: Pertimbang hukuman lebih berat

SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan akan mempertimbangkan keperluan mengkaji semula undang-undang berkaitan alam sekitar bagi memberi hukuman lebih berat kepada pelaku, susulan kejadian pencemaran gas, di Pasir Gudang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pencemaran gas ekoran pembuangan sisa kimia di kawasan itu hingga menjejaskan ribuan mangsa tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kita ambil perhatian betapa serius peristiwa ini kerana kita biasa dengan keracunan air dan pepejal, tapi ini gas yang tak pernah kita tangani.

“Oleh itu, kita akan kaji undang-undang sedia ada sama ada perlu diperkuat atau tidak,” katanya pada sidang media di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, menurut laporan BH Online.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal.

Terdahulu, mereka mendengar taklimat situasi semasa pencemaran udara di kawasan Pasir Gudang di Pusat Operasi Bencana di Bangunan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sebelum melawat mangsa yang dirawat di HSI.

Pada masa sama, Dr Mahathir menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan mengisytiharkan darurat dan memindahkan penduduk.

“Tidak sampai ke tahap perlu isytihar darurat. Keadaan masih terkawal, tapi penduduk tetap perlu berhati-hati,” katanya.

Beliau juga berpuas hati dengan cara semua pihak mengendalikan bencana berkenaan termasuk bomba, polis, pasukan perubatan hospital dan sekolah.

“Mereka menjalankan tugas dengan sempurna walaupun kes seperti ini tidak pernah berlaku.

“Ini kes luar biasa kerana membabitkan gas beracun,” katanya.

Menurut BERNAMA, sehingga kini, seramai 2,775 orang dirawat di beberapa hospital di Johor akibat pencemaran kimia dengan tujuh daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi.

Kejadian itu turut menyebabkan Kementerian Pendidikan mengarahkan penutupan semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan guru.

Sejumlah 92 tadika dan taska di kawasan terjejas juga mengambil tindakan sama bagi mengelakkan peningkatan jumlah mangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata, seramai 1,483 daripadanya ditempatkan di Medic Base Dewan Taman Pasir Putih, manakala 423 orang lagi ditempatkan di Medic Base Dewan Taman Mawar.

Kedua-dua pusat itu dibuka sejak 11 Mac lalu.