Categories
AGENDA NASIONAL

RM880,000 bagi kempen kesedaran bebas plastik

Oleh NORHAYATI YAHAYA

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM880,000 bagi kempen bebas plastik, polisterina, kutipan minyak masak terpakai dan bebas straw plastik pada tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha alam sekitar itu dipergiatkan memberi kesedaran kepada pengguna.

“Kerajaan Negeri sentiasa menjadi perintis dalam pelbagai kempen kesedaran termasuk kempen bebas plastik dan polisterina, kutipan minyak masak terpakai dan kempen bebas straw plastik.

“Bagi menggiatkan lagi kempen ini, sejumlah RM880,000 diperuntukkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Menteri Besar memberitahu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperluaskan pusat kitar semula (MRF) ke setiap daerah di Selangor.

Katanya, pada masa ini, KDEB Waste Management membina dua MRF di Jalan Korporat, Meru dan Bukit Puchong, Subang Jaya yang menguruskan 20 tan barang kitar semula sehari.

“Dua MRF ini mampu menguruskan kira-kira 20 tan barang kitar semula sehari dan akan diperluaskan ke setiap daerah di negeri Selangor untuk mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Caj 20 sen beg plastik naik jika kesedaran masyarakat kurang

KLANG, 27 SEPT: Kadar caj beg plastik 20 sen yang dikuatkuasakan di Selangor bakal dinaikkan sekiranya kempen bebas plastik sejak beberapa tahun lalu gagal mencapai matlamat.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata pihaknya akan meneliti jumlah kutipan setiap tahun sebelum menukar polisi caj bayaran.

“Tahun lepas kita kutip lebih RM6.6 juta. Tahun ini sehingga Jun kita dapat lebih RM2.5 juta. Jika kutipan bertambah setiap tahun bermakna kita gagal sedarkan masyarakat berkenaan penggunaan plastik.

“Kita naikkan caj sebab nak galakkan masyarakat tidak lagi guna beg plastik demi menjaga alam sekitar. Kalau masih degil kita akan tingkatkan kadar caj,” katanya ketika majlis penutup Program PRO500 Trees Sentosa di Pusat Khidmat DUN Sentosa semalam.

Menurut Loy Sian setiap tahun hasil kutipan caj beg plastik diberikan 60 peratus kepada Kerajaan Selangor manakala bakinya diserah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Wang dikumpul ini dimasukkan dalam tabung amanah yang akan diguna untuk laksana program kemasyarakatan serta bermanfaat untuk rakyat,” katanya.

Bermula Januari 2017, peniaga di Selangor tidak menyediakan beg plastik percuma dan diarah menghentikan penggunaan bekas makanan serta peralatan polistera di semua premis.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor anjur wacana, kajian tingkat kesedaran bahaya beg plastik

SHAH ALAM, 6 APRIL: Kerajaan Selangor giat memperkasakan lagi kempen kesedaran mengenai bahaya penggunaan beg plastik melalui program ceramah dan wacana.

EXCO pengguna berkata pihaknya turut merancang menjalankan kajian terhadap tahap kesedaran masyarakat supaya matlamat Kerajaan Negeri menjaga alam sekitar serta kesihatan tercapai.

“Khamis ini kita akan putuskan langkah seterusnya memandangkan kita lihat penggunaan beg plastik dalam kalangan rakyat masih tinggi.

“Kita juga akan guna khidmat kajian pusat pengajian tinggi untuk tentukan sama ada masyarakat memang berduit dan sanggup membayar caj atau terlupa membawa beg guna semula ketika berbelanja,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata pihaknya serta Jawatan Kuasa Tetap Alam Sekitar pernah bercadang menaikkan caj beg plastik namun perkara itu belum diputuskan.

“Kutipan caj yang dikumpul selama ini digunakan untuk menjalankan semua aktiviti kesedaran. Kita harap masyarakat akan memberi kerjasama dan matlamat kempen berjaya,” katanya.

Mac lalu, EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian memaklumkan sebanyak RM6.4 juta dikumpul menerusi penguatkuasaan caj 20 sen yang dikenakan terhadap penggunaan setiap beg plastik.

Categories
EXCO SELANGOR

Pelanggan digalak bawa bekas makanan ke pasar – EXCO

SHAH ALAM, 5 JULAI: Kerajaan Negeri terus menggalakkan pelanggan membawa bekas makanan sendiri ketika membeli makanan di pasar awam termasuk pasar pagi dan pasar malam.

EXCO Alam Sekitar berkata ia bagi mengurangkan penggunaan beg plastik yang berisiko memberi kesan pencemaran terhadap alam sekitar.

“Kita akan mempergiatkan program kempen kesedaran melalui poster supaya mereka (pelanggan) dapat mengurangkan penggunaan beg plastik di pasar-pasar berkaitan,” kata Hee Loy Sian ketika dihubungi SelangorKini.

Selangor mengenakan caj 20 sen bagi setiap pembelian beg plastik di pasar raya berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu sejak Januari 2016.

