Categories
SUKANKINI

Piala FA: Selangor, Terengganu FC mara ke pusingan ketiga

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Selangor meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan Kelantan 3-0 di gelanggang keramat skuad The Red Warriors dalam aksi pusingan kedua Piala FA 2019 di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bahru, malam ini.

Segar dengan kemenangan kedua Liga Super musim ini menewaskan Terengganu FC, Jumaat lepas, Selangor hampir mendahului pada minit ke-18, namun rembatan kencang ketua pasukan Mohd Amri Yahyah dalam kawasan kotak penalti sedikit tersasar.

Skuad Gergasi Merah terus mengasak kubu pertahanan Kelantan, memaksa penjaga gol tuan rumah Lim Chien Khai terpaksa bekerja keras menyelamatkan beberapa gerakan berbahaya termasuk percubaan Sandro Da Silva pada minit ke-28.

Gol pembukaan perlawanan akhirnya berjaya dihasilkan Selangor menerusi Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-61, sebelum pemain sensasi Mohd Faiz Mohd Nasir menambah derita Kelantan dengan meledak dua gol pada minit ke-61 dan ke-85 untuk mengesahkan kemenangan Selangor.

Terengganu FC turut melakar kemenangan selesa apabila membelasah pasukan Liga M3, Ultimate FC 5-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Aksi hambar kedua-dua pasukan menyaksikan babak pertama perlawanan berakhir dengan kedudukan 1-0 berpihak kepada pasukan tuan rumah, hasil jaringan Mohamad Ashari Samsudin seawal minit pertama.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim kemudian memperkemaskan permainan pada babak kedua perlawanan untuk meledak empat gol, masing-masing menerusi Igor Zonjic pada minit ke-73, Sanjar Shaakhmedov (minit ke-78), Nasrullah Haniff Johan (minit ke-86) dan Mohd Khairul Izuan Rosli pada minit ke-90.

Di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, pula menyaksikan Jerantut FA mengesahkan slot ke pusingan ketiga setelah menewaskan JBFA 3-0.

Gol Jerantut FA dijaringkan Muhammad Nor Hafiz Sulaiman pada minit ke-30, diikuti jaringan Muhammad Hariz Irffan Mohd Nazrin (minit ke-71) dan Shazlan Zaidin pada penghujung perlawanan.

Sementara itu, hatrik pemain import dari Crotia, Mateo Roskam dan dua gol Milad Zanidpour memastikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC melangkah penuh bergaya ke pusingan seterusnya selepas melakar kemenangan 5-1 ke atas Protap FC di Stadium UKM, Bangi.

Pada masa sama, di Stadium Negeri, Kuching menyaksikan bekas pemain kebangsaan S. Chanthuru muncul wira Felda United apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk membantu skuad The Fighters melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuching FA.

Dalam pada itu, perlawanan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak yang dijadual berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang tadi, terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh baharu berikutan cuaca buruk. -BERNAMA