Categories
SELANGOR

Permohonan kahwin bawah umur di Selangor menurun

OLEH NORHAYATI UMOR

SEKINCHAN, 13 MEI: Sebanyak enam permohonan diterima Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi perkahwinan bawah umur, sehingga Mei lalu.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 68 pasangan pada 2018 dan 102, pada 2017.

“Justeru, kita dapat saksikan bahawa masyarakat kini lebih sedar dan cakna konsep perkahwinan dalam perspektif Islam Sakinah dan mawaddah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sempena Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat, penyampaian sumbangan dan perasmian masjid, di Masjid Nurul Falah, Tali Air 7, Kampung Sungai Leman, di sini.

Haris berkata, prinsip Maqasid Syariah mengetengahkan konsep ketenangan dan berkasih sayang dalam situasi keluarga yang sejahtera serta bahagia.

Katanya, nilai perkahwinan itu amat tinggi apabila dilihat peranan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.

“Maqasid Syariah itu sendiri membawa maksud sebagai melakukan kebaikan atau manfaat serta menolak keburukan dan menghilangkan mudarat.

“Apabila prinsip ini dihayati secara teliti, maka pasangan yang ingin berkahwin pastinya akan membuat keputusan tepat apabila mereka sudah jelas dan faham maksud perkahwinan yang sebenar di dalam Islam,” katanya.

Terdahulu, Selangor menggubal semula Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor (Pindaan 2018), Bahagian II (Perkahwinan) Seksyen 8 yang dikuatkuasakan pada 15 Mac 2019 dengan menaikkan had minimum umur 16 tahun kepada 18 tahun bagi perempuan yang boleh berkahwin.