Categories
SELANGOR

Rumah terbuka PKNS meriah

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 13 JUN: Majlis Jalinan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan gabungan anak syarikatnya gamat dengan kehadiran lebih 3,000 tetamu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Ishak Hashim berkata, majlis tradisi itu bertujuan meraikan rakan niaga korporat dan pihak berkepentingan yang terbabit secara langsung serta tidak langsung.

“Ia adalah tanda penghargaan bagi pihak yang sudah banyak membantu urusan perniagaan PKNS.

“Diharapkan penganjuran majlis seumpama ini dapat memberikan manfaat kepada hubungan dua hala antara PKNS dengan agensi luar dalam meneruskan agenda pembangunan Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan pimpinan Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, Ishak berkata, PKNS membawa kelainan pada majlis jamuan raya kali ini dengan menggabungkan kesemua anak syarikatnya sebagai sinergi berpasukan.

“Diharapkan ia dapat mengukuhkan perhubungan perniagaan dan secara tidak langsung menjana peluang PKNS untuk menembusi pasaran baharu melalui hubungan baik bersama agensi luar yang terjalin menerusi majlis ini,” katanya.

Dalam majlis sambutan hari raya berkenaan, pelbagai juadah tradisi disediakan antaranya ketupat, lemang, kambing bakar, laksa, sate dan kuih-muih.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 30,000 pengunjung hadir rumah terbuka MB Kedah

ALOR SETAR, 8 Jun : Lebih 30,000 orang menghadiri majlis rumah terbuka bersempena Hari Raya Aidilfitri anjuran Menteri Besar dan isteri di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria menyambut kedatangan pengunjung yang mula membanjiri perkarangan kediaman rasmi itu sejak pukul 11 pagi.

Turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dan beberapa barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Pengunjung yang datang dari Kedah dan negeri lain turut disajikan dengan pelbagai hidangan antaranya sate, nasi briyani, apom lenggang serta kuih muih yang disediakan di gerai makanan di dalam dan luar dewan.

Mukhriz ketika berucap berkata, dia gembira dengan kehadiran pengunjung yang begitu ramai yang datang dari jauh dan dekat pada majlis itu kerana ia dilihat dapat terus menunjukkan semangat perpaduan rakyat di negeri ini.

“Ramai yang datang tidak kira agama, kaum, tua dan muda dan ini dapat membuktikan semangat perpaduan kaum di negeri ini masih kuat. Kerajaan Negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan akan terus melakukan yang terbaik buat rakyat Kedah dan kesemuanya sekali.

“Jadi, kami mohon supaya rakyat terus memberi sokongan, dokongan dan kerjasama dalam menjayakan apa juga dasar dan strategi yang akan dilaksanakan pada masa hadapan,” katanya. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Lebih 6,000 orang kunjungi rumah terbuka Aidilfitri Muhyiddin

MUAR, 8 Jun : Kira-kira 6,000 penduduk sekitar Bukit Gambir di sini tidak melepaskan peluang bertemu dan beramah mesra dengan Tan Sri Muhyiddin Yasin dan isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman dalam satu majlis rumah terbuka Aidilfitri di Dewan Muafakat, Bandar Baru Bukit Gambir dekat sini hari ini.

Muhyiddin yang merupakan Anggota Parlimen Pagoh bersama Norainee meluangkan masa kira-kira lima jam bermesra dan berswafoto dengan para pengunjung.

Orang ramai yang ditemui menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang mesra, perihatin dan sentiasa mengambil tahu masalah rakyat.

Pekerja swasta, Saifudin Mat Hayan, 39 dari Taman Bandar Baru Bukit Gambir berkata sejak daripada dahulu Muhyiddin amat perihatin dengan keperluan rakyat walaupun pernah menjadi pemimpin nombor dua negara (timbalan perdana menteri).

“Walau sibuk dengan tugas sebagai menteri, Muhyiddin tidak pernah bersikap sombong sebaliknya mesra apabila disapa oleh rakyat,” katanya kepada Bernama pada majlis itu.

Turut berkongsi pendapat yang sama, wartawan sebuah akhbar berbahasa cina, Lau Bee Kiau , 37 yang menyatakan rasa kagum beliau dengan personaliti Muhyiddin yang mesra dengan semua kaum.

