Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penjawat awam perlu sokong dasar digital negeri

SHAH ALAM, 8 NOV: Pendigitalan harus menjadi keutamaan penjawat awam negeri ini dalam membuat keputusan selaras sasaran Selangor ke arah Negeri Pintar menjelang 2025.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim berkata mereka harus menyokong dan bergerak seiring dengan Kerajaan Negeri yang pada masa kini membawa agenda berkenaan.

Menurutnya, ketika pandemik Covid-19 ramai beralih kepada perkhidmatan secara dalam talian dan Selangor turut memperkenalkan inisiatif e-Dapur dan E-Bazar Raya bagi membantu golongan peniaga.

“Kita selaku penjawat awam perlu menyesuaikan diri dalam dasar kerajaan ini supaya kita lebih peka dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

“Usaha pemerkasaan seperti ini sangat penting demi memastikan kesinambungan produktiviti ekonomi, keberdayaan huni serta kelestarian alam sekitar di Selangor sentiasa ditambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis himpunan penjawat awam bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Beliau juga mengingatkan penjawat awam negeri berkhidmat dengan amanah dan tidak menyalahgunakan kuasa untuk keuntungan peribadi.

“Saya tegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai awam terlibat dengan salah laku atau salah guna kuasa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Haris dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri baharu

SHAH ALAM, 1 NOV: Dato’ Haris Kasim dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baharu berkuat kuasa hari ini.

Haris yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Pegawai Kewangan Negeri dilantik bagi menggantikan Dato’ Nor Azmie Diron.

Sementara itu,  ketika ditemui hari ini Haris menganggap pelantikannya itu sebagai satu amanah dengan tumpuan untuk memulihkan negeri daripada pandemik Covid-19.

“Saya menganggap pelantikan ini amanah dan banyak perlu dilakukan kerana Selangor bukan negeri kecil.

“Saya akan bekerjasama dengan semua pegawai supaya hasrat dan wawasan digariskan dapat diteruskan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pegawai kewangan baharu hasrat kekal kutipan hasil negeri RM2 bilion

SHAH ALAM, 19 MAC: Pegawai kewangan yang baharu beriltizam untuk mengekalkan kutipan hasil negeri berjumlah RM2 bilion setahun di sebalik cabaran pandemik Covid-19.

Mengakui tugas itu berat, namun Dato’ Haris Kasim akan merangka pelbagai strategi dalam usaha memenuhi mandat diberikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Ini tanggungjawab yang agak berat terutama selepas pandemik, namun kita akan teruskan kestabilan kutipan selain menyusun perbelanjaan berhemah,” katanya ketika ditemui.

Petang tadi, mantan Datuk Bandar Shah Alam itu diraikan dalam Majlis Lambaian Kasih di sini.

Haris dilantik sebagai pegawai kewangan negeri berkuat kuasa 12 Mac menggantikan Dato’ Nor Azmie Diron yang dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri sejak 3 Februari lepas.

Sebelum Datuk Bandar, beliau pernah memegang jawatan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor pada Januari 2015 dan menyandang jawatan pegawai daerah Hulu Langat.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai yang dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor antara 2005 hingga 2011 dan pegawai pejabat daerah dan tanah Sepang pada 2012 hingga 2014.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA beli 45 kamera badan, elak isu provokosi dan fitnah

SHAH ALAM, 30 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membeli 45 unit kamera badan bagi mengatasi isu provokasi dan fitnah dalam kalangan anggota penguat kuasa ketika bertugas.

Datuk Bandar Shah Alam berkata selain untuk rakaman, alat tersebut boleh menghubungkan video secara langsung dengan pusat kawalan ketika melaksanakan operasi yang akan dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

“Setiap kamera badan berharga RM1,000 dan kita sedang mempertimbang untuk menambah bilangannya dan setakat ini seorang daripada pasukan penguat kuasa akan memakainya ketika bertugas.

