PUTRAJAYA, 23 Mei: Pembeli baharu National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) mempunyai kepakaran dalam industri ruminan dan diyakini tidak akan terjebak dalam salah laku seperti dahulu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.
Katanya, beliau diberi keyakinan bahawa isu NFC akan berakhir tidak lama lagi apabila syarikat itu bersedia membayar balik sepenuhnya baki pinjaman NFC kepada Kementerian Kewangan.
Beliau dalam pada itu berkata, kementeriannya sedia bekerjasama dengan syarikat tempatan itu dalam membantu mereka meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran daging tempatan.
“Kita cuma mahu mereka patuhi semua syarat ditetapkan dan tidak menjejaskan kepentingan kementerian. Mereka diberi ruang sepenuhnya untuk membina industri ruminan pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.
Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail baru-baru ini dilaporkan berkata NFC sudah mempunyai pembeli baharu sejak 25 Oktober tahun lepas yang bersedia untuk membayar balik sepenuhnya baki pinjaman NFC dalam masa tiga bulan daripada persetujuan kerajaan untuk penstrukturan semula NFC.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula dilaporkan berkata NFC belum melunaskan hutang pinjaman dengan kerajaan berjumlah RM254 juta termasuk faedah dan faedah lewat setakat 30 April dan kerajaan mahu menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman itu.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata proses pemberian Kelulusan Permit (AP) dan Permit Import (IP) akan ditambah baik bagi memastikan amalan ‘rent seeker’ atau perbuatan mengaut sewa oleh mereka yang tidak terlibat dalam industri pertanian dihentikan.
Beliau berkata, langkah itu perlu supaya hanya mereka yang layak dan berpotensi dianugerahkan dengan pemberian AP dan IP untuk melakukan aktiviti mengeksport dan mengimport produk pertanian.
“Apa yang kita ingin hapuskan ialah ‘rent seeker’. Kita dapati ada pihak yang tidak ada kilang dan tidak terlibat dalam industri tetapi dapat AP dan IP… ini yang kita tidak mahu,” katanya.
Selain proses permohonan yang kini perlu dibuat secara dalam talian, Salahuddin berkata kementerian juga akan mendapatkan pandangan dan saranan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) untuk menambah baik proses pemberian kontrak, AP dan IP supaya hanya mereka yang benar-benar layak dipilih.
Salahuddin berkata, beliau rimas dengan tindakan individu tertentu serta anggota politik yang menggunakan tiket politik untuk meminta projek, tender serta AP dan IP di bawah kementerian.
Selaku orang politik, katanya, beliau juga mempunyai anggota parti dan penyokong yang perlu dilayan tetapi perkara yang ‘direngekkan’ di telinga menteri tidak akan dilayan sekiranya permohonan itu tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.
“Kita akan cari prosedur yang paling tepat dan terbaik bagaimana AP, IP dan semua tender yang diberikan menepati ciri-ciri dan indeks yang boleh menjadikan kementerian ini contoh kepada kementerian lain dalam melaksanakan integriti,” katanya. -BERNAMA