Categories
NASIONAL

Seniman jalin kerjasama dengan AADK

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 21 JUN: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyambut baik usahasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menangani masalah dadah di negara ini.

Setiausaha Agong Seniman, LT (K) Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, dengan adanya kerjasama erat itu, artis yang dilantik menjadi ikon boleh menyampaikan mesej positif mengenai bahaya dadah kepada golongan sasar.

“Sebelum ini, kita sudah bekerjasama dengan AADK, namun tidak secara rasmi. Apabila adanya Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandangani hari ini, kerjasama ini akan lebih konsisten pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani MOU, di Ibu Pejabat AADK, di sini.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan dan Penajaan Seniman, Kapten Bersekutu (PA) Zuraini Kassim menyifatkan kerjasama itu juga sebagai usaha membendung masalah dadah yang sering dikaitkan dengan artis di Malaysia.

“Kita mahu artis di negara kita tidak berjalan seiring dengan gejala ini dan masyarakat juga perlu tahu dadah juga tidak terbabit dengan industri seni tanah air,” katanya.

Terdahulu, lapan individu dan satu kumpulan artis dilantik menjadi ikon anti dadah dalam majlis itu.

Antaranya Tomok, Black, Achey Bocey, Keena Mentor, Aiman Tino, Izzmad Harun, Ismail Izzani, Fatin Afeefa dan Kumpulan Flooe 88.

Ikon yang dipilih itu mempunyai kelompok peminat tersendiri yang mempunyai pengaruh yang kuat untuk menarik kearah pengamalan budaya hidup bebas tanpa dadah.

Malah, media sosial seperti facebook, instagram, twitter juga merupakan medium pantas dalam proses menyebarluaskan maklumat.

Sebelum ini, Seniman bersama pihak berkaitan mengadakan operasi di set penggambaran bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan artis.

Mohd Hafiz berkata, gejala penagihan dadah dalam kalangan artis dianggap sudah sampai ke tahap kemuncak justeru langkah drastik perlu diambil bagi membersihkan imej golongan anak seni.