Categories
NASIONAL

Najib tidak persoal transaksi bank

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak memfailkan sebarang notifikasi kepada Ambank berhubung sebarang kesilapan, ketidakteraturan, percanggahan, pengeluaran tidak sah dan penipuan transaksi membabitkan akaun peribadi beliau dengan bank berkenaan.

Pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa tiada rekod menunjukkan Najib mengambil sebarang tindakan terhadap bank berkenaan kerana melakukan transaksi yang salah atau tanpa kebenaran.

Saksi ke-21 itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Datuk V. Sithambaram pada hari kesembilan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib.

Sithambaram: “Sebagai pengurus, adakah anda menyedari atau membuat catatan sebarang pemberitahuan oleh Najib kepada Ambank memaklumkan apa-apa kesilapan, ketidakteraturan, percanggahan, pengeluaran tidak sah dan penipuan transaksi ?

Uma Devi: “Untuk pengetahun dan rekod saya, tiada”

Sithambaram: “Berdasarkan rekod anda, adakah sebarang aduan bertulis oleh Najib kepada bank?

Uma Devi : “Tiada​​​​​​​”

Sithambaram: “Najib telah memberikan mandat kepada Nik Faisal Ariff Kamil. Nik Faisal melakukan transaksi bagi pihak Najib?. Dia beri mandat kepada Nik Faisal untuk mengambil buku cek, penyata bank dalam tiga akaun?

Uma Devi : “Ya”​​​​​​​

Sithambaram: “Sebagai pengurus bank, adakah anda tahu jika sebarang tindakan perundangan diambil oleh Najib berhubung tiga akaun berkenaan ?

Uma Devi : “Saya tidak tahu”

Apabila ditanya apa tujuan bank mengeluarkan penyata akaun, beliau berkata ia adalah untuk pelanggan menyemak transaksi mereka secara bulanan dan jika ada sebarang ketidakteraturan, pelanggan boleh mengemukakan aduan kepada bank dalam tempoh 14 hari.

Beliau juga berkata keseluruhan transaksi diijalankan secara mandat sejak akaun itu dibuka pada 31 Julai 2013 dan ditutup pada Mac 2015.

Terdahulu, saksi itu ditunjukkan empat surat mandat yang diberikan oleh Najib kepada Nik Faisal dan satu lagi surat dari Nik Faisal memperakui surat mandat berkenaan.

“Mandat ini adalah bagi Nik Faisal menjalankan transaksi perbankan, mengambil buku cek, penyata bank dan memberi arahan bertulis mengenai draf bank dan overdraf berhubung tiga akaun milik Najib,” katanya sambil menjelaskan mandat berkenaan kepada Nik Faisal belum ditarik balik.

Sementara itu, ketika diperiksa balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, saksi itu berkata sekumpulan pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah datang ke bank itu pada 6 Julai 2015 bagi mendapatkan beberapa dokumen.

“Saya membawa mereka ke bilik mesyuarat di tingkat sembilan dan saya diarah oleh oleh ketua saya untuk membantu mereka mendapatkan dokumen yang mereka mahukan. Pada masa itu, pegawai BNM telah membaca beberapa akta dan ketika itu saya tidak memahaminya,” kata Uma Devi.

Harvinderjit: “Adakah mereka beritahu anda bahawa mereka berada di situ untuk menyiasat akaun tertentu ?

Uma Devi : “Tidak”

Harvinderjit: “Pegawai BNM memberitahu anda bahawa mereka mahu menyiasat nama-nama tertentu ?

Uma Devi: “Ya. Nama tersebut ialah SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd, Najib, Yayasan Gemilang dan juga 1MDB (1Malaysia Development Board). Saya hanya boleh ingat itu.

Bagaimanapun, beliau berkata[pegawai BNM tidak memaklumkan bahawa mereka mahu membekukan akaun itu.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali disambung jam 2.30 petang ini.

-BERNAMA