Categories
SUKANKINI

Pemain tahu bertapa penting juara FIH – Oltmans

SERDANG, 23 APR: Ketua jurulatih skuad lelaki negara, Roelant Oltmans melahirkan keyakinan skuad bimbingannya mampu menyerlah pada Kejohanan Hoki Siri Final FIH 2019 selepas mempamerkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata prestasi pemainnya semakin meningkat semasa sesi latihan dan cukup bersedia mengharungi cabaran pada kejohanan bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil itu, dari 26 April hingga 4 Mei.

Pengendali berusia 64 tahun itu yang mengetuai pasukan Belanda meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta, berkata anak buahnya cukup memahami betapa pentingnya menjuarai kejohanan berkenaan untuk mencerahkan peluang layak beraksi pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

“Saya hanya katakan pasukan negara semakin menunjukkan kemajuan di setiap sudut baik dari segi fizikal, mental, teknikal dan taktikal…pasukan benar-benar mempamerkan peningkatan dan ia boleh dilihat pada setiap sesi latihan.

“Prestasi mereka (pemain) semakin meningkat. Mereka mahu menampilkan aksi terbaik pada kejohanan itu. Kita semua tahu hasil daripada kejohanan itu, dan mereka percaya mampu melakukannya,” kata beliau kepada pemberita, semalam.

Menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan B menentang pasukan di ranking ke-29 dunia, Brazil pada Jumaat ini, Oltmans berkata pasukannya tidak seharusnya mengambil mudah aksi tersebut, sebaliknya perlu berusaha keras untuk meraih tiga mata penuh.

“Jangan pandang rendah keupayaan pihak lawan walaupun Brazil di ranking ke-29 sedangkan kita menduduki ranking ke-13 dunia. Jika kita tidak boleh mengalahkan Brazil, lebih baik kita tidak pergi ke Tokyo atau berfikir untuk beraksi di Tokyo,” katanya.

Malaysia akan meneruskan cabaran dalam Kumpulan B menentang China (ranking ke-14 dunia) pada Ahad, sebelum berdepan Itali (ranking ke-32 dunia) pada Isnin depan.

Kumpulan A pula terdiri dari Kanada, Austria, Wales dan Belarus.

Skuad negara akan berdepan Wales pada aksi pemanas badan esok, sebagai persiapan menghadapi kejohanan Siri Final itu.

– BERNAMA