Categories
AGENDA NASIONAL

JPN kemas kini alamat pemilih SPR pada MyKad

PUTRAJAYA, 8 OKT: Proses pengemaskinian alamat pemilih susulan pelaksanaan Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang dilakukan, menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

JPN dalam kenyataan memaklumkan proses itu adalah lanjutan daripada pengumuman SPR yang meminta pemilih supaya mengemas kini alamat pada kad pengenalan (MyKad) sekiranya mereka tidak tinggal di alamat yang dipaparkan.

“Bagi proses pengemaskinian alamat, pemohon boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN berhampiran untuk memohon pertukaran alamat pada MyKad tanpa perlu membuat janji temu,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut JPN pemohon perlu membawa salah satu dokumen sokongan sebagai bukti alamat baharu seperti bil utiliti, cukai pintu, cukai taksiran atau borang taksiran cukai pendapatan atau menggunakan perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah sekiranya bil utiliti tidak didaftarkan atas nama pemohon.

JPN menjelaskan pemohon yang tidak mempunyai dokumen sokongan seperti bil utiliti atau perjanjian jual beli rumah perlu mendapatkan dokumen sokongan daripada ketua kampung, tuai rumah, penghulu, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, majikan atau dokumen lain yang boleh membuktikan alamat terkini mereka.

“Pemohon diingatkan untuk membawa dokumen sokongan berkaitan dalam bentuk asal atau salinan yang diakui sah,” menurut JPN.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-88807077 atau e-mel ke [email protected]

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat kebocoran data peribadi awam JPN, LHDN

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku kebocoran data peribadi awam yang kononnya menerusi data daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata siasatan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada Timbalan Pengarah JPN di balai polis Presint 7, Putrajaya semalam.

PDRM akan mendapatkan laporan daripada bahagian teknologi maklumat JPN dan memeriksa sistem JPN serta LHDN untuk mengenal pasti di mana kebocoran data awam berkenaan.

“Setakat ini, PDRM masih perhalusi dakwaan itu daripada pelbagai sudut dan tindakan awal kami akan block (sekat) daripada dijual.

“PDRM tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan orang dalam namun siasatan akan dibuat secara menyeluruh kepada semua pihak terbabit dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Siber Sekuriti Agensi Keselamatan Siber Negara,” katanya dalam sidang media khas di Balai Polis Jinjang hari ini.

Mohd Kamarudin berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Hari ini, satu forum perbincangan digital melaporkan pangkalan data milik JPN telah disenaraikan untuk dijual dalam pasaran forum pangkalan data yang terkenal dengan menawarkan empat juta data peribadi awam diperoleh daripada laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri melalui myIDENTITY.

Sementara itu, LHDN dalam kenyataan hari ini menafikan laporan sebuah perbincangan digital mendakwa empat juta data yang bocor diperoleh daripada laman sesawang agensi itu melalui Application Programming Interfaces (API) yang dibuat untuk myIDENTITY di bawah seliaan JPN.

Menurut kenyataan itu, LHDN hanya pengguna dan bukannya pemilik kepada sistem myIDENTITY tersebut.

“Siasatan dalaman telah dijalankan dan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa.

“LHDN juga sedang bekerjasama dengan pihak JPN dan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dakwaan ini,” menurut kenyataan itu.

LHDN dalam kenyataan turut memberikan jaminan semua data dan maklumat berada dalam simpanan agensi itu selamat kerana dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf.

Kenyataan itu memaklumkan LHDN kesal dengan laporan dan dakwaan berkenaan kerana boleh menghakis keyakinan orang ramai khususnya pembayar cukai terhadap keselamatan data dan maklumat mereka.

“LHDN juga ingin menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan perkara yang tular seumpama ini dan turut tidak menolak kemungkinan ia dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan niat untuk mengelirukan dan menipu masyarakat,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: JPN tangguh operasi seluruh negara kecuali kes kecemasan

PUTRAJAYA, 31 MEI: Semua urusan kaunter di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) ditangguhkan sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang bermula esok.

JPN dalam kenyataan hari ini menyatakan, bagi pelanggan yang telah mempunyai janji temu dalam tempoh sekatan itu, mereka boleh menghubungi pihak JPN bagi penjadualan semula tarikh berkenaan.

