Categories
SELANGOR

Rumah terbuka PKNS meriah

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 13 JUN: Majlis Jalinan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan gabungan anak syarikatnya gamat dengan kehadiran lebih 3,000 tetamu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Ishak Hashim berkata, majlis tradisi itu bertujuan meraikan rakan niaga korporat dan pihak berkepentingan yang terbabit secara langsung serta tidak langsung.

“Ia adalah tanda penghargaan bagi pihak yang sudah banyak membantu urusan perniagaan PKNS.

“Diharapkan penganjuran majlis seumpama ini dapat memberikan manfaat kepada hubungan dua hala antara PKNS dengan agensi luar dalam meneruskan agenda pembangunan Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan pimpinan Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, Ishak berkata, PKNS membawa kelainan pada majlis jamuan raya kali ini dengan menggabungkan kesemua anak syarikatnya sebagai sinergi berpasukan.

“Diharapkan ia dapat mengukuhkan perhubungan perniagaan dan secara tidak langsung menjana peluang PKNS untuk menembusi pasaran baharu melalui hubungan baik bersama agensi luar yang terjalin menerusi majlis ini,” katanya.

Dalam majlis sambutan hari raya berkenaan, pelbagai juadah tradisi disediakan antaranya ketupat, lemang, kambing bakar, laksa, sate dan kuih-muih.