Kutipan diuruskan PBT disalurkan ke Akaun Tabung Amanah Selangor dan Akaun Tabung Amanah PBT bagi program berkaitan alam sekitar.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata pihaknya belum bercadang memperluaskan program kutipan caj beg plastik di pasar awam, pasar pagi, pasar malam dan pasar basah kerana sukar mengesan jumlah plastik dibekalkan peniaga kepada pelanggan.

“Mereka (peniaga) tidak memiliki mesin juruwang dan sistem akaun yang boleh mengesan bilangan beg plastik dibekalkan kepada pelanggan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPS cadang kutipan caj plastik syarat wajib mohon lesen niaga

SHAH ALAM, 3 JULAI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bercadang memasukkan program kutipan caj beg plastik sebagai syarat wajib memohon atau memperbaharui lesen perniagaan tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Korporatnya Mohamad Zin Masoad berkata cadangan dilampirkan dalam bil lesen yang membolehkan tindakan diambil sekiranya melanggar syarat tersebut.

“Tahun ini kita beri penerangan dan promosi dahulu kepada semua premis supaya program itu dijalankan menyeluruh di MPS,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata sebanyak 127 premis perniagaan di kawasan pentadbirannya memohon menyertai program berkenaan setakat ini.

“Kita berharap pelaksanaannya membantu Kerajaan Negeri mewujudkan persekitaran bersih, sihat dan mesra alam serta merangka program kelestarian secara bersepadu dan holistik,” kata Mohamad Zin.

Selangor mengenakan caj 20 sen bagi setiap pembelian beg plastik di pasar raya utama negeri itu sejak Januari 2016.

Kutipan diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT) disalurkan ke Akaun Tabung Amanah Selangor dan Akaun Tabung Amanah PBT masing-masing bagi program berkaitan alam sekitar.

Categories
SELANGOR

Selangor kutip caj 20 sen dari pasar raya tahun depan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 JUN: Cadangan untuk mengutip caj 20 sen bagi setiap beg plastik daripada pasar raya dijangka mula dilaksanakan Januari tahun hadapan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, kutipan itu akan dilakukan Pihak Berkuasa Tempatan untuk disalurkan ke akaun tabung amanah negeri.

Katanya, ia bagi kegunaan kempen kesedaran akar umbi antaranya menanam pokok dan program kitar semula.

“Kerajaan Negeri akan mengadakan bengkel bagi hal ini pada akhir Julai ini dan memanggil Kerajaan Pulau Pinang untuk mendapatkan pandanngan memandakan mereka terlebih dahulu melaksanakannya.

“Saya menjangkakan mekanisme baharu ini dapat dilaksanakan mulai 1 Januari tahun hadapan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penutupan ‘Cintai Bumi Kita’ di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emerald, di sini.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, pelaksanaan mekanisme baharu itu bertujuan memberi kesedaran secara menyeluruh dan mendalam kepada semua pihak.

Katanya, hal itu kerana terdapat pasar raya yang masih memberikan beg plastik dan menyerap kos caj berkenaan.

“Malah, terdapat juga yang mengutip caj 20 sen tetapi tidak melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat seperti yang diarahkan.

“Disebabkan perkara itu, ramai pihak membuat aduan ke mana hilangnya caj beg plastik itu,” katanya.

Selangor mula melaksanakan kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada 2010, dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan pada setiap Sabtu.

Kempen itu kemudiannya dilanjutkan kepada setiap hari mulai 1 Januari 2017 dan merangkumi kempen bebas bekas makanan polistirena serta perlu membayar 20 sen bagi setiap beg plastik yang diminta.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor cadang ambil alih kutip caj beg plastik

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 15 MEI: Kerajaan Negeri bercadang mengambil alih peranan mengutip caj 20 sen beg plastik daripada pengusaha barangan runcit bagi menghasilkan lebih banyak beg kitar semula dan menjalankan kempen memelihara alam sekitar.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, mekanisma pelaksanaan program itu sedang dibincangkan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan berperanan untuk mengutip hasil pembelian beg plastik daripada pengusaha.

Beliau berkata, tindakan itu diambil kerana terdapat pengusaha yang tidak menggunakan hasil kutipan caj beg plastik untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Setelah kita kaji, kita akan kutip 20 sen melalui PBT daripada memberikan pasar raya mengutipnya. Kita sedang kaji mekanisme mudah untuk memulakannya sama ada tahun ini atau tahun hadapan.

“Kerajaan Negeri akan kutip sendiri selepas ini dan menghasilkan lebih banyak beg kitar semula untuk diberikan kepada pengguna.

“Dahulu kita benarkan pasar raya kutip dengan harapan mereka menggunakan hasil kutipan untuk buat CSR dan program alam sekitar tetapi kita dapati ada tidak buat. Sebab itu kita akan kutip sendiri daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurkan perasmian program Bazar Ramadan Mampan dan Kempen Amalan Hijau dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Taman Greenwood.