“Beliau (Muhyiddin) tidak pernah bermasam muka apabila disapa oleh orang ramai dalam apa-apa majlis dan beliau sedia mendengar apa jua luahan rakyat,” katanya.

Lau berkata beliau menghormati Muhyiddin dan berharap Menteri Dalam Negeri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan terus diberi kesihatan untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

Para rumah terbuka itu pengunjung disajikan pelbagai juadah seperi lemang, rendang daging, nasi beriani, cendol dan aneka kuih tradisional Melayu. -BERNAMA

 

Kredit Foto Facebook Muhyiddin Yassin

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB zahir penghargaan kejayaan rumah terbuka

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat yang hadir memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Eidul Fitr peringkat negeri.

Di Twitter, Amirudin turut berterima kasih kepada semua anggota dan petugas yang membantu menjayakan majlis itu.

“Saya amat terharu dan cukup berbangga dengan sambutan rakyat Selangor yang berduyun membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam dari pagi hingga petang. Semangat Syawal sungguh meriah.

“Pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum, agama dan umur berkumpul bersama. Jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan buat para petugas dan kakitangan yang bertungkus lumus menjayakan Sambutan Aidilfitri Peringkat Selangor 2018 bertemakan ‘Kesatuan Hati, Kemenangan Diinsafi’.

“Penghargaan juga buat penaja dan anak syarikat yang menyumbang,” tulisnya.

Semalam, kira-kira 50,000 rakyat pelbagai lapisan bangsa dan agama memeriahkan majlis rumah terbuka yang berlangsung, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Amirudin menyifatkan sambutan menggalakkan itu sebagai lambang manifestasi perpaduan rakyat, di negeri berkenaan.

Terdahulu, majlis yang turut dihadiri Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu turut diserikan dengan kehadiran DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan mencemar duli hadir, pada majlis tahunan itu.

 

Categories
SELANGOR

MB: Jom meriahkan Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Kurang 24 jam lagi Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr peringkat Kerajaan Selangor akan dijalankan di Padang B, Dataran Kemerdekaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, justeru itu beliau mengajak semua penduduk di negeri ini hadir ke acara berkenaan sempena memeriahkan bulan Syawal.

“Datanglah beramai-ramai ke majlis ini kerana Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga turut mencemar duli bersama rakyat, tidak ketinggalan, turut hadir ialah menteri kabinet, exco dan Ahli Dewan Negeri (ADN).

“Pada majlis inilah kita boleh beramah-mesra dan sebagainya,” katanya selepas menghadiri sesi raptai penuh Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr.

Bertemakan Gelombang Perpaduan, Rancak Pembangunan, Semarak Kesejahteraan, majlis tersebut bermula dari jam 10.30 pagi hingga 3 petang.

Menariknya, selain bakal dihadiri Amirudin selaku Dato’ Menteri Besar yang baharu, majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tempatan, antaranya, Jay Jay, Ernie Zakri, Khai Bahar, Haiza dan ramai lagi.

Majlis itu turut mendapat kerjasama sepenuhnya oleh Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Tourism Selangor, Worldwide Holdings Berhad dan Air Selangor.

Sementara itu, Media Selangor menerusi agensi media rasmi Kerajaan Negeri, SelangorKini dan TV Selangor turut bertindak sebagai media rasmi.

 

Categories
SELANGOR

Rumah Terbuka: Khai Bahar, Erni Zakri & Jay Jay antara artis jemputan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Khai Bahar, Erni Zakri antara selebriti popular yang akan memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan di sini, esok.

Khai terkenal dengan lagu Bayang turut dikenali di negara Indonesia, Singapura, Brunei, Hong Kong, Taiwan dan Thailand.

Sementara Erni Zakri yang juga anak saudara kepada Ziana Zain cukup dikenali dengan kelantangan suaranya sehingga dinobatkan sebagai vokal pilihan ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) yang lalu.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, selain itu rumah terbuka kali ini akan turut diserikan dengan persembahan Jay Jay dan beberapa artis veteran lain.

“Tourism Selangor bertanggungjawab menguruskan persembahan pentas kali ini dan bagi kami tanggungjawab besar ini akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Oleh itu kami berusaha menampilkan artis terkenal bagi menarik orang ramai ke rumah terbuka peringkat Selangor pada 2018, disebabkan itu jangan lepaskan peluang datang beramai-ramai pada hari esok,” katanya kepada SelangorKini.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rumah Terbuka: 25 shuttle van percuma disediakan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Sebanyak 25 shuttle van secara percuma disediakan penganjur Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Eidul Fitr anjuran Kerajaan Selangor, esok.

