Categories
AGENDA NASIONAL

Ainul Mardhiah selamat pulang ke tanah air

SEPANG, 28 JUL: Selepas lebih dua bulan dirawat di kota London, bayi perempuan berusia 11 bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang selamat menjalani pembedahan di sana pulang ke tanahair.

“Alhamdulillah, Ainul sihat. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menanti dan mendoakan. Alhamdulillah kami selamat sampai.”

Itu merupakan kata-kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, bapa Ainul Mardhiah kepada pemberita sebelum anaknya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan penerbangan MH0003 dari London.

Ainul Mardhiah dibawa ke HKL untuk rawatan susulan dan pemantauan.

Beliau berkata, anak perempuannya itu berada dalam keadaan baik sepanjang 12 jam penerbangan.

“Alhamdulillah keadaan semua ‘ok’ kami selamat sampai dan tiada sebarang masalah di atas ‘flight’,” katanya lagi.

Ainul Mardhiah, bapanya dan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 24, disambut lebih 20 orang keluarga terdekat di KLIA.

Penerbangan pulang Ainul Mardhiah dan ibu bapanya ditemani doktor sukarelawan dari Malaysia, iaitu Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Penjagaan Kritikal Hospital Pakar Avisena, Kol (B) Datuk Dr Jaseemudeen Abu Baker serta Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Perubatan Penjagaan Kritikal Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Gunalan Arumugam.

Ainul Mardhiah yang menghidap kanser ‘Germ Cell Tumor’ tiba di London pada 25 Mei dan menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Great Ormond Street bagi membuang tumor seberat 200 gram pada 10 Jun.

Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri, yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.

Kisah Ainul Mardhiah bukan saja mendapat perhatian rakyat Malaysia, malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi tiga hari bulan lepas.

Kisah penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian umum apabila rakaman video bayi terbabit yang mengalami ketumbuhan pada bahagian mulut, tular dalam laman sosial. – BERNAMA

FOTO EHSAN: FB  AHMAD SAFIUDDIN

Categories
SELANGOR

EXCO zahir penghargaan Ainul Mardhiah berjaya dibedah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 JUN: EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan yang berjaya mengeluarkan ketumbuhan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, semalam.

Beliau yang berkongsi gambar bayi itu di Facebooknya turut mengucapkan tahniah kepada Prof David Dunaway, Dr Julian Ong dan Dr Amalina Che Bakri atas kejayaan proses pembedahan yang mengambil masa selama lima jam.

“Keadaan Ainul Mardiah selepas lima jam pembedahan, 200 gram ketumbuhan berjaya dibuang.

“Tahniah buat pasukan perubatan yang diketuai Prof David Dunaway dan Dr Julian Ong. Turut serta dalam pembedahan ini adalah Dr Amalina Che Bakri,” katanya.

Beliau turut mengajak semua pihak berdoa supaya Ainul Mardiah diberi kesihatan berpanjangan.

“Kini, doa yang kita perlukan untuk adik ini,” katanya.

Terdahulu, keadaan bayi berusia 10 bulan yang menderita kanser ‘germ cell tumor’ di bahagian mulut, itu stabil selepas melalui lima jam pembedahan.

Hal itu dimaklumkan doktor pelatih surgikal yang bertugas di United Kingdom, Dr Amalina Che Bakri, menerusi satu entri di Instagram.

Dr Amalina yang turut bersama-sama dalam pembedahan itu berkata, Ainul seorang bayi yang kuat dan pembedahan berkenaan berjaya membuang tumor seberat 200 gram dari mulutnya.

Ainul menjalani rawatan di London dan berada di sana sejak beberapa minggu lalu.

Categories
GLOBAL

Ainul Mardhiah selamat dibedah

OLEH NAZLI IBRAHIM dan IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 11 JUN: Operasi membuang kanser mulut Germ Cell Tumor dihidapi adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, berjaya selepas menjalani pembedahan selama lebih kurang lima jam di London, semalam.

Pakar bedah warga Malaysia berkhidmat di United Kingdom, Dr Nur Amalina Che Bakri ketika berkongsi perasaan gembira di laman instagramnya berkata, tumor terbabit seberat 200 gram.

“Alhamdulillah Ainul, awak seorang bayi perempuan yang kuat. Selepas lima jam berjuang dalam dewan bedah, tumor seberat 200 gram berjaya dibuang.

“Buat masa ini, Ainul sedang dipantau dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Amalina berkata, pembedahan itu membabitkan pelbagai persiapan seperti perancangan, imbasan dan mesyuarat sebelum dijalankan bagi memastikan Ainul Mardhiah selamat.

Katanya, ia turut membabitkan pasukan pakar bedah daripada pelbagai kepakaran termasuk craniofacial, plastik, kepala dan leher diketuai Prof David Dunway dan Dr Julian Ong.

“Mereka sangat berpengalaman dalam bidang masing-masing serta saya amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada mereka dan kini Ainul dalam pemerhatian juga keadaan stabil.

“Saya menyeru orang ramai mendoakan kesihatan Ainul supaya cepat sembuh,” tulisnya.

Pada 24 Mei lalu, Ainul Mardhiah bersama bapa, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan ibunya, Erwani Nurul Erwani Zaidi, terbang ke London bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sana.

Categories
NASIONAL

Harapan untuk Ainul Mardhiah

OLEH NORHAYATI UMOR

MELAKA, 11 JUN: Bapa kepada Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, kanak-kanak yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor memberi gambaran anak perempuannya yang berusia sepuluh bulan itu kini sedang melalui proses rawatan seterusnya.

Menerusi Facebook, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, meluahkan harapan untuk anaknya diberi kekuatan dan yakin malaikat ada menjaga Ainul Mardiah.

“Kuat ya anak, kemenangan menunggu mu. Apa pun jawapan Allah, mama dan walid akan terus reda serta bersyukur,” tulisnya.

Kira-kira 8 malam tadi, Ahmad Safiuddin turut memuat naik gambar bilik yang menempatkan Ainul Mardhiah, bagaimanapun bilik itu kosong tanpa kelibat anak kecil berkenaan.

Beliau dan isteri Nurul Erwani Zaidi, 24, tidak dapat menemani anaknya itu.

Menerusi status yang dimuat naik itu juga, beliau dengan rendah diri memohon semua pihak untuk sedekahkan al-fatihah buat jiwa dan diri Ainul supaya anak itu terus kuat dengan perkara yang sedang dilaluinya.

“Yakin dengan kekuasaan dan kebijaksanaan Tuhan, tiada satu makhluk pun dapat menandingiNya dan semoga Allah berikan sedikit kebijaksanaanNya serta jalan mudah buat para doktor yang sedang merawat Ainul

“Walid dengan mama tunggu kamu di luar ye sayang,” tulisnya.

Pada 24 Mei lalu, Ainul Mardhiah bersama ibu dan bapanya terbang ke London bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sana.