“Penggunaan alat ini memberi keadilan kepada kedua-dua pihak jika penguat kuasa difitnah ketika bertugas atau orang ramai menjadi mangsa salah guna kuasa,” kata Dato’ Haris Kasim pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan MBSA 2021 dengan tema merintis Norma Baharu Untuk Shah Alam Sejahtera di Wisma MBSA semalam.

Pada 22 Jun EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberi tempoh sehingga hujung tahun kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) melengkapkan anggota penguat kuasa dengan kamera badan bagi meningkatkan kecekapan dan integriti.

Pada 6 Februari, seorang wanita memukul penguat kuasa MBSA selepas keretanya ditunda dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 manakala seminggu selepas itu tular video penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya menjatuhkan seorang warga emas selepas dia dipukul dengan payung oleh lelaki berkenaan.

Categories
AGENSI SELANGOR

MBSA bentang Belanjawan 2021 bernilai RM498.82 juta

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membentangkan anggaran Belanjawan 2021 berjumlah RM498.82 juta dengan jangkaan defisit RM28.06 juta.

Datuk Bandar Shah Alam berkata RM396.14 juta diguna bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan RM130.74 juta manakala defisit ditampung menggunakan rizab MBSA.

“Peruntukan terbesar perbelanjaan mengurus adalah untuk perkhidmatan dan bekalan melibatkan sejumlah RM307 juta atau 77.5 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Perbelanjaan pembangunan menunjukkan peningkatan sebanyak RM9.7 juta berbanding tahun lalu dengan 56 peratus daripada jumlah peruntukan keseluruhan digunakan bagi projek membina dan menaik taraf bangunan,” katanya.

Dato’ Haris Kasim berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan MBSA 2021 dengan tema merintis Norma Baharu Untuk Shah Alam Sejahtera di Wisma MBSA hari ini.

Beliau berkata anggaran hasil pada 2021 dijangka meningkat sebanyak 3.8 peratus iaitu daripada RM480.57 juta pada tahun ini kepada RM498.82 juta.

“Cukai taksiran dijangka menyumbang RM323.18 juta atau 64.8 peratus jumlah keseluruhan, hasil bukan cukai (RM166.14 juta atau 33.3 peratus) dan terimaan bukan hasil (RM9.5 juta atau 1.9 peratus),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL PBT SELANGOR

MBSA tunggu siasatan selesai, beri tugas lain

SHAH ALAM, 15 OGOS: Pengarah dan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) digantung tugas sehingga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai, kata Datuk Bandarnya.

Dato’ Haris Kasim berkata prosedur tersebut merupakan amalan biasa bagi penjawat awam yang sedang disiasat pihak berkuasa.

“Setakat ini tiada rombakan dalaman cuma mereka yang sedang disiasat diberi tugasan berbeza manakala pegawai lain akan menggantikan pihak berkaitan untuk sementara waktu,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti, Jalan 1D di sini hari ini.

Semalam, SPRM menahan pengarah Jabatan Penguatkuasa MBSA bagi membantu siasatan berhubung kes melindungi premis perniagaan haram dan pusat perjudian.

Sebelum ini, tujuh penguat kuasa MBSA Cawangan Sungai Buloh turut ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan tidak berlesen termasuk pusat perjudian.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MBSA sedia bantu lebih 80 penjaja, peniaga kecil dapatkan permit niaga

SHAH ALAM, 14 OGOS: Lebih 80 penjaja dan peniaga kecil tidak berlesen sekitar Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 disaran menyertai program penyusunan semula golongan itu pada esok dan Ahad ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim berkata inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dewan Meranti di kawasan berkenaan memberi peluang kepada mereka untuk memiliki lesen sah.

Katanya, Jabatan Pelesenan membuka kaunter yang menawarkan permit sementara manakala Jabatan Bangunan menjelaskan cara memohon tambahan struktur seperti sengkuap dan dinding sesekat.

“Pemohon lesen dalam program ini akan dikenakan harga lebih murah berbanding biasa.

