Categories
NASIONAL

Aiman Tino mahu bawa mesej bahaya dadah kepada peminat

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 21 JUN: Penyanyi, Aiman Tino mahu membawa mesej musibah dadah kepada pengikut media sosialnya dalam usaha mengekang najis berbahaya itu.

Pelantun lagu ‘Ku Rela Dibenci’ itu antara lapan artis yang terpilih menjadi ikon anti dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Selain Aiman, Tomok, Black, Keena Mentor, Aiman Tino, Izzmad Harun, Ismail Izzani, Fatin Afeefa dan Kumpulan Flooe 88 serta pelawak Achey turut dipilih.

Katanya, ketika ini, ramai anak muda mudah terpengaruh untuk mencuba pelbagai jenis dadah sama ada demi kepuasan diri, suka-suka dan tenaga serta sebagainya.

“Saya juga turut mempunyai kawan-kawan yang mencuba ‘benda’ ini, jadi saya nasihatkan hentikanlah.

“Benda ini tiada kebaikan pun. Kita semua boleh fikir sendiri, jangan mudah percaya dan terpengaruh dengan perkara yang tidak membawa kebaikan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU), di Ibu Pejabat AADK, di sini.

Aiman atau nama penuhnya, Mohammad Aiman Yusri, 21, turut menyifatkan pelantikan selebriti sebagai ikon anti dadah itu salah langkah terbaik kerana mereka mempunyai ramai pengikut di media sosial.

Katanya, menerusi medium-medium itu, ia akan menjadi platform untuk selebriti dapat menyampaikan mesej mengenai bahaya dadah kepada masyarakat.

“Saya melihat ini kaedah yang mantap membantu golongan sasar keluar daripada kebergantungan kepada dadah dan seterusnya menjadi contoh kepada masyarakat terutama dalam kalangan golongan muda.

“Saya juga akan mencuba dengan bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab yang diberikan ini,” kata penyanyi yang berasal dari Kuala Kubu Bharu itu.