Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukma 2020 Johor dibatalkan, akan diadakan pada 2022

PUTRAJAYA, 9 NOV: Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma 2020 di Johor akhirnya terpaksa dibatalkan akibat ketidaktentuan penularan wabak Covid-19 yang telah memasuki gelombang ketiga di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata bagaimanapun, Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Reezal Merican berkata keputusan itu diambil selepas menerima cadangan daripada Sekretariat Sukma Johor dan pihak kerajaan negeri berkenaan untuk membatalkan dua temasya itu yang dijadualkan pada Mac dan April tahun depan.

“Antara sebab-sebab lain dalam membuat keputusan ini ialah kesukaran menyediakan jaminan keselamatan kesihatan kepada hampir 30,000 orang yang terlibat seperti atlet, jurulatih, pegawai, sukarelawan dan pengurusan tanpa mengambil kira penonton dan peminat sukan.

“Dua kali penangguhan sebelum ini telah menyebabkan peningkatan kos pengurusan, dan ketidaktentuan tarikh Sukma dan Para Sukma ini memberi tekanan dan kekangan kepada pelaksanaan program latihan atlet negeri-negeri peserta,” katanya pada sidang media di pejabatnya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma secara dalam talian.

Reezal Merican berkata keputusan itu turut dipengaruhi oleh kalendar temasya sukan tempatan dan antarabangsa pada 2021 yang terlalu rapat dengan beberapa tarikh penting seperti Ramadan dari 13 April hingga 13 Mei, Kejohanan Bola Sepak Euro 2020 (11 Jun-11 Julai), Sukan Olimpik Tokyo (23 Julai-8 Ogos), Paralimpik Tokyo (24 Ogos-5 Sept) serta Sukan SEA Vietnam pada hujung tahun.

Sukma yang sepatutnya berlangsung pada Julai lepas, telah ditangguh ke 6 hingga 14 Mac 2021 kerana pandemik itu, sebelum dijadualkan semula ke 2 hingga 10 April.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata Jawatankuasa Teknikal temasya berkenaan akan meneliti dan mencadangkan semula perubahan-perubahan peraturan yang terlibat, termasuk had umur dan kelayakan penyertaan pada mesyuarat akan datang.

Menurut beliau, pembatalan awal dua temasya itu juga dapat mengurangkan kerugian yang dialami oleh pihak penganjur.

“Kebanyakan kos yang dibelanjakan adalah kos bersifat ‘capital expenditure’, perbelanjaan bersifat prasarana… Saya tak dapat nafikan ada juga kos-kos yang lain yang terpaksa ditanggung seperti produk yang tertulis Sukma 2020.

“Inilah sebabnya kita mahu lakukannya (batal) sekarang untuk mengelakkan lebih banyak kerugian, tahap kerugian ini masih kecil. Kos kerajaan negeri (Johor) ketika ini diberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan rakyat… Dua kali penangguhan jadikan kos lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, keputusan hari ini juga menyaksikan temasya 2022 yang sepatutnya kembali dianjurkan di Lembah Klang oleh Majlis Sukan Negara (MSN), terpaksa diadakan pada 2024, diikuti edisi seterusnya di Kelantan, seperti yang dipersetujui oleh negeri itu.

“Setiap kali Sukma dibuat, perbelanjaan yang dikeluarkan cukup besar membabitkan prasarana dan logistik seperti membina dan menaik taraf kemudahan yang menelan hampir suku bilion, sedangkan kita ada kemudahan yang bertaraf antarabangsa dan canggih di Lembah Klang. Jadi telah dipersetujui untuk dikembalikan ke Lembah Klang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sukma 2020 diterus untuk kesinambungan latihan atlet pelapis

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Langkah meneruskan penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 dan Sukan Para Sukma pada Mac dan April tahun depan adalah bagi memastikan kesinambungan latihan kepada atlet pelapis negara.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata walaupun terdapat kebimbangan terhadap pandemik Covid-19, temasya sukan dwitahunan tempatan itu adalah platfom pendedahan terbaik buat atlet muda sebelum menyertai kejohanan lebih besar seperti Sukan Olimpik.

“Wabak Covid-19 adalah cabaran yang bukan hanya dihadapi Malaysia, tetapi seluruh dunia.

“Maka, sebab itulah kejohanan itu masih lagi diteruskan kerana kami melihat bahawa perlu adanya latihan di peringkat negeri-negeri membabitkan atlet pelapis,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Alan Ling Sie Kiong mengenai perancangan kementeriannya dalam memastikan pelapis atau bakat muda dapat dicungkil dan diserap ke pasukan kebangsaan susulan pandemik Covid-19 yang menyukarkan sesuatu latihan dijalankan.