“Selesai taklimat mereka boleh terus memohon kebenaran melalui kaunter,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Haris berkata program itu turut menampilkan wakil Jabatan Perancangan bagi menerangkan aspek kebenaran merancang manakala Jabatan Kesihatan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

Beliau menambah program bermula jam 8 pagi hingga 4 petang pada Sabtu manakala Ahad sehingga 12 tengah hari turut mendapat kerjasama Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

PBT berkenaan menjalankan operasi sita dan roboh susulan serbuan terhadap premis judi haram dan peniaga warga asing, termasuk rokok seludup, di kawasan berkenaan.

Ia juga mengeluarkan 101 notis terhadap premis yang membina struktur tambahan tanpa izin PBT berkenaan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA lancar i-Publisiti dapatkan pandangan orang awam

SHAH ALAM, 27 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama melancarkan aplikasi menerima maklum balas orang awam berhubung Draf Rancangan Tempatan MBSA 2035.

Datuk Bandarnya, Dato’ Haris Kasim berkata melalui i-Publisiti masyarakat serta pemegang taruh boleh memberi pandangan mahupun bantahan berkenaan rancangan pembangunan dilaksanakan MBSA dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

“Setiap pandangan dan cadangan akan direkod dan diproses secara digital. Tiada lagi penggunaan borang seperti sebelum ini.

“Mesyuarat juga boleh dijalankan dalam talian dan sebarang keputusan boleh dikemas kini secara terus serta pantas,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Tempatan MBSA 2035 hari ini.

Majlis dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Haris berkata draf rancangan berkenaan dibuat bagi membantu MBSA menentukan keperluan kemudahan, utiliti serta infrastruktur bagi menampung pembangunan semasa serta akan datang.

“Draf ini menggantikan Rancangan Tempatan MBSA 2020. Melalui rancangan ini tujuh pusat pertumbuhan akan terbabit iaitu pusat bandar Shah Alam, Seksyen 13, i-City Seksyen 7, Setia Alam, Damansara, Elmina dan Alam Impian,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA komited inovasi pusat kitar semula

SHAH ALAM, 3 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) komited mahu menambah baik pusat kitar semula di sekitar kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim berkata, pihaknya bercadang menginovasikan pusat kitar semula supaya ia tidak kelihatan seolah-olah tempat pembuangan sampah.

Katanya, tempat itu sebaliknya perlu kelihatan lebih menarik dan orang awam berminat meletak barangan yang ingin dikitar semula.

“Kita ingin memberi suntikan inovasi terhadap pusat berkaitan selain mewujudkan satu ruang yang selesa apabila pengguna datang ia tidak kelihatan seperti pusat pembuangan sampah.

“Selain itu, kita mahu ubah persepsi orang awam supaya mereka menganggap pusat kitar semula sebagai tempat mendatangkan hasil sekali gus boleh menjadikan ia sebagai satu pendapatan tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup Kempen Kitar Semula peringkat Sekolah 2019 anjuran MBSA di Dewan Bankuet MBSA, di sini, semalam.

Terdahulu, MBSA turut mengadakan kempen kitar semula yang mula dilancarkan sejak 2007 membabitkan pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Kempen itu turut mendapat kerjasama daripada Fraser & Neave Holdings Bhd dan Syarikat Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd yang bertujuan memupuk kesedaran menjaga alam sekitar demi generasi akan datang.

Selain itu, ia juga untuk mendidik masyarakat terutama pelajar dan golongan muda terhadap kepentingan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.

Categories
SELANGOR

MBSA: GIFT didik murid taska amal konsep hijau

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 4 JUL: Dalam usaha menjadikan Shah Alam sebuah bandaraya rendah karbon menjelang 2030, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Bengkel Kempen ‘Green Initiative For Taska’ (GIFT) di bawah kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim berkata, ia adalah komitmen berterusan pihaknya mendidik generasi muda terutamanya murid-murid taska mengamalkan inisiatif hijau dalam kehidupan seharian.

Katanya, penganjuran GIFT membabitkan kerjasama Persatuan Taska Selangor dan Jabatan Kemajuan Masyarakat Selangor.

 

“Pada masa sama, Taska turut menerapkan silibus pembelajarannya dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai langkah untuk memberikan pendedahan secara menyeluruh mengenai kepentingan kehidupan hijau.