Jawatankuasa Mobilisasi, Norhisham Mamat@Zakaria berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana pihak penganjur cuba menyediakan pengangkutan percuma bagi memudahkan mereka menghadiri majlis tersebut.

Katanya, shuttle van yang mampu memuatkan sembilan penumpang dalam satu-satu masa itu disediakan seawal jam 9 pagi hingga jam 4 petang.

“Sementara itu terdapat lapan tempat letak kereta awam disediakan buat orang ramai, iaitu di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Plaza Azalea, parkir awam masjid, parkir awam PKPS dan parkir awam Royal Theatre.

“Orang ramai juga boleh menggunakan bas percuma yang disediakan Bas Smart Selangor sekiranya turun dari Keretapi Tanah Melayu (KTM) Seksyen 19 dan Batu 3, di situ ada disediakan pengangkutan bas percuma untuk ke majlis rumah terbuka di Dataran Kemerdekaan Shah Alam,” katanya.

Dijangka lebih 50,000 pengunjung akan hadir bagi memeriahkan majlis rumah terbuka berkenaan.

Bagaimanapun laluan Dataran Kemerdekaan Shah Alam berdekatan laluan utama Jalan Persiaran Bandar Raya akan ditutup, bermula 12 hingga 28 Jun ini bagi acara itu.

=EZY=

Categories
NASIONAL

“I love you ganti I love PM,” kata Tun M

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 15 JUN: Tiada lagi ungkapan ‘I love PM’ seperti mana slogan yang diperkenalkan era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bagi memberikan gambaran kononnya beliau disayangi rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tetapi sebaliknya pengunjung rumah terbuka aidilfitri Perdana Menteri hari ini dengan sendirinya mengucapkan “I love you” kepada beliau ketika bersalaman dengannya.

“Semasa bersalaman dengan rakyat tadi ada yang sempat kata ‘I love you’ kepada saya.

“Nampaknya tiada lagi ‘I love PM’ macam dulu tetapi dah diganti ‘I love you’ sekarang,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 50,000 tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Mahathir berkata, berbeza dahulu, ungkapan ‘I love PM’ dibuat di atas plakad yang disediakan pihak kerajaan atau jentera parti Barisan Nasional (BN) sendiri sebelum diedarkan kepada orang ramai yang hadir ke majlis dihadiri Najib.

Namun sebaliknya, ucapan ‘I love you’ kepadanya dilontarkan secara spontan tanpa arahan mana-mana pihak.

Terdahulu, di era Najib hadirin pada program dihadiri Najib dikehendaki menayangkan ungkapan ‘I love PM’ (Saya sayang Perdana Menteri) untuk lensa kamera media.

Tindakan itu dibuat bagi membayangkan kononnya Najib mempunyai sokongan rakyat terbanyak.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Kukuh ikatan perpaduan, kekal keharmonian kaum

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 31 JULAI: Penganjuran Rumah Terbuka yang menjadi amalan di Selangor mampu menjadi landasan memperkukuhkan ikatan perpaduan dan mengekalkan keharmonian kaum.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perpaduan itu juga mampu menjamin kejayaan Kerajaan Negeri, sekali gus terus mencipta kejayaan dan menjana pertumbuhan ekonomi negeri.

IMG_20170730_143149“Hal ini kerana penganjuran rumah terbuka bukan sahaja dihadiri umat Islam tetapi juga masyarakat India dan Cina.

“Negeri ini mempunyai pelbagai kaum dan budaya tetapi atas semangat serta prinsip yang jelas, maka Kerajaan Negeri dapat menjamin perpaduan utuh,” katanya ketika Majlis Rumah Terbuka DUN Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad di Padang Perbandaran Ampang Jaya, semalam.

Pada masa sama, Mohamed Azmin menyifatkan program rangsangan ekonomi yang dilaksanakan turut memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan membangunkan negeri.