“Orang ramai turut dinasihatkan menggunakan perkhidmatan dalam talian JPN, untuk memohon dokumen-dokumen yang diperlukan,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan JPN itu menyatakan, pengecualian diberikan bagi urusan kes kecemasan seperti gantian MyKad rosak atau hilang bagi kes kecemasan, seperti urusan bank dan rawatan perubatan, dan sijil kematian untuk tatacara penghantaran pulang jenazah warga asing, yang meninggal dunia di Malaysia ke negara asal.

Kes kecemasan turut dibenarkan ialah sijil kelahiran (pendaftaran baru atau cabutan) bagi tujuan rawatan perubatan dan sijil kelahiran (pendaftaran baru atau cabutan) anak kepada warga asing yang lahir di Malaysia, bagi tujuan tatacara membawa pulang kanak-kanak tersebut ke negara asal.

Bagi upacara perkahwinan di pejabat JPN dan rumah ibadat kenyataan itu menyatakan, urusan tersebut turut ditangguhkan sehingga tamat tempoh sekatan kecuali kes kecemasan yang memerlukan upacara dibuat segera, seperti tarikh upacara yang akan tamat tempoh enam bulan daripada tarikh permohonan.

Sebarang pertanyaan, permohonan mendesak atau kes-kes kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan JPN atau e-mel pertanyaan ke [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPN lancar khidmat daftar, permohonan dalam talian

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini melancarkan perkhidmatan secara dalam talian JPN eSERVICES bagi menambah baik perkhidmatan seiring dengan kemajuan teknologi terkini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata melalui sistem ini, rakyat boleh memohon dokumen JPN seperti Pendaftaran Kelahiran, Cabutan Rekod Kelahiran, Kad Pengenalan 12 Tahun, Permohonan Cabutan Rekod Kad Pengenalan dan Permohonan Pendaftaran Perkahwinan secara dalam talian dan tidak perlu hadir ke pejabat JPN.

“Walaupun urusan-urusan itu dilaksanakan secara dalam talian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan keselamatan maklumat peribadi dan data-data sensitif anda berada di tahap yang tinggi.

“Saya menyeru kepada semua rakyat untuk memanfaatkan perkhidmatan ini kerana ia adalah inisiatif yang baik bagi mentransformasikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi lebih efisien dan mesra pengguna,” katanya ketika berucap melancarkan JPN eSERVICES disiarkan secara langsung di Facebook rasmi KDN hari ini.

Hamzah berkata sehingga Mac 2021, sebanyak 41,816 orang menggunakan perkhidmatan permohonan melalui sistem ini dan kerajaan bersedia untuk menambah baik sistem ini dari semasa ke semasa bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik.

Katanya, selain mendaftarkan peristiwa-peristiwa penting bagi setiap individu dalam negara seperti maklumat kelahiran, kematian, pengangkatan, perkahwinan dan perceraian, JPN dipertanggungjawab menentukan taraf kewarganegaraan dan mengeluarkan dokumen identiti dalam bentuk kad pengenalan kepada mereka yang layak mengikut lunas perundangan negara.

“Sehingga Mac lepas, lebih 30 juta data peribadi berada dalam simpanan JPN dan kerajaan juga bersetuju melaksanakan inisiatif Identiti Digital Nasional atau dikenali sebagai Digital ID dan KDN melalui JPN.

“Digital ID adalah suatu platform pengesahan dipercayai Verifiable Platform of Trust yang bakal dimanfaatkan oleh sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melaksanakan transaksi secara digital,” katanya.

Hamzah berkata inisiatif itu disasarkan kepada warganegara dan penduduk tetap Malaysia malah transaksi dalam talian menggunakan Digital ID adalah lebih selamat dan meyakinkan kerana ia berdasarkan biometrik lebih kompleks seperti 10 cap jari, facial recognition dan sistem iris.

“Oleh itu, saya menyeru JPN agar memperluas perkhidmatan secara dalam talian ini serta mengenal pasti perkhidmatan lain yang boleh dinaik taraf kepada perkhidmatan dalam talian secara ‘end-to-end’ (hujung ke hujung) melalui teknologi digital pada masa akan datang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPN galak orang ramai buat urusan dokumen dalam talian

BALIK PULAU, 17 SEPT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggalakkan orang ramai yang mahu membuat pelbagai urusan dokumen seperti pengenalan diri, kelahiran dan perkahwinan melakukannya menerusi sistem permohonan dalam talian.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Ruslin Jusoh berkata sistem dalam talian itu hanya menuntut seseorang individu berkenaan hadir ketika mengambil dokumen baharu yang dipohon selepas ia siap dan sekali gus dapat menjimatkan masa.

