Categories
SELANGOR

Speaker ingatkan DNS bukan tempat pertunjukkan fesyen

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 MAC: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim menegur etika pemakaian Ahli Dewan Negeri (ADN) supaya mengenakan ‘suit’ berwarna gelap dan kemas sepanjang sesi persidangan.

Katanya, peringatan itu penting bagi menjaga imej DNS supaya tidak disalah anggap oleh orang luar sebagai tempat pertunjukan fesyen.

“Saya tegaskan berulang kali termasuk pada penggal lepas supaya lelaki memakai ‘suit’ berwarna gelap manakala perempuan berpakaian kemas dan kalau boleh berpakaian gelap.

“Oleh kerana kita tidak menyatakan secara spesifik, ada ADN yang keliru. Mereka pakai seolah-olah ‘fashion show’ (pertunjukkan fesyen).

“Saya akan tegur semua tidak kira (ahli) Kerajaan atau Pembangkang. Disiplin etika pemakaian perlu kita jaga demi menjaga martabat dan kemuliaan DNS,” katanya kepada media di Lobi Bangunan Annex.

Sebelum berakhir persidangan sesi pagi, Suee Lim mengingatkan ADN supaya mematuhi etika pakaian serta meletakkan telefon bimbit dalam ‘mode’ senyap sepanjang berada dalam DNS.