“Mudah-mudahan semangat perpaduan dan keharmonian ini lebih banyak kejayaan yang kita akan capai, pada masa akan datang,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB meriahkan rumah terbuka PDT Sepang

OLEH LIZAWATI MADFA

SEPANG, 17 JULAI: Majlis Rumah Terbuka Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, hari ini meriah dengan kunjungan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketibaan Mohamed Azmin sekitar jam 2 petang disambut Pegawai Daerah (DO) Sepang, Roslinah Md Jani dan pegawai kanan lain serta Penyelaras DUN Dengkil, Borhan zaman Shah.

Beliau kemudian dihidangkan dengan pelbagai juadah disediakan dari sembilan gerai.

Tujuh dari gerai berkenaan adalah unit dalaman PDT Sepang, sementara dua lagi milik Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Utah Cafe.

Mohamed Azmin turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera kepada si cilik, C. Sree Abiraame yang bakal menyertai Kejohanan Ice Skate Asia Indonesia 2017 kategori Pre-Alpha, pada Ogos ini.

Tidak membuang masa, beliau meninggalkan meja santapan bagi menyertai perbincangan bersama DO berkenaan isu setempat.

Sebelum berangkat pulang, Mohamed Azmin seperti biasa memenuhi permintaan bergambar bersama (selfie) daripada kakitangan dan pengunjung.

CP2A2489 CP2A2450

Categories
SELANGOR

Rumah Terbuka Eidul Fitri Selangor kukuh hubungan serantau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 JULAI: Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitri Selangor yang dianjurkan pada 2 Julai lalu berlangsung meriah dengan kehadiran orang ramai termasuk rakan dagang serantau pelaburan dan kedutaan asing.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, dukungan delegasi dari luar negara itu membuktikan hubungan rapat Selangor dengan rakan dagang pelaburan serantau.

Katanya, keterbukaan dan kemesraan pentadbiran Kerajaan Negeri mendorong Selangor terus menjadi pilihan utama pelabur asing ke negara ini.

“Kehadiran kedutaan dan pelabur asing ke majlis rumah terbuka sudah menjadi satu adat di Selangor sejak tahun 2008, malah mereka juga turut hadir di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Kerajaan Negeri.

“Ini mencerminkan hubungan erat dan akrab Kerajaan Negeri dengan pelabur serantau melangkaui adat dan budaya mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Raya3Antara delegasi utama dari luar negara yang hadir adalah Her Excellency Kamala Shirin Lakhdir (Amerika Syarikat), H.E Frederic Laplanche (Perancis) dan Yuko Miyagawa (Jepun).

Ia turut dihadiri H.E Michael Winzap (Switzerland), Yu Hyun – Seok (Korea), Rahmatollah Bakhtiari (Iran) dan H.E Attila Kali (Hungary).

Selain itu, majlis turut dihadiri wakil dari rakan dagang antaranya Brunei, Sri Lanka, Nigeria, Yaman, Cuba, Ecuador, Gambia dan Senegal.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jangan hina tetamu Rumah Terbuka Kerajaan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JULAI: Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad membidas segelintir pihak yang menyifatkan tetamu Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitri Peringkat Negeri Selangor sebagai kebulur dan tidak cukup makan.

Katanya, semua pihak perlu berpijak di bumi nyata serta menyelami kesusuahan segelintir keluarga yang tidak mampu menyediakan juadah terbaik, di pagi Syawal.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya jika ada yang menghina mereka yang datang beramai-ramai ke Majlis Hari Raya Kerajaan Negeri semalam sebagai tak cukup makan, kebulur atau peminta sedekah.

“Kalau kamu biasa dengan makanan yang sedap-sedap tidak perlulah menghina orang lain. Ramai rakyat marhaen yg tidak mampu menyediakan makanan istimewa untuk keluarga mereka, pada hari raya ini.

Raya“Ada yang datang berjumpa dengan YB (ADN) meminta sumbangan untuk membeli daging. Hendak membeli kuih raya pun berkira. Baju baru jauh sekali,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, penganjuran rumah terbuka itu sekurang-kurangnya menggembirakan rakyat marhaen supaya dapat menikmati juadah sempena Aidilfitri.

Rumah terbuka anjuran Kerajaan Negeri di Padang Perbandaran Majlis Perbadnaran Ampang Jaya (MPAJ) itu diserikan dengan kehadiran lebih 50,000 tetamu yang mula tiba, sejak jam 8 pagi.

Terdapat 47 gerai makanan yang menghidangkan pelbagai jenis juadah selain diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.