“Setakat ini sambutan bagi permohonan dalam talian ini amat menggalakkan, ramai yang sudah mula memahami akan permohonan dalam talian ini. Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19 ini memang kita galakkan orang ramai menggunakan medium permohonan dalam talian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan MyKad kepada seorang ibu tunggal Zainab Kasim, 78, dan anaknya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) terlantar, Samsuri Mat Khamis, 46, di Kampung Teluk Awak, Teluk Bahang hari ini.

Pelaksanaan sistem permohonan dalam talian itu yang bermula Julai lepas merupakan satu usaha JPN dalam memastikan rekod pendaftaran warganegara sentiasa dikemas kini dan teratur, sejajar dengan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam.

Ruslin berkata Zainab yang uzur dan anak OKU yang terlantar itu mempunyai kekangan dan halangan untuk datang ke Pejabat JPN yang berhampiran bagi memohon MyKad mereka yang baharu.

“JPN Pulau Pinang melalui Program Mengenai Kasih Rakyat (Mekar) membantu Puan Zainab dan anak beliau yang OKU memproses permohonan gantian MyKad. Proses gantian MyKad tanpa perlu hadir ke kaunter memberikan kegembiraan buat mereka sekeluarga kerana tidak perlu bersusah payah hadir ke pejabat JPN,” katanya dan menambah ibu tunggal itu merupakan penerima ke-94 Program Mekar di Pulau Pinang.

Beliau berkata JPN sentiasa berusaha membantu golongan yang memerlukan khususnya warga emas, OKU, pesakit terlantar dan lain-lain lagi bagi memproses permohonan MyKad antaranya melalui program turun padang.

Sementara itu Zainab menzahirkan rasa syukur kerana akhirnya memperoleh kad pengenalan baharu kerana kadnya sebelum ini telah rosak dan pudar sehingga tidak nampak wajahnya. Manakala kad pengenalan baharu bagi Samsuri ditukar berikutan kad pengenalan lamanya tidak dapat digunakan lagi kerana tamat tempoh penggunaannya sejak 1999.

“Alhamdulilah akhirnya dapat juga makcik dan anak MyKad yang baharu. Sebelum ini kami tidak dapat nak buat kerana kena menaiki bas. Bas pula bukan senang sekarang, susah dapat bas. Lagi pula anak saya sedang terlantar jadi ia menyukarkan urusan saya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Penggunaan e-pembelajaran murid capai 76 peratus

SHAH ALAM, 11 APRIL: Penggunaan platform e-pembelajaran bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid di Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencapai tahap lebih 76 peratus, kata timbalan pengarah sektor pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Datin Nor Faridah A Bakar berkata selain itu capaian guru kepada murid menerusi penggunaan medium lain seperti WhatsApp, Telegram dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi proses PdP pada kadar 85 peratus.

“Setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membuat kaji selidik sejauh mana guru boleh mencapai anak murid mereka, jadi melalui data diperoleh kita anggarkan capaian proses PdP ini sepanjang PKP.

“Kita yakin kadar ini boleh ditingkatkan lagi sepanjang sambungan PKP bagi memastikan tiada murid yang ketinggalan dalam proses PdP,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Faridah berkata pihaknya juga mengambil maklum kesukaran dihadapi guru untuk mencapai murid yang mungkin tidak mempunyai akses internet atau telefon bimbit yang tidak mampu memuat turun aplikasi.

“Jadi kita minta sekolah dan guru ambil inisiatif gunakan rekod alamat murid untuk pos modul kerja sekolah yang perlu dibuat.

“Selain itu guru juga boleh berkomunikasi dengan ketua kampung, ketua komuniti dan persatuan penduduk taman perumahan, kita kena libatkan komuniti dalam usaha memberi PdP kepada anak-anak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya waktu siaran Program TV Pendidikan dapat dipanjangkan supaya memberi manfaat kepada lebih ramai murid sepanjang PKP.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas minta Kementerian Pendidikan melaksanakan pembelajaran dari rumah sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, dan mungkin untuk tempoh seterusnya sehinggalah sekolah dibuka.

Categories
AGENDA NASIONAL

JPN: 76 ditangkap atas kesalahan babit kad pengenalan

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Sebanyak 76 orang ditangkap tahun ini kerana kesalahan memiliki kad pengenalan palsu dan kad pengenalan orang lain, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh.

Tangkapan itu dilakukan dalam beberapa operasi bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Beliau berkata, JPN sentiasa memastikan bahawa dokumen yang dibawa rakyat negara ini adalah yang dikeluarkan jabatan itu.

