OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 15 JUN: Cadangan untuk mengutip caj 20 sen bagi setiap beg plastik daripada pasar raya dijangka mula dilaksanakan Januari tahun hadapan.
EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, kutipan itu akan dilakukan Pihak Berkuasa Tempatan untuk disalurkan ke akaun tabung amanah negeri.
Katanya, ia bagi kegunaan kempen kesedaran akar umbi antaranya menanam pokok dan program kitar semula.
“Kerajaan Negeri akan mengadakan bengkel bagi hal ini pada akhir Julai ini dan memanggil Kerajaan Pulau Pinang untuk mendapatkan pandanngan memandakan mereka terlebih dahulu melaksanakannya.
“Saya menjangkakan mekanisme baharu ini dapat dilaksanakan mulai 1 Januari tahun hadapan,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penutupan ‘Cintai Bumi Kita’ di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emerald, di sini.
Pada masa sama, Loy Sian berkata, pelaksanaan mekanisme baharu itu bertujuan memberi kesedaran secara menyeluruh dan mendalam kepada semua pihak.
Katanya, hal itu kerana terdapat pasar raya yang masih memberikan beg plastik dan menyerap kos caj berkenaan.
“Malah, terdapat juga yang mengutip caj 20 sen tetapi tidak melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat seperti yang diarahkan.
“Disebabkan perkara itu, ramai pihak membuat aduan ke mana hilangnya caj beg plastik itu,” katanya.
Selangor mula melaksanakan kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada 2010, dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan pada setiap Sabtu.
Kempen itu kemudiannya dilanjutkan kepada setiap hari mulai 1 Januari 2017 dan merangkumi kempen bebas bekas makanan polistirena serta perlu membayar 20 sen bagi setiap beg plastik yang diminta.