“GIFT juga adalah kesinambungan program dari Zon Bersih dan Zon Bersih Mini (Mini ZeeBee) MBSA.

“Selain itu, ia selaras dengan usaha MBSA menjadikan Shah Alam Bandaraya Rendah Karbon menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perasmian Bengkel Kempen “Green Initiative For Taska (GIFT) di Dewan Auditorium PKNS, Seksyen 14, Bangunan Pentadbiran PKNS, Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan PENGARAH,Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA, Asmah Mohd Zain.

Antara pengisian program di kempen berkenaan adalah Taklimat ‘Green Initiativr For Taska’ daripada Pengarah Hatching Technology Sdn Bhd oleh Rahmat Bayudi.

Selain itu, turut dikongsikan ‘Edible Gardening’ daripada Pengasas Persatuan Barakah Etika Kepergunaan, oleh Marlina Wong Abdullah bersama Phoon Hui Leng dan Eman Hui, termasuk ‘Upcycle’ daripada Ketua Fabrisi Biji-Biji intiative, William.

Categories
PBT SELANGOR

5,000 hadir meriahkan jamuan Aidilfitri MBSA

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 18 JUN: Jamuan Aidilfitri anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 5,000 tetamu dalam majlis berkenaan.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim berkata, beliau bersyukur kerana sambutan Majlis Jamuan Aidilfitri MBSA itu meriah dan ia menunjukkan ikatan silaturahim yang kukuh dengan pelanggan dan orang awam.

“Majlis ini khusus buat pelanggan, jabatan dan agensi kerajaan serta orang awam,” katanya ketika ditemui media di majlis berkenaan di Dataran Shah Alam di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amiruddin Shari; Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Tan Sri Wan Mahmood Pa’wan Teh serta EXCO Kerajaan Negeri, Hee Loy Sian dan Mohd Khairuddin Othman.

Lebih mengujakan, penyanyi terkenal, Khai Bahar turut menyerikan hadirin dalam sambutan yang bermula sejak jam 1 tengahari itu.

Khai Bahar menghiburkan hadirin dengan lagu raya ‘evergreen’ iaitu Satu Hari Di Hari Raya dipopularkan Datuk M Nasir.

Pemenang trofi Anugerah Meletop Era 2019 itu turut mendendangkan beberapa single miliknya seperti Sinar Syawal dan #123.

Dalam majlis sambutan hari raya berkenaan, lebih 40 gerai dengan pelbagai juadah tradisi disediakan antaranya rendang ayam, daging masak hitam, lemang, kambing bakar, laksa Penang, cendol, sate dan kuih-muih.

FOTO: RAHEEMIE ARIFIN (SELANGORKINI)

 

Categories
SELANGOR

MBSA komited selesai masalah kurang 24 jam

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 JUN: Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim komited menyelesaikan masalah penduduk di kawasan pentadbirannya dalam tempoh kurang 24 jam.

Justeru katanya, penduduk perlu memberi kerjasama dan segera melaporkan sebarang masalah yang berlaku di sekeliling mereka kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Saya mengharapkan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak jika terdapat permasalahan di kawasan anda, segera lapor kepada MBSA dan saya akan atasinya sebaik mungkin mengikut kemampuan.

“Jika jalan itu perlu ditampal, kita tampal. Jika perlu membina jalan baharu, kita harus melihat kepada peruntukan dan kelulusan daripada Kerajaan Negeri.

“Selain itu, urusan sampah pula kita sedar kadangkala ada masa terlepas pandang, jika anda lapor kita akan cuba menyelesaikannya dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri MBSA 2019 di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini hari ini.

Haris yang mengangkat sumpah jawatan itu pada 12 Jun lalu komited untuk memberi penumpuan terhadap lima teras utama, selaras visi menjadikan Shah Alam lebih berkualiti, sejahtera, kondusif dan terunggul.

Lima teras itu adalah meningkatkan lagi perkhidmatan perbandaran, mendekati masyarakat, pembudayaan teknologi, peningkatan kutipan hasil dan memperkasakan sumber manusia.