“Kad pengenalan palsu terlalu rendah kualitinya dan boleh dikesan dengan mudah saja. Bagi pihak kita, kita ada ‘card reader’ untuk mengesahkan kandungan dalam kad itu,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel di sini malam tadi.

Mengulas pindaan Perlembagaan Persekutuan yang kini membenarkan warganegara berumur 18 tahun layak mengundi dan didaftarkan sebagai pemilih secara automatik, Ruslin berkata, JPN bersedia membantu Suruhanjaya Pilihan Raya melaksanakan pendaftaran mereka sebagai pemilih berdaftar.

Beliau berkata, JPN akan berkongsi data yang ada di jabatan itu bagi memperkemaskan data pada SPR.

Ini akan dilakukan melalui perbincangan antara kedua-dua pihak bagi memudahkan SPR mengakses data berkenaan, katanya.

“Apabila SPR menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, maka kita salurkan maklumat secara berkala kepada SPR.

“Penurunan had umur mengundi menyebabkan jumlah pengundi bertambah. Daripada situ kita ada jawatankuasa khusus di peringkat JPN untuk sentiasa berbincang supaya SPR dapat akses,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPN lapor polis isu gambar ibu pejabat diserbu pendatang asing

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini membuat laporan polis berhubung penularan gambar di media sosial yang mendakwa ibu pejabatnya, di sini diserbu pendatang asing untuk mendapatkan status kewarganegaraan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPN, Jasri Kasim berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap penulis blog dan pemilik akaun Facebook berkenaan kerana membuat tuduhan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keharmonian negara.

“Tuduhan itu tidak benar sama sekali, malah gambar situasi orang ramai beratur adalah gambaran biasa ketika orang ramai berurusan di JPN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini.

Katanya, gambar yang ditularkan itu adalah gambar sekumpulan pelanggan yang hadir ke JPN Putrajaya pada 19 Julai lalu yang dibantu unit khas Kerajaan Selangor, MySel.

Jasri berkata, mereka adalah orang awam dari Pulau Ketam yang mempunyai pelbagai urusan berkaitan pendaftaran termasuk permohonan kad pengenalan serta kelahiran dan tidak terhad kepada permohonan kewarganegaraan sahaja.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung isu berkenaan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Surat permohonan tular bukan surat sokongan menteri – JPN

PUTRAJAYA, 22 JUN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menafikan surat permohonan kewarganegaraan yang tular di laman sosial sebagai sokongan atau kelulusan daripada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi tujuan berkenaan.

JPN dalam satu kenyataan memaklumkan surat berkenaan adalah prosedur biasa di jabatan itu dan pejabat Menteri Dalam Negeri sebelum dokumen terbabit dipanjangkan kepada agensi dan bahagian berkaitan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, Pejabat Menteri Dalam Negeri dan JPN menerima banyak surat permohonan kewarganegaraan serta pelbagai pertanyaan mengenai status terkini permohonan kewarganegaraan.

“Surat ditularkan itu bukan sebagai sokongan ataupun kelulusan oleh Menteri Dalam Negeri terhadap sesuatu permohonan kewarganegaraan

“Pertimbangan pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia adalah tertakluk kepada peruntukan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak semua permohonan akan diluluskan,” katanya.

JPN turut menegaskan permohonan kewarganegaraan yang diterima jabatan itu dan pejabat Menteri Dalam Negeri bukan hanya tertumpu kepada satu kaum tertentu sahaja, malah daripada pelbagai kaum di negara ini.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan rekod JPN, bagi tempoh 10 Mei 2018 sehingga 30 Mei lepas, sebanyak 8,322 permohonan kewarganegaraan diterima dari pelbagai latar belakang kaum dan daripada jumlah tersebut, hanya lima pemohon sahaja dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia.

Untuk rekod, bagi tempoh yang sama juga, sejumlah 3,126 pemohon juga diberikan kewarganegaraan, dengan permohonan itu adalah dari tahun sebelumnya, katanya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

JPN nafi terlibat isu daftar kad pengenalan di Sabah

 

PUTRAJAYA, 23 Mei: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan terlibat dalam isu urusan permohonan daftar kad pengenalan di Sabah yang tular di media sosial baru-baru ini.

JPN dalam kenyataan hari ini berkata beberapa keping gambar borang berkaitan urusan pendaftaran kad pengenalan yang disebarkan adalah bukan dokumen rasmi yang dikeluarkan dan digunakan JPN bagi tujuan pendaftaran.

