Categories
RENCANA

Al-Quran unik tawar pelbagai jenis reka bentuk, warna

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

Bermula dengan perubahan titik sehingga wujud perubahan warna dan reka bentuk, maka jelas penulisan al-Quran mengalami perubahan daripada segi sudut inovasi yang bersesuaian dari semasa ke semasa.

Al-Quran adalah sumber petunjuk dan pedoman untuk manusia menjadikannya sebagai rujukan khususnya mereka yang bertakwa kepada Allah SWT sebagai rujukan utama umat Islam dari sudut akidah, ibadah, syariah dan akhlak.

Menyedari budaya pembacaan kalam Allah SWT itu semakin berkurang, Ar-Rayyan Resources tampil berbeza dengan al-Quran digital tafsiran yang dilengkapi dengan penanda yang sistematik bagi memudahkan semua golongan membacanya.

Uniknya, al-Quran itu disaluti dengan perhiasan batu Gem Stones, Semi Faces Stones dan Swarovski Special Edition mengikut citarasa pembaca.

Perhiasan al-Quran timbulkan minat membaca 

Sudah menjadi lumrah manusia cintakan kecantikan, al-Quran menghubungkan kita sebagai umat Islam dengan Allah SWT.

Pengasasnya, Datin Nor Hafizah Saad berkata, tujuan utama beliau adalah mengangkat martabat al-Quran kepada peringkat yang lebih eksklusif.

“Selain itu, usaha meletakkan perhiasan ini menjadi tonggak utama bagi memupuk amalan membaca al-Quran semua golongan masyarakat terutama dalam kalangan kanak-kanak bagi mengetahui hukum tajwid dengan lebih mendalam.

“Masyarakat kini mengambil masa yang lama untuk mengkhatam al-Quran kerana sikap sambil lewa. Oleh itu, tarikan penanda yang disediakan ini untuk mengembalikan emosi pembaca.

“Justeru, melalui penanda ini pembaca boleh mengkhatam dalam masa 16 hari atau 30 hari mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Berjaya tempa nama di luar negara 

Permintaan al-Quran eksklusif dan unik itu bukan sahaja menerima sambutan luar jangkaan dari dalam negara, malahan luar negara menjelang Ramadan.

Kini, Nor Hafizah boleh menarik nafas lega ekoran beliau mempunyai pembaca dari Singapura, Washington, Jepun dan Korea.

“Pada masa sama, kami ingin memartabatkannya kerana ramai yang menjual di tepi jalan dan akan dipandang rendah semua lapisan masyarakat.

“Kebiasaannya, kami mengambil tiga hingga empat jam untuk menyiapkan sebuah al-Quran mengikut kategori atas permintaan mereka.

Justeru, kemunculan Nor Hafizah membuktikan wanita mampu melangkah jauh menggegar serta menakluk dunia dalam pelbagai cara.

Menerima tempahan mengikut citarasa 

Nor Hafizah berkata, pihaknya menerima tempahan perhiasan batu, sekali gus mengubahsuai al-Quran mengikut citarasa masing-masing dan setakat ini al-Quran Swarovski salah satu tarikan yang laris dijual.

“Malah, pelanggan bukan Islam turut tidak melepaskan peluang memiliki al-Quran untuk dihadiahkan kepada rakan Islam mereka.

“Harga al-Quran ini serendah RM140 sehingga lebih RM1,000 mengikut kemampuan masing-masing. Namun, menjelang Ramadan yang bakal tiba kebanyakan pelanggan memilih al-Quran mini,” katanya.

Ramadhan Journal tarikan utama 

Ar-Rayyan Resources membawa kelainan melalui penghasilan ‘Ramadhan Journal’ yang mengandungi tafsiran isi kandungan surah serta hukum tajwid.

Ramadhan Journal mendapat sambutan yang menggalakkan berikutan pasaran luar tidak memberi panduan khatam al-Quran mengikut kitaran hari.

“Ia bukan sekadar diari kosong semata-mata kerana buku ini memberi peluang kepada pembaca untuk merancang diari dan menjadi penunjuk arah kepada mereka untuk mengkhatam al-Quran mengikut kitaran hari.

“Pada masa sama, ia mempunyai doa dan surah yang boleh menjadi amalan sepanjang Ramadan seperti kalendar Islam dan keistimewaan zikir,” katanya.