Categories
NASIONAL

Warga Thailand gagal kemuka dokumen pengenalan diri ditahan

PADANG BESAR, 17 Mei: Tujuh warga Thailand ditahan dalam Op Bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Perlis di sebuah penempatan di Chuping di sini, awal pagi tadi.

Operasi kira-kira tiga jam bermula 12.30 tengah malam itu turut disertai Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pengarah Imigresen Perlis, Basri Othman berkata, lima lelaki dan dua wanita berumur 20 hingga 50 tahun yang ditahan itu dibawa ke lokap jabatan berkenaan di sini.

“Lebih 193 warga Thailand diperiksa dalam operasi itu, dan enam daripadanya melakukan kesalahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan seorang tinggal lebih masa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Basri berkata pihaknya percaya mereka ditahan itu masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan selain mengesyaki ada antara mereka menggunakan pas lawatan sosial dan bekerja di sini.

Pihak Imigresen akan terus menjalankan siasatan selain memanggil majikan mereka untuk diberi amaran dan nasihat supaya memohon permit dan pas yang bersesuaian, katanya. -BERNAMA