Categories
PBT SELANGOR

MDKL, LBS Foundation jaya CSR bantu anak yatim

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 22 MEI: Jelas keceriaan terpancar di wajah 23 anak yatim dari Rumah Amal Raudhatul Jannah, Olak Lempit di sini, apabila mereka diraikan pada Program Menyantuni Anak Yatim sempena Ramadan anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), malam tadi.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, program tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dijayakan dengan kerjasama LBS Foundation.

“Rumah anak yatim ini dipilih kerana ia tempat yang baik dan statusnya juga berdaftar secara sah untuk penyerahan sumbangan, jadi sejak tahun lalu kita datang ke tempat mereka.

“Kita memperluaskan skop menyantuni anak yatim sebagai CSR memandangkan ini antara perkara perlu diambil kira dalam perancangan MDKL dan seterusnya memberi kesan kepada komuniti sedia ada.

“Malah, pentadbiran kita terdiri daripada rumah anak yatim, rumah ibadat dan penduduk, jadi kita menganggap mereka juga adalah sebahagian daripada komuniti di sini,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Hadir sama, Pengurus Besar LBS Foundation, Amal Abdul Aziz dan Pengerusi Rumah Amal Raudhatul Jannah, Zawalajam Mashod.

Terdahulu, Mohamad Zain menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim terdiri daripada 14 lelaki dan sembilan perempuan masing-masing berusia lingkungan lapan hingga 17 tahun.

Terdapat juga beberapa individu bermurah hati menghulurkan sumbangan duit raya kepada mereka sebagai tanda keprihatinan dan menjaga sifat belas kasihan.

Bagi meringankan perbelanjaan menjelang perayaan Aidilfitri, MDKL dan LBS Foundation turut menyerahkan replika cek sumbangan bernilai keseluruhan RM3,000 kepada rumah anak yatim terbabit.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)