Sehubungan itu, katanya satu laporan polis akan dibuat berhubung perkara itu dan JPN juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkepentingan lain bagi menjalankan siasatan lanjut.

“JPN meminta orang ramai tidak mempercayai dan menyebarkan maklumat palsu berkenaan, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan gangguan ketenteraman awam,” kata kenyataan tersebut.

JPN turut menegaskan tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang perseorangan untuk mewakili JPN dalam apa-apa urusan.

“Semua dokumen rasmi jabatan ini hanya dikeluarkan di Pejabat JPN dan tidak diedarkan kepada orang ramai dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Untuk mendapatkan maklumat berkaitan JPN, orang ramai dinasihatkan untuk hadir ke mana-mana pejabat JPN atau melayari laman sesawang rasmnya di www.jpn.gov.my atau menghubungi unit komunikasi korporat di talian 03-8880 7077/ 7067/ 7069/ 8206 atau emel ke [email protected]. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Manfaatkan kaunter khas di JPN

PUTRAJAYA, 11 APRIL: Warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung perlu memaklumkan kepada petugas kaunter berkenaan keperluan mereka bagi mendapatkan nombor giliran istimewa ketika berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyediakan kemudahan kaunter khas golongan itu sejak 2008 selaras kehendak Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam (PKPA) berkaitan pengurusan perhubungan pelanggan.

“Pelanggan yang berurusan boleh memaklumkan kepada petugas kaunter informasi/nombor dan seterusnya akan dibantu dengan menawarkan terus kepada pelanggan kategori ini ke kaunter perkhidmatan bagi mendapatkan layanan sewajarnya.

“Kaunter khas ini diwujudkan bagi mengurangkan waktu menunggu mereka, sekali gus memberikan keselesaan kepada pelanggan kategori itu ketika berurusan di JPN,” katanya.

JPN berkata, aplikasi InfoQJPN turut diwujudkan bagi membolehkan orang awam memperoleh maklumat bilangan pelanggan yang menunggu di satu-satu pejabat JPN bagi mengelakkan mereka menunggu lama.

Aplikasi itu boleh digunakan melalui landasan mudah alih dan boleh dicapai di mana-mana lokasi. –BERNAMA

Categories
NASIONAL

JPN: Nama terpanjang Princess Aura…., Ismail dan Fatimah nama paling popular

PUTRAJAYA 4 OKT: Princess Aura Nurr Ermily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra binti Mohd Suffian merupakan nama terpanjang di Malaysia dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini.

Ketua Pengarah JPN Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata berdasarkan rekod JPN nama lelaki paling popular di negara ini ialah Ismail iaitu seramai 72,157 orang diikuti Ahmad (57,914) dan Abdullah (47,989).

“Manakala nama wanita yang popular ialah Fatimah iaitu seramai 74,605 orang, Zainab (41,450) dan Azizah (34,114),” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Pendaftaran Negara dan Hari Inovasi JPN 2018.

Jelas beliau, berdasarkan rekod JPN sehingga 30 Jun 2018 jumlah pemegang MyKad di seluruh negara ialah sebanyak 22,664,773 di mana 19,322,409 telah menukar MyKad Struktur Baru, 3,247,589 masih belum menukar MyKad Struktur Baru, 81,250 masih memegang Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan 13,525 masih memegang Kad Pengenalan Pertama (KPP).

Mohammad Razin turut menyeru kepada pemegang MyKad yang masih belum menukar kepada MyKad Struktur Baru, pemegang KPT dan pemegang KPP untuk menukar kad pengenalan mereka.

Katanya, MyKad bercip struktur baharu ini dikeluarkan dengan memberi penekanan utama ke atas penambahbaikan dari segi kualiti, ciri-ciri keselamatan dan daya tahan MyKad yang selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.

Jelas beliau, rekod dokumen pengenalan diri yang diuruskan JPN menjadi rujukan utama dan digunapakai oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam pelbagai bidang termasuklah urusan keselamatan, perbankan, percukaian, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Tambah Mohammad Razin, maklumat dan data pendaftaran yang dikendalikan JPN turut digunapakai oleh agensi kerajaan lain seperti Agency Link – Up Systems (ALIS) yang sangat berkesan untuk mengelak dan membanteras kes-kes penipuan, pemalsuan dokumen pengenalan diri dalam urusan harian.

SUMBER: BERNAMA