Categories
NASIONAL

MOTAC nafi Doraemon pilihan promosi TMM 2020

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 24 APRIL: Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) tidak pernah meluluskan sebarang gerak promosi menampilkan Doraemon sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kenyataan dikeluarkan Pengerusi Balai Seni Negara, Datuk Rashidi Hasbullah itu bersifat peribadi dan bukan yang dipersetujui MOTAC bagi tujuan promosi TMM 2020.

“Ia adalah kenyataan peribadi pengerusi Balai Seni Negara itu ketika menghadiri majlis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pada Mac lalu.

“Jika perkara itu diangkat kepada saya, saya tidak akan luluskan”, katanya dalam kenyataan.

Kenyataan terbabit dikeluarkan Mohamaddin bagi mengelakkan kekeliruan umum berkenaan promosi negara menjelang TMM 2020 yang tular, pada Selasa.

Katanya, jika perkara mempromosi watak kartun animasi Jepun itu benar berlaku, sudah pasti ia dijelaskan beliau ketika sesi sidang media prestasi kementerian, pada Isnin.

“Saya berharap orang ramai tidak terkeliru dengan apa yang ditularkan di laman media sosial dan berharap kenyataan ini dapat memberi gambaran jelas kepada umum,” katanya.