Categories
NASIONAL

Manfaatkan kaunter khas di JPN

PUTRAJAYA, 11 APRIL: Warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung perlu memaklumkan kepada petugas kaunter berkenaan keperluan mereka bagi mendapatkan nombor giliran istimewa ketika berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyediakan kemudahan kaunter khas golongan itu sejak 2008 selaras kehendak Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam (PKPA) berkaitan pengurusan perhubungan pelanggan.

“Pelanggan yang berurusan boleh memaklumkan kepada petugas kaunter informasi/nombor dan seterusnya akan dibantu dengan menawarkan terus kepada pelanggan kategori ini ke kaunter perkhidmatan bagi mendapatkan layanan sewajarnya.

“Kaunter khas ini diwujudkan bagi mengurangkan waktu menunggu mereka, sekali gus memberikan keselesaan kepada pelanggan kategori itu ketika berurusan di JPN,” katanya.

JPN berkata, aplikasi InfoQJPN turut diwujudkan bagi membolehkan orang awam memperoleh maklumat bilangan pelanggan yang menunggu di satu-satu pejabat JPN bagi mengelakkan mereka menunggu lama.

Aplikasi itu boleh digunakan melalui landasan mudah alih dan boleh dicapai di mana-mana lokasi. –BERNAMA