Menurut beliau, kejohanan secara dalam talian juga dijalankan bagi memastikan kebolehsaingan atlet negara dapat diteruskan.

“Contohnya, acara terjun, walaupun tidak boleh ke luar negara, tidak dapat penyertaan atlet luar negara ke negara kita, tetapi kita telah usaha untuk lakukan kejohanan terjun secara dalam talian yang disertai oleh beberapa atlet negara luar, dan lakukan terjunan yang dinilai oleh juri dari negara-negara lain.

“Secara tidak langsung, ini adalah satu daripada usaha untuk mengekalkan daya saing atlet tersebut dan atlet dapat keupayaan untuk mencapai prestasi puncak dalam sukan RTT (Road To Tokyo) atau Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukma 2020: E-sukan Mobile Legend buru emas

SHAH ALAM, 10 OGOS: Selangor menyasar pingat emas dalam e-sukan Mobile Legend: Bang Bang, yang pertama kali dianjurkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma).

Jurulatihnya Mohammad Al Hatta Shokri berkata harapan diletakkan kepada tujuh pemain dan pihaknya mengatur strategi terbaik untuk beraksi di Johor tahun depan.

“Kita ada tujuh pemain dan saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada mereka supaya dapat beraksi dengan baik. Sasaran mesti dapat emas. Saya atur strategi, selebihnya bergantung kepada mentaliti mereka untuk menang,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata sebagai persediaan awal, tiga pemain akan beraksi dalam Liga Profesional Mobile Legend bermula 28 Ogos ini selama dua bulan.

Mohammad Al Hatta menjelaskan liga bertaraf antarabangsa itu landasan pemain menimba pengalaman di samping meningkatkan kemahiran mengawal tekanan dan membaca strategi pihak lawan.

Mobile Legend diperkenalkan sekitar 2016 dimain secara berpasukan dengan misi memusnahkan kristal pihak lawan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini menyatakan industri e-sukan mampu berkembang pesat dan disokong Kerajaan Negeri.

Ia terbukti melalui penganjuran Permainan Siber Selangor, yang berlangsung sebanyak lima edisi selain Piala Duduk Rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad memanah sasar kekalkan satu emas

SHAH ALAM, 28 JULAI: Pasukan memanah Selangor mensasar untuk mengekalkan satu pingat emas yang dimenangi pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

Jurulatihnya, Arif Farhan berkata sasaran itu paling logik setakat ini berdasarkan kekuatan dan kemampuan atlet bagi mengharungi cabaran sukan dwitahunan di Johor tahun depan.

“Walaupun sukan memanah kini dalam format berbeza, iaitu dengan jarak 70 meter, tapi kita optimis mengekalkan kemenangan terutama dalam acara berpasukan,” katanya.

Beliau menambah setakat ini pasukan itu belum memutuskan senarai akhir atlet yang akan terpilih yang dikurangkan daripada 26 kepada 16 individu.

“Setakat ini kita berusaha untuk mengembalikan kecergasan, stamina dan psikologi atlet, memandangkan terpaksa berehat panjang akibat wabak Covid-19,” katanya.

Selangor memenangi satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukma yang berlangsung pada 11 hingga 22 September 2018.

Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan pandemik Covid-19 dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan, manakala Para Sukma berlangsung dari 5 hingga 10 April.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan berkenaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Piala Tun Razak pemanas badan sebelum Sukma Johor

SHAH ALAM, 17 JULAI: Pasukan hoki wanita Selangor menyertai kejohanan Piala Tun Razak September ini bagi mendapatkan semula rentak permainan sebelum saingan Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan.

Jurulatihnya Ikmal Abdul Jabar berkata mentaliti untuk memenangi pingat emas sekali lagi diterapkan kepada pemain sebagai dorongan mempertahankan kejuaraan Sukma 2018 di Perak.

“Mungkin Ogos depan kita panggil beberapa pemain senior untuk berlatih bersama pasukan sebagai persediaan menyertai kejohanan Piala Tun Razak. Tarikh kita belum tahu lagi tetapi dari situ lebih banyak perlawanan persahabatan boleh disertai.

“Sejak pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), persatuan mengubah perancangan untuk menyertai kejohanan ini dan siri pertandingan dianjurkan negeri lain,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Ikmal berkata sesi latihan sejak bulan lalu juga berjalan lancar dan pemain bersungguh mengembalikan kecergasan yang sedikit merosot ketika PKP.

Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan penularan Covid-19 dijadual semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para Sukma berlangsung bermula 5 hingga 10 April.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukma 2020: Sasaran pingat emas mungkin berubah

SHAH ALAM, 11 JULAI: Selangor akan menilai semula sasaran 45 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan, kata pemangku pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri.

Mohamad Nizam Marjugi berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan tersebut, namun penilaian bergantung kepada prestasi terkini atlet dan pihak lawan.

“Buat masa ini tiada kejohanan di peringkat kebangsaan dan keadaan ini menyukarkan analisis tahap atlet dan negeri lain, namun kita yakin mereka kekal berdisiplin serta berada pada tahap terbaik.

“Pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) ketat sepanjang latihan juga memaksa jurulatih mengubah program atau corak latihan atlet,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan penularan Covid-19 dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para Sukma berlangsung bermula 5 hingga 10 April.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukma 2020: Skuad olahraga kembali berlatih awal Ogos

SHAH ALAM, 10 JULAI: Semua atlet olahraga Selangor yang menyertai Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 dijangka kembali berlatih di balapan selewat-lewatnya awal Ogos hadapan.

Jurulatihnya Simon Lau berkata persiapan atlet kini dilakukan bersendirian mengikut program latihan ditetapkan dan dipantau melalui rakaman video yang dihantar.

“Untuk atlet yang tinggal di luar bandar, ada ibu bapa bimbang membenarkan mereka kembali berlatih tetapi kita pantau sesi latihan mereka melalui video.

“Kita jangkakan latihan di balapan akan dimulakan pada 22 Julai ini atau awal Ogos hadapan bergantung kepada situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Simon turut menjangka 28 atlet olahraga negeri dihantar ke Johor bagi acara larian dan setakat ini 19 orang layak secara merit.

Pada Sukma 2018 di Perak, Selangor berjaya mengumpul lapan pingat emas sekali gus muncul juara keseluruhan olahraga selepas 20 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rahsia sasaran pingat, elak tekanan pada atlet menembak

SHAH ALAM, 8 JULAI: Pasukan menembak Selangor enggan mendedahkan sasaran pingat supaya atlet tidak tertekan ketika melakukan persiapan kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2020, kata jurulatihnya.

Teh Shu Seng berkata hampir 30 atlet menjalani latihan bagi memantapkan corak persembahan sejak 11 Jun lalu di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan, Subang.

“Mereka sudah kembali menjalani latihan seperti biasa untuk meningkatkan kemahiran selepas melakukannya di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita juga belum memutuskan senarai akhir atlet dan acara tetapi yang pasti kita akan sertai acara rifle lelaki,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata dua atlet menembak negara, Haritz Iklil Hessly Hafiz dan Dina Batrisyia Adi Azhar turut berlatih bersama atlet yang lain dan berpotensi untuk disenaraikan jika mempamerkan persembahan terbaik sepanjang sesi pemilihan.

Shu Sheng menjelaskan hampir 30 pingat bakal dipertandingkan pada Sukma yang akan berlangsung di Johor dan Selangor akan berusaha menebus kehampaan kejohanan lalu apabila sekadar mengutip lima pingat keseluruhan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Sukma Johor 2020 ditangguh

SHAH ALAM, 25 MAC: Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) sebulat suara bersetuju menangguhkan Sukma Johor 2020 ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, kata menteri belia dan sukan.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata keputusan tersebut mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih, pegawai serta semua yang terlibat dalam temasya tersebut.

“Mesyuarat juga mengenal pasti dua cadangan tarikh yang menjadi pilihan majoriti iaitu pada Disember 2020 atau dianjakkan ke 2021 setelah mengambil kira pemantauan berterusan perkembangan wabak Covid-19, tiada pertindihan dengan tarikh penting lain seperti peperiksaan awam, acara sukan utama.

“Mesyuarat juga meneliti kepentingan semua pemegang taruh Sukma Johor 2020, khususnya Johor sebagai tuan rumah,” katanya dalam kenyataan.

Jawatankuasa itu turut bersetuju tarikh baharu akan diputuskan secepat mungkin pada mesyuarat mereka akan datang, selewat-lewatnya pada awal Mei ini.

Reezal Merican turut meminta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Para Sukma Johor 2020 mengambil tindakan sama menangguhkan temasya tersebut yang dijadualkan selepas Sukma.

