Categories
SELANGOR

EXCO zahir penghargaan Ainul Mardhiah berjaya dibedah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 JUN: EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan yang berjaya mengeluarkan ketumbuhan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, semalam.

Beliau yang berkongsi gambar bayi itu di Facebooknya turut mengucapkan tahniah kepada Prof David Dunaway, Dr Julian Ong dan Dr Amalina Che Bakri atas kejayaan proses pembedahan yang mengambil masa selama lima jam.

“Keadaan Ainul Mardiah selepas lima jam pembedahan, 200 gram ketumbuhan berjaya dibuang.

“Tahniah buat pasukan perubatan yang diketuai Prof David Dunaway dan Dr Julian Ong. Turut serta dalam pembedahan ini adalah Dr Amalina Che Bakri,” katanya.

Beliau turut mengajak semua pihak berdoa supaya Ainul Mardiah diberi kesihatan berpanjangan.

“Kini, doa yang kita perlukan untuk adik ini,” katanya.

Terdahulu, keadaan bayi berusia 10 bulan yang menderita kanser ‘germ cell tumor’ di bahagian mulut, itu stabil selepas melalui lima jam pembedahan.

Hal itu dimaklumkan doktor pelatih surgikal yang bertugas di United Kingdom, Dr Amalina Che Bakri, menerusi satu entri di Instagram.

Dr Amalina yang turut bersama-sama dalam pembedahan itu berkata, Ainul seorang bayi yang kuat dan pembedahan berkenaan berjaya membuang tumor seberat 200 gram dari mulutnya.

Ainul menjalani rawatan di London dan berada di sana sejak beberapa minggu lalu.