Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Selangor hantar kontinjen besar ke SUKMA 2020

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 JUN: Selangor dijangka menghantar lebih 800 anggota kontinjen membabitkan 30 acara dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020.

Pemangku Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata, negeri itu sudah melepasi fasa pertama persediaan pasukan, iaitu sesi pemilihan dan kini latihan awal sedang giat dijalankan.

“SUKMA tinggal lebih kurang 14 bulan sahaja lagi dan ada pasukan yang bersedia lebih awal mengikut program yang diatur terutama seperti renang, gimnastik, olahraga dan beberapa lagi yang tidak berhenti berlatih sepanjang masa sejak tahun lalu,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamad Nizam berkata, acara disertai kontinjen Selangor terdiri daripada 16 sukan wajib dan 14 sukan pilihan yang dipertandingkan di Johor.

Antara sukan pilihan seperti muay thai, tenis, kenu, bola tampar dan golf.

Katanya, latihan bagi atlet terbabit acara sukan pilihan turut dimulakan sejak awal tahun ini sebaik menerima pengesahan tuan rumah.

“Pada bulan puasa, latihan semua atlet berjalan seperti biasa tetapi bagi yang beragama Islam, jadual diubah selepas solat terawih dan hujung minggu.

“Cuti raya juga tidak lama kerana ada yang perlu berlatih awal bagi mengekalkan prestasi,” katanya.