Sebelum ini, Sukma 2020 ditetapkan pada 11 hingga 19 Julai manakala Para Sukma dijadualkan pada 16 hingga 22 Ogos.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Tunda atau tidak, nasib Sukma 2020 ditentukan esok

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Nasib penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor dijangka diketahui esok apabila Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma diadakan melalui persidangan video berikutan pandemik Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pada mesyuarat yang bakal dipengerusikannya, penangguhan Sukma 2020 antara opsyen yang akan dipertimbangkan.

“Antara implikasi dan aspek yang akan diambil kira adalah persiapan atlet, cabaran dan kekangan teknikal penganjuran, pandangan dan kekhuatiran pihak penaja untuk aktiviti promosi, pemasaran, liputan media dan program pra-Sukma yang berkaitan.

“Di samping itu, isu paling utama ialah aspek keselamatan dan kesihatan risiko Covid-19 itu sendiri ke atas hampir 30,000 orang (atlet, pegawai, petugas, petugas media dan sukarelawan), ini tidak termasuk jumlah penyokong dan penonton yang akan hadir di pelbagai lokasi kejohanan,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh semua 14 exco Belia dan Sukan Negeri, termasuk exco negeri Johor selaku penganjur, wakil Majlis Olimpik Malaysia, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Majlis Sukan Angkatan Tentera Malaysia (MS ATM) dan Majlis Sukan Polis DiRaja Malaysia (MS PDRM).

Sukma Johor dijadualkan berlangsung bermula 11 hingga 19 Julai ini, namun penularan wabak Covid-19 mungkin akan menyebabkan temasya itu ditunda ke tarikh lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukma 2020: Atlet olahraga berlatih di Kenya

SHAH ALAM, 18 FEB: Atlet olahraga Selangor dihantar ke Kenya bagi menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor, Julai ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata dua atlet lelaki ke sana sejak Januari lalu bagi meningkatkan prestasi di bawah kendalian jurulatih Kenya.

“Kita hantar atlet ke Kenya bagi melihat sendiri pusat latihan olahraga dilaksanakan. Kita (MSN) bayar tiket sahaja selebihnya ditanggung jurulatih tersebut.

“Kita pilih jurulatih Kenya kerana mereka melahirkan pelari jarak jauh yang sangat bagus di samping olahraga,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama SelangorKini di Kompleks Belia Negeri Selangor, di sini 10 Februari lalu.

Antara atlet olahraga yang berlatih di Kenya adalah Berchmans Aruldass dan Jeff Lim Zhe Yu.

Sementara itu, Rhaasrikanesh Kanavathi, Muhammad Afif Mohd Fathi dan Liyana Azizan Durisic bagi sukan golf menjalani latihan di Amerika Syarikat.

Adi Faizal berkata beberapa program sukan disusun menjelang Sukma selain penyertaan atlet dalam kejohanan di luar negara seperti berbasikal, renang dan tenis.

 

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Sukma 2020: Selangor sasar 45 pingat emas, 830 atlet bawa cabaran

SHAH ALAM, 29 JAN: Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang dijadualkan berlangsung di Johor pada 11 hingga 19 Julai hadapan.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata sasaran itu mampu direalisasikan walaupun saingan hebat bakal ditempuhi dalam edisi ke-20.

“Kita optimis untuk meraih sasaran itu walaupun cabaran sengit bakal dihadapi terutama tuan rumah, Johor. Kita lihat saingan utama turut bakal ditampilkan Terengganu.

“Acara yang kita jangka bakal menjadi penyumbang utama pingat adalah renang, gimnastik, olahraga dan boling padang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata kontinjen Selangor memulakan persiapan sejak 2018 dengan memberikan tumpuan acara yang mampu menyumbang pingat di samping mendaftar 830 atlet bertanding.

“Bermula Januari adalah fasa terakhir persediaan pasukan setiap pasukan dinilai bagi mencari atlet yang layak.

“MSN sedang giat menjalankan program persediaan atlet seperti kecergasan, kejohanan pendedahan, kem motivasi, pendedahan latihan dan kejohanan di luar negara.

“Sehingga kini program latihan dan persediaan atlet berada di landasan baik untuk kontinjen terus bersaing dan menjadi pencabar utama Sukma di Johor nanti,” katanya.

Kali terakhir Selangor menjuarai Sukma pada 2016 dengan mengutip 59 emas, 73 perak dan 64 gangsa mengatasi tuan rumah Sarawak dan Terengganu.