Katanya, hasil kutipan dilakukan PBT akan dimasukkan ke Tabung Amanah Negeri untuk dikumpulkan sebelum diagihkan semula kepada PBT bagi membolehkan mereka melakukan program CSR, alam sekitar dan menanam semula pokok.

Untuk rekod, Selangor mengarahkan tindakan mengenakan caj 20 sen kepada pengguna bagi setiap permintaan beg plastik, pada 2017.

 

Categories
NASIONAL

Caj 20 sen guna beg plastik di Wilayah Persekutuan mulai 15 Mac

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Pengguna yang memerlukan beg plastik biodegradasi di Wilayah Persekutuan bakal dikenakan caj pencemaran 20 sen, bermula 15 Mac ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pendekatan itu bagi memberi kesedaran dan perubahan minda dalam kalangan rakyat berhubung pencemaran sisa plastik, selaras Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030.

Katanya, ia juga berupaya memupuk kesedaran berkenaan inisiatif hijau dan menjamin kelestarian alam sekitar.

“Maklum balas daripada peniaga dan penjaja mendapati usaha mengurangkan penggunaan beg plastik tidak akan berjaya selagi ia masih disediakan kepada pengguna secara percuma.

“Bagaimanapun, sejak penggunaan produk biodegradasi (mampu terurai secara semula jadi) di Wilayah Persekutuan diperkenalkan, peniaga dan penjaja memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan inisiatif hijau ini.

“Kementerian berharap semua warga mengambil positif dan dapat berganding bahu menjayakan inisiatif pembangunan teknologi hijau di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Khalid berkata, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan terhadap peniaga dan penjaja yang masih menggunakan beg plastik konvensional untuk pelbagai tujuan.

“Membawa beg sendiri ketika membeli-belah amat digalakkan dan lebih memudahkan, selain menggunakan bekas dari rumah sekiranya ingin membungkus makanan.

“Larangan penggunaan straw plastik masih diteruskan, manakala langkah penguatkuasaan akan mula dilaksanakan pada Januari 2020,” katanya.

Terdahulu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memberi tempoh tiga tahun kepada Kerajaan Negeri dari 2019 hingga 2021 untuk menguatkuasakan caj pencemaran.

Katanya, Kerajaan Negeri turut diberi kuasa untuk menentukan sendiri nilai caj pencemaran yang mahu dikenakan dan tarikh pelaksanaannya.

 

Categories
SELANGOR

Selangor haram guna beg plastik menjelang 2030

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 DIS: Larangan penggunaan beg plastik di negeri ini akan dikuat kuasakan sepenuhnya, menjelang 2030, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, keputusan berkenaan selaras pelaksanaan Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-Use Plastick 2018-2030 yang dilancarkan Kerajaan Persekutuan, pada Oktober lalu.

Katanya, proses pengharaman beg plastik itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita berpendapat tempoh 11 tahun untuk menjadi negeri bebas plastik agak lama. Kita pasti jika 2030 baru dilaksanakan secara menyeluruh, masalah plastik di negara ini akan menjadi lebih buruk.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan mencuba untuk ke arah itu lebih awal, namun kita memberikan masa kepada pembekal untuk menghasilkan bahan ganti beg plastik ini kepada bahan yang lebih berkualiti selain menjimatkan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, di Dewan Negeri Selangor, di sini.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri akan berbincang dengan PBT untuk mempertimbangkan tindakan lebih tegas kepada premis yang masih menyediakan beg plastik secara percuma.

“Sebelum ini, kita tidak mengambil tindakan kepada premis yang memberikan beg plastik secara percuma kepada pengguna, namun selaras dengan inisiatif bebas plastik ini, kita akan melaksanakannya,” katanya.

Categories
SELANGOR

Beg plastik: Kerajaan Negeri mahu didik rakyat bawa beg sendiri

OLEH AFIX REDZUAN

SELAYANG, 24 JAN: Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menggunakan wang dibayar pengguna untuk setiap pembelian beg plastik di pasar raya bagi menyediakan lebih banyak beg bebas plastik sebaliknya mahu mendidik rakyat supaya membawa beg sendiri.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, sebelum ini sudah terlalu banyak beg plastik digunakan dalam kehidupan seharian dan Kerajaan Negeri tidak mahu jumlah penggunaan itu bertambah demi menjaga alam sekitar.

“Untuk kempen mengurangkan pengguna beg plastik matlamat utama bukan untuk menggantikan beg plastik tetapi mendidik rakyat menggunakan beg sendiri.

“Kalau cadang untuk menggantikan beg plastik dengan kertas atau beg bebas plastik dan sebagainya ia tidak mencapai matlamat tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyeru rakyat membawa beg sendiri supaya membantu mengurangkan penggunaan beg plastik yang sudah merebak sebelum ini.

Menurut Elizabeth lagi, hasil tinjauan mendapai pihaknya menerima reaksi positif berhubung pelaksanaan kempen bebas beg plastik sejak ia mula dilaksanakan 1 Januari 2017.

=EZY=