Categories
NASIONAL

TNB: Amal penggunaan penghawa dingin secara bijak

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna agar mengamalkan penggunaan pendingin hawa secara bijak ketika fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

TNB dalam kenyataan medianya hari ini berkata, ia adalah untuk mengelakkan pengunaan tenaga yang tinggi dan memastikan penggunaan elektrik diuruskan dengan lebih baik.

“Antara langkah penjimatan penggunaan tenaga yang mudah dipraktikkan ialah melaraskan suhu sistem pendingin hawa antara 24 hingga 26 darjah Celsius; menyenggara pendingin hawa secara kerap dan menutup semua pintu dan tingkap serta lubang edaran udara untuk memastikan udara sejuk tidak keluar bilik,” kata kenyataan itu.

TNB turut menasihati pengguna agar lebih kerap menukar dan membersihkan penapis pendingin hawa bagi memaksimumkan potensi penyejukan kerana penapis kotor akan menghalang udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.

“Pada waktu malam, pasang kipas dan tetapkan masa untuk pendingin hawa dimatikan. Selalunya suhu bilik akan mencecah tahap selesa selepas beberapa jam pendingin hawa dipasang. Kos menggunakan kipas adalah lebih murah selain membantu pengedaran udara dalam bilik,” kata kenyataan itu.

Pengguna juga digalak menggantikan pendingin hawa yang lama kerana ia tidak lagi cekap setelah bertahun-tahun digunakan.

Bagi pengguna yang ingin membeli pendingin hawa baharu, dicadangkan supaya memilih model yang mempunyai bilangan bintang kecekapan tenaga paling tinggi. Lebih banyak bintang bermaksud peralatan tersebut Iebih cekap tenaga.

“Pemilihan saiz dan jenis pendingin hawa yang tepat iaitu bersesuaian dengan saiz bilik juga penting kerana kapasiti kuasa kuda (horsepower) pendingin hawa yang terlebih besar bukan sahaja lebih mahal, malah menggunakan tenaga elektrik yang lebih tinggi,” kata kenyataan itu lagi.

SUMBER: BERNAMA